Nak Masuk Rumah Baru? Periksa 9 Perkara Ini Terlebih Dahulu

Tak perlu bersihkan rumah dan berangan sakan selepas masuk rumah baru. Itu bukan perkara pertama yang harus dilakukan. Perkara pertama yang lebih penting adalah kita perlu periksa dahulu keadaan rumah tersebut.

Ada orang periksa rumah sekali pandang sahaja tetapi akhirnya tidak perasan masalah yang berlaku. Antara masalah yang kemungkinan besar terjadi adalah plaster tanggal, dinding crack, tiles lompong, cat tanggal dan lain-lain lagi. 

Terdapat beberapa cara untuk anda periksa rumah baru dengan betul.

Kita perlu periksa sama ada rumah baru ini mempunyai sebarang kecacatan (defect) yang perlu dibaiki. Sekiranya ada kecacatan, tulis, senaraikan dan berikan buktinya kepada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.

Apa yang perlu diperiksa pada rumah baru? Jom lihat 9 perkara penting yang perlu anda periksa! Tulis setiap kecacatan tersebut di kertas dan letakkan di bahagian yang rosak itu sebagai penanda.

1. Pintu

Selepas masuk dan azankan rumah, kita boleh mula periksa rumah dari pintu. Lihat fungsi tombol pintu dan kuncinya sama ada berfungsi atau tidak.

Buka dan tutup pintu tersebut berkali-kali untuk periksa keadaannya.

2. Tiles Lompong

Tiada masalah untuk anda ketuk tiles rumah satu persatu, jika ada tiles kosong, anda perlu minta wakil pemaju untuk tampalkan yang baru.

Anda boleh ketuk tiles dengan menggunakan duit syiling atau pemutar skru untuk mengenalpasti tiles kosong dan padat.

3. Elektrik

Periksa punca elektrik dan soket setiap satunya. Hidupkan suis utama dan semak fungsi satu persatu kipas, lampu, soket dan lain-lain lagi.

4. Meter Air

Anda boleh menyemak saliran air di pili air rumah anda. Pastikan meter air dipasang dengan baik dan air mengalir lancar. Periksa semua kepala paip, kepala shower, paip air, sinki, tangki air dan sebagainya.

5. Tingkap dan Sliding Door

Periksa semua tingkap rumah anda dengan cara tutup dan buka semaksimum yang boleh. Pastikan ia boleh dikunci dan dibuka dengan baik.  Begitu juga dengan sliding door.

6. Tangga

Sekiranya rumah mempunyai tangga, pastikan pemegang tangga rumah anda tidak longgar apabila bergoyang.  Begitu juga dengan tangga yang anda naiki, pastikan ia kukuh dan tidak bermasalah.

7. Bilik Air

Periksa bilik air di tingkat atas sama ada ia bocor atau tidak. Kadang-kadang, terdapat dinding bilik air yang bocor sehingga terkeluar air di syiling atas bumbung rumah anda.

Sila maklumkan kepada kontraktor atau pemaju rumah.

8. Dinding Retak

Sama seperti bilik air, pastikan dinding seluruh rumah anda tidak retak. Ia sangat penting untuk anda maklumkan segera kepada pihak bertanggungjawab.

9. Kunci Rumah

Jangan lupa periksa semua kunci rumah anda iaitu di bahagian pintu, tingkap, tandas, sliding door dan lain-lain lagi. Bahagian ini perlu diberi perhatian lebih untuk mengelakkan berlakunya kes kecurian dan kerugian.

Luangkan masa anda untuk menyemak semua sudut rumah dengan teliti dan tepat. Catatkan masalah kerosakan atau kecacatan rumah yang berlaku dan bukti gambar tersebut. 

Dengan melakukan pemeriksaan rumah secara teliti, anda dapat mengelakkan diri daripada masalah di masa akan datang.

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman