Trend Kenaikan Harga Emas Di Malaysia Mungkin Berkekalan — Penganalisis

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Trend kenaikan harga emas di Malaysia mungkin akan berterusan, didorong oleh gabungan pelbagai faktor ekonomi global dan gelagat pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn Bhd Mohd Faizal Mohd Nor berkata pasaran emas sentiasa menjadi pengukur kepada sentimen ekonomi global, mencerminkan keyakinan dan ketidaktentuan.

Sejak kebelakangan ini, pasaran mengalami turun naik yang ketara berikutan gabungan ketegangan geopolitik, penunjuk ekonomi dan gelagat pelabur.

“Di Malaysia, faktor seperti prestasi ringgit, perubahan dalam dasar kerajaan seperti (cadangan) pelaksanaan cukai barangan bernilai tinggi serta landskap ekonomi yang lebih luas akan terus mempengaruhi harga emas,” katanya kepada Bernama.

Lonjakan harga emas dikompaun oleh kelemahan ringgit Malaysia berbanding dolar US, ini telah mengukuhkan peningkatan momentum dalam harga emas.

Beliau berpendapat harga emas lazimnya berkembang dalam persekitaran yang ditandai dengan kadar faedah yang rendah, tekanan inflasi atau kebimbangan terhadap penurunan nilai mata wang kerana logam berharga itu berfungsi sebagai pelindung nilai terhadap penyusutan nilai mata wang.

Pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang agak mendatar termasuk dasar monetari akomodatif boleh menambah lagi tarikan emas sebagai penyimpan nilai alternatif, katanya.

Sejak dua bulan lepas, harga emas secara relatifnya kekal stabil disebabkan oleh dua faktor iaitu jangkaan inflasi serta ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah dan konflik Rusia-Ukraine.

Namun, katanya selain daripada kebimbangan geopolitik, peniaga juga dirangsang oleh petunjuk positif seperti pertumbuhan keluaran dalam negara kasar China, yang telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

“Peranan besar China dalam pembelian emas bermakna pemulihan dalam pertumbuhan ekonominya boleh mencetuskan permintaan kukuh untuk emas.

“Beberapa perkembangan penting juga berlaku, terutamanya daripada gergasi Wall Street. Citibank, misalnya, telah mengunjurkan bahawa berdasarkan momentum semasa, harga emas boleh melonjak kepada US$3,000 satu auns,” katanya. (US$1=RM4.76)

Mohd Faizal juga melihat walaupun indeks dolar US serta hasil Perbendaharaan AS yang kekal mantap, beberapa faktor lain turut menyumbang kepada trend kenaikan harga emas yang berterusan.

Prestasi pasaran perumahan AS, data indeks harga pengguna dan jangkaan kemungkinan penurunan kadar faedah pada Jun ini turut memainkan peranan penting dalam menyokong trajektori kenaikan harga logam itu, katanya.

“Saya percaya pasaran akan memantau rapat sama ada ketegangan (yang semakin memuncak ) antara Iran dan Israel baru-baru ini telah mencapai tahap tertinggi atau wujud kemungkinan ia merebak lebih jauh.

“Sekiranya ketegangan terus memanas dengan ketara, ia mungkin mengakibatkan peningkatan minat pelabur terhadap aset selamat seperti emas dalam usaha mereka bagi melindungi pelaburan daripada ketidaktentuan yang berlaku,” katanya lagi.

Selain itu, beliau menekankan bahawa sentimen takut tercicir dalam mengambil peluang kenaikan tersebut juga memainkan peranan penting dalam momentum harga emas,

“Ketika nilai emas melonjak, individu yang sebelum ini teragak-agak untuk melabur kini mungkin berasa terdorong mengambil bahagian bagi memperoleh keuntungan.

“Penambahan dalam angka pelabur baharu yang ingin membeli emas turut menyokong permintaan keseluruhan untuk emas.

“Oleh itu, harga terus menaik dalam kitaran berterusan apabila setiap cetusan harga terus menarik lebih ramai pelabur, sekali gus memacu peningkatan harga,” tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Harga Emas Boleh Cecah RM700 Segram Menjelang Hujung Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Harga emas berpotensi meningkat kepada RM700 segram menjelang hujung tahun ini didorong ketegangan geopolitik global serta ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

Ketika ini, harga komoditi itu diniagakan pada RM582 segram dengan paras tertinggi pernah dicapai ialah sekitar RM675 segram pada awal Januari lalu.

Ahli ekonomi, Prof Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, berkata meskipun terdapat faktor yang boleh menekan harga emas seperti penjualan pegangan oleh sesetengah negara, kesan keseluruhan daripada konflik geopolitik dan kejutan harga minyak dijangka terus menyokong kenaikan logam berharga itu.

“Kalau dilihat kepada keadaan semasa, harga emas memang ada turun naik, tetapi trend jangka panjang masih menaik. Ketegangan geopolitik akan terus menjadi pemacu utama,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog bertajuk ‘Emas dalam persekitaran global yang tidak menentu’ anjuran Habib Jewels Sdn Bhd di sini, hari ini.

Dialog itu dikendalikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib.

Mengulas lanjut, Dr Ahamed Kameel yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Penyelidikan) Universiti Sultan Azlan Shah, berkata harga emas sebelum ini hampir mencecah paras RM700 segram pada Januari lalu sebelum susut semula ke sekitar RM600, namun paras itu dijangka diuji sekali lagi dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, kenaikan harga emas sejak awal 2000 menunjukkan trajektori yang konsisten, sekali gus menepis kebimbangan berlakunya gelembung harga dalam masa terdekat.

“Sejak 2001, harga emas menunjukkan trend menaik yang berterusan. Jadi walaupun sekarang nampak tinggi, saya masih melihat ruang untuk ia meningkat lagi,” katanya.

Sementara itu, Meer Habib berkata, keyakinan pengguna terhadap pembelian emas dilihat terus kukuh meskipun berlaku ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk konflik melibatkan Iran, dengan trend pembelian menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh semasa.

Katanya, situasi itu berlaku walaupun harga emas mengalami sedikit penurunan dalam jangka pendek, susulan faktor luaran seperti keperluan negara tertentu menggunakan rizab untuk menampung kos tenaga, khususnya minyak.

“Penurunan harga emas ketika ini tidak menjejaskan sentimen pengguna, malah dilihat sebagai perkembangan positif yang mendorong lebih ramai pelanggan kembali membeli emas.

“Keyakinan pelanggan sebenarnya meningkat. Walaupun harga emas turun sedikit, ia berlaku atas sebab yang baik, antaranya kerana negara menggunakan rizab emas untuk keperluan penting seperti tenaga.

“Ini membuka peluang kepada pengguna yang sebelum ini merasakan mereka terlepas peluang apabila harga terlalu tinggi,” katanya.

Menurut Meer Habib, perkembangan itu menyebabkan peningkatan pembelian emas dalam kalangan pengguna, terutama ketika harga menunjukkan pelarasan sementara.

Dalam masa sama, beliau berkata perubahan tingkah laku pembelian turut ketara apabila semakin ramai lelaki mula membeli emas sebagai instrumen pelaburan, berbanding sebelum ini yang lebih didominasi golongan wanita untuk tujuan perhiasan.

“Jika dahulu pembelian jongkong emas hanya sekitar lima hingga 10 peratus, kini ia meningkat sehingga kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan jualan,” katanya.

Beliau berkata, trend itu mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap emas sebagai aset pelaburan jangka panjang, selain faktor ketidaktentuan ekonomi global yang terus menyokong permintaan terhadap aset selamat .

Pada masa sama, katanya pembelian barang kemas juga kekal kukuh kerana pengguna melihatnya sebagai gabungan nilai estetika dan pelaburan.

“Emas memberi dua manfaat, iaitu sebagai perhiasan dan juga pelaburan. Sebab itu permintaan terhadap barang kemas masih meningkat walaupun harga tinggi,” katanya.

— Berita Harian