Inflasi Malaysia Reda Kepada 3.8 Peratus Pada Disember 2022 – Perangkaan

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Inflasi Malaysia mereda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022 berbanding 4.0 peratus pada November 2022 didorong oleh kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan walau bagaimanapun inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding dengan 2.5 peratus yang dicatatkan pada 2021.

Jabatan itu menambah, mata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 129.2 pada Disember 2022 berbanding 124.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol kepada 6.8 peratus berbanding pada bulan sebelumnya (7.3 peratus) telah menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara.

“Ini diikuti oleh kumpulan pengangkutan (4.9 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.7 peratus) yang turut merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding pada November 2022.

“Namun begitu, restoran dan hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7.4 peratus berbanding November 2022 (7.0 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Harga Pengguna, Malaysia Disember 2022 yang dikeluarkan DOSM pada Jumaat.

Beliau berkata kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan kumpulan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.4 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.3 peratus) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.5 peratus).

Begitu juga pendidikan dan kesihatan masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.4 peratus dan 1.3 peratus.

Minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut masing-masing mencatatkan kenaikan marginal 0.7 peratus dan 0.4 peratus.

Mohd Uzir berkata peningkatan inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 didorong terutama oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.8 peratus), restoran dan hotel (5.0 peratus) serta pengangkutan (4.7 peratus).

“Konflik antara Rusia dan Ukraine serta kenaikan harga komoditi global pada 2022 telah menyumbang kepada kenaikan inflasi,” katanya.

Beliau berkata sementara itu, inflasi bagi suku keempat 2022 meningkat 3.9 peratus kepada 128.9 berbanding 124.1 pada suku sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi mencatatkan peningkatan 0.6 peratus berbanding suku ketiga 2022, katanya.

“Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Disember 2022 mereda kepada 0.2 peratus berbanding 0.3 peratus pada November 2022. Ini disumbangkan terutama oleh kumpulan restoran dan hotel (0.7 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (0.5 peratus),” katanya.

Beliau berkata kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding November 2022.

Peningkatan kumpulan ini terutama disebabkan oleh komponen makanan di rumah yang mencatatkan kenaikan yang lebih perlahan kepada 4.9 peratus berbanding 5.8 peratus pada November 2022, manakala makanan di luar rumah meningkat 9.6 peratus berbanding bulan sebelumnya (November 2022: 9.6 peratus), katanya.

Beliau berkata namun begitu, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (Krismas) bermula 23 hingga 27 Dis, 2022 dan penetapan harga maksimum minyak masak kemasan botol oleh kerajaan telah membantu meredakan inflasi kumpulan ini daripada terus melonjak.

Dalam perkembangan sama, inflasi pengangkutan menunjukkan peningkatan lebih perlahan kepada 4.9 peratus pada Disember 2022 berbanding tahun lepas (November 2022: 5.0 peratus) disebabkan oleh peningkatan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 yang lebih rendah.

Oleh itu, subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian menjadi sederhana kepada 4.3 peratus berbanding 5.1 peratus pada November 2022.

Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 meningkat sebanyak 20.0 peratus (RM3.60 seliter) berbanding RM3.00 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

DOSM menjelaskan kenaikan harga minyak ini terutama purata harga petrol tanpa plumbum RON97 dipengaruhi oleh harga minyak mentah Brent (8.9 peratus) kepada US$80.90 setong pada Disember 2022.

Mengulas mengenai inflasi di peringkat negeri pula, Mohd Uzir berkata empat negeri merekodkan inflasi melebihi paras nasional 3.8 peratus iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.9 peratus), Selangor (4.5 peratus), Sarawak (4.1 peratus) dan Johor (3.9 peratus).

Beliau berkata Kedah merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.2 peratus.

Sementara itu, inflasi bagi kumpulan berpendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.6 peratus daripada 125.3 pada Disember 2021 kepada 129.8 pada Disember 2022 disebabkan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 6.1 peratus.

Tambahan pula, Inflasi bagi kumpulan restoran dan hotel turut meningkat 7.8 peratus diikuti hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (4.2 peratus); pengangkutan (2.6 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.2 peratus) serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.8 peratus).

Ketua Perangkawan berkata inflasi teras yang mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan, tanpa mengambil kira harga makanan segar yang tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan mencatatkan peningkatan 4.1 peratus pada Disember 2022 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu 8.1 peratus. Selain itu, kumpulan restoran dan hotel turut mencatatkan kenaikan 7.4 peratus, diikuti oleh pengangkutan (7.3 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.7 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.4 peratus), katanya.

Mengenai inflasi negara lain, beliau berkata bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia (3.8 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Filipina (8.1 peratus), Thailand (5.9 peratus), Indonesia (5.5 peratus) dan Republik Korea (5.0 peratus).

“Kadar inflasi Zon Euro mereda kepada 9.2 peratus pada Disember 2022 daripada 10.1 peratus pada bulan sebelumnya. Peningkatan perlahan ini didorong oleh inflasi tenaga yang mereda kepada 25.7 peratus (November 2022: 34.9 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata walau bagaimanapun, makanan, alkohol dan tembakau (13.8 peratus); barangan perindustrian bukan tenaga (6.4 peratus) dan perkhidmatan (4.4 peratus) menunjukkan kadar inflasi yang lebih tinggi berbanding November 2022.

Kadar inflasi di Amerika Syarikat mereda kepada 6.5 peratus pada Disember 2022 berbanding November 2022 (7.1 peratus), katanya.

— BERNAMA

TAG: DOSM, Inflasi, makanan dan minuman bukan alkohol, RON97, Brent, Rusia, Ukraine, Mohd Uzir Mahidin, inflasi tenaga

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari