Phuture Food Bekerjasama Dengan Jenama F&B Tawar Makanan Protein Berasaskan Tumbuhan

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) — Pengeluar dan pembekal makanan berasaskan tumbuhan Phuture Food akan bekerjasama dengan jenama makanan dan minuman terkemuka (F&B) Coffee Bean & Tea Leaf dan Oldtown White Coffee untuk menawarkan makanan protein berasaskan tumbuhan.

Phuture mengeluarkan dan membekalkan rangkaian protein berasaskan tumbuhan sedia untuk dimasak seperti High Fibre Chick’n, Invincible Mince, Burger Patties Super Gourmet dan juga High Fiber Chick’n Breast Nuggets.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Jack Yap dalam satu kenyataan hari ini, berkata beliau melihat peningkatan permintaan terhadap makanan berasaskan tumbuhan daripada syarikat F&B utama.

“Terdapat peningkatan ketara dalam permintaan pasaran yang didorong oleh isu global yang memuncak seperti keselamatan dan kelestarian makanan, perubahan trend pengguna kepada veganisme (gaya hidup yang mengamalkan gerakan hidup bebas daripada eksploitasi haiwan) dan penurunan berterusan dalam kos makanan berasaskan tumbuhan,” katanya.

Menurut laporan Bloomberg, pasaran makanan berasaskan tumbuhan boleh menyumbang sehingga 7.7 peratus daripada pasaran protein global menjelang tahun 2030, dengan nilai lebih daripada US$162 bilion, meningkat daripada US$29.4 bilion pada 2020 (US$1: RM4.47).

Menurut laporan itu, rangkaian restoran global, peneraju pasaran berasaskan tumbuhan serta faedah kesihatan dan kemampanan akan mendorong penggunaan pilihan makanan alternatif jangka panjang.

Pada masa ini, Yap berkata produk Phuture boleh didapati di 800 kedai runcit F&B di Asia Tenggara.

“Minat dari negara jiran mendorong perkembangan kapasiti pengeluaran kami dan dengan momentum ini, kami menganggarkan bahawa produk kami boleh akan didapati di sekurang-kurangnya 2000 pasar raya dan restoran di seluruh Asia Tenggara menjelang akhir tahun ini,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian