PHB Sasar Nilai Keseluruhan Aset Meningkat Kepada RM25 Bilion Pada 2030

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) menyasarkan nilai keseluruhan asetnya akan meningkat kepada RM25 bilion menjelang 2030, berbanding kira-kira RM11 bilion setakat ini.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh berkata bagi membantu mencapai sasaran tersebut, PHB antara lainnya telah merangka Pelan Transformasi Perniagaan pada tahun ini dengan penekanan utama kepada empat aspek penting.

“(Empat aspek itu ialah) mempelbagaikan portfolio, memperkukuh tadbir urus, (meningkatkan) kecekapan pengurusan risiko dan menambah baik keupayaan modal insan.

“Transformasi ini bertujuan untuk menambah baik prestasi syarikat dan memastikan kelestarian perniagaannya,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran 1.0 bilion unit tambahan Skim Amanah Bumiputera (AHB) di sini hari ini.

Pelancaran unit tambahan tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut bersetuju untuk menaikkan kadar pelaburan individu bagi dana ini kepada RM1 juta berbanding RM500,000 sebelum ini.

Ahmad Nizam berkata terbitan 1.0 bilion unit tambahan untuk Skim AHB yang akan ditawarkan untuk langganan awam mengesahkan komitmen PHB untuk memberi peluang kepada lebih ramai Bumiputera mendapat pemilikan berfaedah dalam hartanah di lokasi utama di seluruh Malaysia.

Katanya unit tambahan itu adalah daripada suntikan aset PHB baru-baru ini, iaitu Hospital Pakar KPJ Damansara 2 di Kuala Lumpur, Mariborough College di Iskandar Puteri dan penilaian semula bangunan, iaitu Menara 1 Sentrum di Kuala Lumpur, Wisma Consplant di Subang Jaya dan Maersk Warehouse yang sebelum ini dikenali sebagai LF Logistic Warehouse di Shah Alam.

Beliau berkata dana tambahan ini juga akan memberi peluang kepada Bumiputera untuk menyimpan dan melabur terutamanya sebagai sebahagian daripada pelan persaraan mereka, apabila ekonomi negara pulih selepas pandemik.

“Sehingga kini, pemegang saham AHB terdiri daripada 75,000 pelabur individu serta 16 institusi pelaburan Bumiputera. Dengan pelancaran unit tambahan pada hari ini, amanah saham AHB akan berjumlah 5.0 bilion unit keseluruhannya,” katanya.

Bagi tahun 2024, beliau berkata PHB berhasrat untuk memastikan peluang pelaburan akan menjadi lebih terbuka kepada pelabur-pelabur kecil dan juga kelompok berpendapatan rendah Bumiputera.

“PHB juga sedang mengadakan pelbagai program baharu untuk menggalakkan golongan muda supaya menguruskan kewangan mereka secara terancang untuk persediaan masa depan yang lebih teratur melalui Amanah Saham Hartanah Bumiputera,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Trend Menurun Semakin Mengukuh

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak semalam apabila jatuh MYR45 untuk ditutup pada paras MYR4,393. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada MYR4,435. Ia kemudiannya merekodkan paras tertinggi intrahari sebanyak MYR4,456 sebelum kegiatan jualan yang tinggi mengheret FCPO ini ke arah paras terendah sesi bernilai MYR4,382. Ia kemudian menutup dagangan pada MYR4,393 dengan membentuk corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan menguasai pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan komoditi ini jelas menurun melepasi paras sokongan penting bernilai MYR4,420 dan terus ditutup di bawah garisan SMA 50 hari. RSI juga berada dalam keadaan menurun, yang menunjukkan bahawa momentum menurun adalah kuat dan terus berlangsung. FCPO kini dijangka akan menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,300. Kami tetapkan bias dagangan negatif memandangkan mereka yang menantikan penurunan harga berada dalam kawalan.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kini disemak kepada MYR4,700.

Selepas membuat penembusan menurun, paras sokongan pertama disemak kepada MYR4,300 dan diikuti oleh paras MYR4,200. Paras rintangan pertama pula sekarang berada pada MYR4,570 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,700.