6 Kelebihan Beli Rumah Baru Berbanding Rumah Subsale (Second Hand)

Bila sebut pasal rumah, memang banyak pilihan yang ada. Ada yang beli rumah untuk duduk sendiri, tak kurang juga ada yang beli rumah untuk dijadikan pelaburan.

Untuk perkongsian hari ini, tak kiralah anda nak beli rumah untuk duduk sendiri atau untuk tujuan pelaburan; jom kita tengok kelebihan beli rumah baru berbanding beli rumah subsale.

Tapi sebelum kita mula, jom tengok dulu definisi rumah baru dan rumah subsale.

Rumah Baru – Boleh jadi rumah dalam pembinaan (under construction) atau juga rumah yang sudah siap sepenuhnya, tinggal nak tunggu tuan rumah baru untuk menghuninya.

Rumah Subsale – Juga dikenali sebagai rumah second-hand, di mana telah ada pembeli yang beli daripada pihak pemaju.

Dah tahu apa itu rumah baru dan rumah subsale, jom kita tengok kelebihan beli rumah baru berbanding rumah subsale pula.

1. Nama Pun Rumah Baru, Semuanya Baru

Apabila membeli rumah baru, luar dalam rumah tersebut adalah baru. Daripada cat luaran yang kita nampak, sehinggalah pendawaian (wiring) dalaman yang kita tak nampak.

Bila semuanya baru, rasa lebih selesa dan yakin bahawa ianya akan tahan lama berbanding rumah yang dah berusia.

Kalau beli rumah subsale, luaran mungkin nampak baru, tapi dalaman kita tak tahu keadaannya.

2. Rumah Baru Ada Waranti

Bila dapat kunci rumah baru nanti, jangan risau kalau ada sebarang kerosakan kerana ada waranti. Buatlah senarai semak kecacatan atau lebih dikenali sebagai defect checklist.

Perkara biasa yang disemak adalah:

  • Dinding, pastikan tiada rekahan
  • Lantai kayu, pastikan tiada kesan air bertakung yang menandakan ada kebocoran
  • Jubin atau tiles, pastikan ianya dipasang dengan kemas
  • Pendawaian elektrik, pastikan tiada wayar terjojol keluar
  • Saliran air, pastikan air boleh mengalir dan tiada air bertakung
  • Sistem perpaipan, pastikan tandas tiada bau busuk yang menandakan ada saluran tersumbat
  • Pintu, tingkap, grill, pastikan ianya boleh ditutup dan dibuka dengan kemas
  • Resapan air, pastikan siling dan bucu berhampiran dengan tingkap tiada takungan air

Jika terdapat sebarang kerosakan, laporkan kepada pemaju dan minta mereka baiki secara percuma kerana masih dalam tempoh waranti.

Kalau beli rumah subsale, rumah nampak macam elok, tapi kita kena duduk dulu rumah tersebut selama beberapa hari atau beberapa minggu; barulah tahu itu rosak ini rosak. Dan mungkin terpaksa membelanjakan duit yang banyak pula untuk membaikinya.

3. Pakej Promosi Daripada Pemaju

Biasa kan kita dengar beli rumah baru, dapat penghawa dingin percuma, dapat kabinet dapur percuma, dapat itu percuma, dapat ini percuma.

Tak kurang juga ada pemaju yang memberikan rebat atau diskaun untuk pembeli awal. Ada yuran guaman dan duti setem yang ditanggung pemaju. Malah, ada yang menawarkan skim bayaran ansuran 0% menggunakan Easy Payment.

Tidak lupa juga diskaun buat pembeli bumiputera.

Kalau beli rumah subsale, kena sediakan 10% deposit dan lebih kurang 5% daripada harga rumah untuk bayar yuran-yuran dan kos-kos yang terlibat.

4. Lebih Murah Untuk Masuk Rumah

Ada rumah baru yang tak perlukan deposit pun untuk masuk rumah, semuanya dah termasuk dalam harga rumah dan juga pembiayaan bank. Kalau ada deposit pun, ada pemaju yang minta RM1,000 saja deposit dan selebihnya akan diproses oleh panel bank yang dilantik pemaju.

Kalau beli rumah subsale, 2%-3% deposit untuk dibayar kepada ejen atau pemilik rumah dah menjadi kebiasaan. Kemudian bila dah buat permohonan dengan pihak bank, ada juga yang gagal dapat pembiayaan. Maka, duit deposit tu dikira hangus. Rumah tak dapat, deposit pun tak dapat balik.

Ada juga kes bila kita minta bank membuat penilaian, tak sampai pun harga rumah yang kita dah persetujui. Setuju nak beli rumah dengan harga RM1 juta, tapi bank hanya bagi pembiayaan sehingga RM900 ribu. Tak mampu nak keluarkan duit lebih sebagai downpayment, maka duit deposit pun burn begitu saja. Kalau rumah harga RM1 juta, tak ke menangis hilang deposit sebanyak RM20 ribu?

5. Diskaun Untuk Beli Beramai-Ramai

Biasanya pihak pemaju menggalakkan anda kumpul beberapa orang, dan beli beramai-ramai. Maka dapatlah diskaun bagi pembelian secara pukal atau group discount.

Rajinlah masuk forum ke Facebook Group ke, untuk cari kawan-kawan yang nak beli projek perumahan yang sama. Di samping dapat buat kawan baru, rumah pun dapat diskaun.

Kalau beli rumah subsale, tak dapatlah nak menikmati diskaun ini.

6. Rumah Moden Ikut Citarasa Terkini

Projek perumahan baru biasanya dibina mengikut citarasa terkini dan mengaplikasi teknologi-teknologi yang terbaru. Dan jika anda ada citarasa sendiri, boleh berbincang dengan pemaju terutamanya rumah yang sedang dalam pembinaan.

Kalau beli rumah subsale, anda kena terimalah rumah itu seadanya. Dan kalau nak tambah itu atau nak buang itu, semuanya perlukan duit untuk pengubahsuaian atau renovation.

Previous ArticleNext Article

1 Comment

  1. salam, saja nak jelaskan sikit. untuk ayat yang bawah ni

    Kalau beli rumah subsale, 2%-3% deposit untuk dibayar kepada ejen atau pemilik rumah dah menjadi kebiasaan. Kemudian bila dah buat permohonan dengan pihak bank, ada juga yang gagal dapat pembiayaan. Maka, duit deposit tu dikira hangus. Rumah tak dapat, deposit pun tak dapat balik.

    sebagai agent hartanah sendiri, sebenarnya ni tak berlaku. kalau berlaku juga, maksudnya agent tu sedang menipu dan pembeli boleh terus buat aduan. tapi jangan lupa baca elok elok isi kandungan booking form.

    sebab dah menjadi hak pembeli untuk dapat refund 100%, kalau loan tak lulus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

LPPSA Kedua: Boleh Mohon Walaupun Pembiayaan Pertama Belum Habis, Ini Syarat & Kelayakannya

Ada pembiayaan LPPSA pertama yang masih berjalan tetapi sudah terfikir nak beli rumah kedua?

Mulai 4 Oktober 2026, penjawat awam yang layak boleh memohon Pembiayaan Kedua LPPSA tanpa perlu menyelesaikan sepenuhnya Pembiayaan Pertama.

Pada masa yang sama, LPPSA turut menaikkan had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan sehingga RM1 juta.

Namun, ini bukan bermaksud semua penjawat awam automatik boleh meminjam RM1 juta. Jumlah sebenar masih bergantung kepada pendapatan bersih, kelayakan pemohon, baki kelayakan pembiayaan serta syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Apa perubahan LPPSA 2026?

Menurut notis rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026, dua perubahan utama mula berkuat kuasa pada 4 Oktober 2026:

Pertama, had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan LPPSA dinaikkan sehingga RM1 juta.

Kedua, pemohon boleh membuat permohonan Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan syarat yang ditetapkan.

Ini memberi lebih banyak fleksibiliti kepada penjawat awam yang masih mempunyai pembiayaan pertama tetapi mahu menggunakan baki kelayakan mereka untuk pembiayaan kedua.

Had pembiayaan LPPSA sehingga RM1 juta

LPPSA menetapkan jadual had kelayakan berdasarkan pendapatan bersih.

Pendapatan BersihHad Kelayakan Maksimum
Lebih RM10,000RM1,000,000
RM10,000RM950,000
RM9,500RM930,000
RM9,000RM900,000
RM8,500RM880,000
RM8,000RM850,000
RM7,500RM830,000
RM7,000RM800,000
RM6,500RM780,000
RM6,000RM730,000
RM5,500RM670,000
RM5,000RM610,000
RM4,500RM550,000
RM4,000RM480,000
RM3,500RM430,000
RM3,000RM350,000
Sehingga RM2,500RM280,000

Jadual ini adalah berdasarkan FAQ rasmi LPPSA mengenai penambahbaikan 2026.

Nota penting: Had maksimum ini bukan bermaksud pemohon pasti menerima jumlah tersebut. Amaun yang diluluskan masih bergantung kepada kelayakan pemohon dan syarat pembiayaan yang berkuat kuasa.

Siapa yang layak menikmati had baharu?

LPPSA menyatakan jadual kelayakan baharu ini terpakai kepada kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA, tertakluk kepada syarat dan kelayakan semasa.

Bagaimanapun, terdapat kumpulan tertentu yang tidak menggunakan jadual ini, antaranya:

  • Anggota Pentadbiran Persekutuan;
  • Anggota Pentadbiran Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri; dan
  • Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Golongan tersebut tertakluk kepada peruntukan atau keputusan berkaitan yang berasingan.

Apa maksud “Pembiayaan Kedua” sekarang?

Ini bahagian yang paling menarik.

Sebelum penambahbaikan ini, pemohon secara amnya perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama sebelum membuat Pembiayaan Kedua.

Mulai 4 Oktober 2026, syarat tersebut tidak lagi diperlukan.

LPPSA menyatakan pemohon boleh memohon Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA.

Contohnya:

Ali membeli rumah pertama menggunakan LPPSA.

Pembiayaan pertama masih mempunyai baki.

Kemudian Ali mahu membeli rumah kedua.

Dengan peraturan baharu, Ali tidak perlu melangsaikan pembiayaan pertama terlebih dahulu semata-mata untuk memohon pembiayaan kedua.

Tetapi Ali masih perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi dan memenuhi syarat LPPSA.

Apakah syarat Pembiayaan Kedua?

LPPSA menetapkan beberapa syarat utama.

Pemohon perlu:

1. Merupakan kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA.

2. Potongan gaji bagi Pembiayaan Pertama telah dilaksanakan.

3. Tidak mempunyai tunggakan bayaran balik bagi Pembiayaan Pertama sedia ada.

Selain itu, permohonan tetap tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA yang berkuat kuasa.

Berapa margin Pembiayaan Kedua?

Ini juga penting kerana margin pembiayaan bergantung kepada status Pembiayaan Pertama.

Jika Pembiayaan Pertama sudah selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 100%.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Untuk Jenis 5 dan Jenis 7 bagi hartanah yang sama

LPPSA menetapkan margin sehingga 100% bagi:

  • Jenis 5 – Ambil Alih; dan
  • Jenis 7 – Ubah Suai,

bagi hartanah yang sama, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Contoh mudah Pembiayaan Kedua

Katakan seseorang masih mempunyai Pembiayaan Pertama LPPSA.

Kemudian dia mahu membeli rumah kedua berharga RM500,000.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum diselesaikan, margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Secara mudah:

RM500,000 × 90% = RM450,000

Jadi, secara teori, pembiayaan boleh mencapai sehingga RM450,000, manakala baki RM50,000 perlu ditanggung melalui sumber lain.

Tetapi angka sebenar masih tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan penilaian LPPSA.

Maksudnya, jangan terus anggap rumah RM500,000 akan mendapat pembiayaan RM450,000 kerana kelayakan sebenar setiap pemohon adalah berbeza.

Bagaimana LPPSA menentukan kelayakan?

LPPSA menggunakan kaedah pengiraan berdasarkan kemampuan bayaran balik.

Antara kriteria yang dinyatakan LPPSA ialah:

  • Ansuran bulanan tidak melebihi 60% daripada gaji pokok dan elaun tetap yang diambil kira;
  • Jumlah hutang tidak melebihi 80% daripada pendapatan bersih; dan
  • Gaji bersih sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan kasar.

Pendapatan bersih bagi tujuan pengiraan LPPSA pula merujuk kepada gaji pokok + elaun tetap yang diambil kira – potongan wajib.

Jadi, seseorang yang mempunyai gaji tinggi sekalipun tidak semestinya mendapat jumlah maksimum RM1 juta kerana pengiraan turut mengambil kira kemampuan bayaran balik.

Bagaimana pula kadar keuntungan?

Untuk pembiayaan hartanah sehingga RM1 juta, LPPSA memperkenalkan struktur kadar purata wajaran (blended rate).

Strukturnya:

Sehingga RM750,000 → 4.00% setahun

Bahagian melebihi RM750,000 sehingga RM1 juta → 4.50% setahun

Yang menariknya, pengiraan ini mengambil kira jumlah pembiayaan hartanah yang diluluskan bagi Pembiayaan Pertama dan Pembiayaan Kedua.

Contoh RM800,000

Bagi pembiayaan RM800,000:

RM750,000 pertama → 4.00%

Baki RM50,000 → 4.50%

Kadar purata wajaran yang terhasil ialah kira-kira 4.03% setahun.

RM1 juta bukan bermaksud boleh ambil RM1 juta untuk rumah kedua

Ini perkara yang ramai mungkin salah faham.

Had maksimum RM1 juta ialah had kelayakan maksimum, bukannya jumlah automatik yang boleh dipinjam.

Untuk Pembiayaan Kedua pula, LPPSA secara jelas menyatakan ia tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan.

Contohnya, jika seseorang mempunyai had kelayakan RM800,000 tetapi telah menggunakan RM600,000 bagi Pembiayaan Pertama, baki kelayakannya tidak bermaksud dia boleh terus mengambil RM800,000 lagi.

Sebaliknya, pengiraan baki kelayakan perlu dibuat berdasarkan ketetapan LPPSA.

Sebab itu LPPSA menyediakan kemudahan SmartKira untuk membuat semakan anggaran kelayakan mulai 4 Oktober 2026.

Boleh beli rumah kedua sebelum rumah pertama habis bayar?

Ya, mulai 4 Oktober 2026, boleh memohon.

Tetapi terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian:

Pertama: Pembiayaan Pertama tidak perlu diselesaikan sepenuhnya.

Kedua: Pemohon perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi.

Ketiga: Pemohon masih perlu memenuhi syarat kemampuan bayaran balik dan syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Jadi, kemudahan ini memberikan fleksibiliti, tetapi bukan “lesen” untuk mengambil hutang rumah tanpa mengambil kira kemampuan kewangan.

Semua jenis pembiayaan boleh digunakan?

Menurut FAQ LPPSA, semua jenis pembiayaan dibenarkan bagi Pembiayaan Kedua, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Namun, terdapat pengecualian tertentu.

Sebagai contoh, pelanggan yang sedang menikmati Pembiayaan Pertama Jenis 4 atau Jenis 5 bagi tanah dan belum memohon Jenis 6 untuk membina rumah, tidak dibenarkan memohon Pembiayaan Kedua bagi Jenis 4 atau Jenis 5 tanah tersebut.

LPPSA juga menjelaskan bahawa jika seseorang membeli tanah melalui Jenis 4 atau Jenis 5 dan kemudian memohon Jenis 6 untuk membina rumah di atas tanah tersebut, ia masih dianggap sebagai satu kelayakan pembiayaan, bukan Pembiayaan Kedua.

Bila boleh mula memohon?

Kemudahan baharu ini berkuat kuasa pada:

4 OKTOBER 2026

LPPSA menyatakan pelanggan boleh mengemukakan permohonan bagi kemudahan tersebut mulai tarikh berkenaan.

Bagi permohonan yang telah dikemukakan sebelum 4 Oktober 2026, LPPSA menyatakan ia akan diproses berdasarkan had kelayakan amaun pembiayaan hartanah yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan diterima.

Kesimpulan

Penambahbaikan LPPSA 2026 membawa perubahan yang agak besar kepada penjawat awam.

Had kelayakan maksimum pembiayaan kini dinaikkan sehingga RM1 juta, manakala Pembiayaan Kedua boleh dipohon tanpa perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama terlebih dahulu.

Tetapi perkara paling penting untuk difahami ialah:

RM1 juta = had kelayakan maksimum, bukan jumlah automatik.

Dan:

Pembiayaan Kedua = boleh mohon walaupun pembiayaan pertama masih berjalan, tetapi tertakluk kepada baki kelayakan dan kemampuan bayaran balik.

Jadi, kalau memang bercadang membeli rumah kedua, langkah pertama bukan terus cari rumah RM1 juta.

Semak dahulu baki kelayakan LPPSA.

Kemudian barulah tengok harga rumah yang benar-benar mampu ditanggung.

Nota: Maklumat ini berdasarkan pengumuman dan FAQ rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026. Syarat dan pengiraan sebenar adalah tertakluk kepada pekeliling, garis panduan serta ketetapan LPPSA yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan.

Sumber rasmi: LPPSA – Penambahbaikan Kemudahan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2026 termasuk jadual kelayakan RM280,000 hingga RM1 juta.