Bernilaikah Tanah Rizab Melayu?

Jika menyebut tentang tanah rizab Melayu, pasti ramai yang membayangkan kawasan pertanian atau perladangan yang terletak di kawasan pedalaman sesebuah negeri. Pasti ramai juga yang mengetahui bahawa tanah yang berstatus rizab Melayu ini hanya boleh dijual kepada orang Melayu sahaja.

Sedikit sebanyak persoalan lain pula yang timbul, iaitu bernilaikah tanah rizab Melayu? Sebab katanya banyak kekangan yang ada bila kita sebut pasal tanah rizab Melayu ni. Jom tengok 3 faktor yang boleh mempengaruhi nilai tanah rizab Melayu seperti berikut:

1. Lokasi

Sebenarnya soal nilai sesebuah hartanah rizab Melayu ini dipengaruhi oleh beberapa faktor. Di antara faktor utama adalah lokasi hartanah tersebut. Seperti juga hartanah jenis lain, sekiranya lokasi hartanah tersebut berada di kawasan bandar atau berdekatan dengan kemudahan awam, nilainya pasti lebih tinggi berbanding dengan hartanah yang terletak di ceruk kampung yang kurang membangun.

Mantra “lokasi, lokasi, lokasi” turut terpakai dalam menentukan nilai tanah rizab Melayu.

2. Jual Beli

Persoalan kedua yang berbangkit, adakah hartanah ini senang dijual? Maklumlah, tanah jenis ini tidak boleh dijual kepada bangsa lain kecuali bangsa Melayu sahaja. Jadi persoalan ini selalunya menjadi kerisauan kepada pemilik hartanah.

Semuanya akan kembali kepada point pertama iaitu lokasi. Sekiranya hartanah tersebut berada di kawasan strategik seperti Bangi dan Sungai Penchala sebagai contoh, kita tidak perlu risau untuk mencari pembeli. Ini kerana pasti ramai yang akan berebut untuk membeli hartanah tersebut, sekaligus menyebabkan harga meningkat naik.

3. Pindah Milik

Tanah Rizab Melayu memang tidak boleh dijual kepada bangsa bukan Melayu. Tetapi sekiranya anda tetap mahu menjual kepada kaum lain, ia bukan satu masalah. Cuma anda perlu melakukan beberapa proses yang agak rumit. Salah satunya ialah dengan mencari tanah dengan keluasan yang sama sebagai ganti terhadap tanah yang ingin anda tukarkan status itu.

Boleh rujuk laman web Pejabat Tanah dan Galian Kerajaan Negeri Perak untuk ketahui langkah-langkah yang perlu dilakukan.

Tanah Rizab Melayu Ada Nilai Tersendiri

Sebenarnya, apa pun status sesuatu tanah tersebut, ianya tetap bernilai. Bagi tanah rizab Melayu, mungkin mengalami kadar kenaikan nilai yang agak perlahan kalau nak dibandingkan dengan tanah freehold. Tetapi anda tetap boleh mendapatkan keuntungan daripada tanah tersebut.

Mungkin anda sendiri boleh bekerjasama dengan beberapa buah pihak untuk membangunkan kawasan tersebut?

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian