Cagamas Muktamad Terbitan Bon, Sukuk Bernilai RM550 Juta

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Cagamas Bhd berjaya memuktamadkan bon dan sukuk bernilai RM550 juta yang merangkumi Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) lima tahun sebanyak RM500 juta dan Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) RM50 juta bagi lima tahun.

Hasil daripada terbitan itu akan digunakan bagi menampung pembelian pembiayaan perumahan dan aset layak daripada sistem kewangan domestik, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Chung Chee Leong berkata IMTN itu dapat dimuktamadkan melalui proses penetapan harga yang membolehkan syarikat menetapkannya pada lima mata asas dengan nisbah akhir sebanyak 3.05 kali manakala CMTN disenaraikan secara persendirian.

“IMTN itu berjaya menarik langganan daripada pelbagai barisan pelabur termasuk institusi kewangan, dana persaraan, institusi pengurusan aset, syarikat insurans dan badan negara.

“Kami juga gembira dapat memulakan tahun ini dengan terbitan bon dan sukuk bernilai RM550 juta walaupun wujud ketidaktentuan mengenai hala tuju kadar faedah global serta kebimbangan mengenai kemelesetan pada tahun ini,” katanya.

Kesemua nota itu yang akan ditebus pada nilai nominal penuh apabila matang, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat dan pada kedudukan ‘pari passu’ atau setara dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat tersebut.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840