Essex Boys: Untung USD660 Juta Sewaktu Krisis Harga Minyak

Oil futures merupakan instrumen pelaburan yang paling terkesan sewaktu dunia mula dilanda wabak Covid-19 apabila pertumbuhan ekonomi hampir di seluruh dunia diunjurkan pada paras negatif.

Kelembapan ekonomi mengakibatkan permintaan minyak mentah berkurangan dan mengakibatkan harga minyak dunia semakin jatuh.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan beberapa negara pengeksport minyak lain kemudiannya membentuk OPEC+ berbincang dan bersetuju bagi mengurangkan jumlah pengeluaran minyak oleh negara masing-masing bagi mengawal harga minyak di pasaran.

Penganalisa pasaran menyuarakan pandangan mereka bahawa terdapat kebarangkalian harga minyak bakal jatuh di bawah paras sifar akibat kekurangan pusat penyimpanan minyak yang tidak terjual hasil dari jumlah permintaan yang jatuh secara mendadak akibat wabak yang melanda.

Pada 20 April 2020, jangkaan para penganalisa menjadi kenyataan apabila pasaran dikejutkan dengan kejatuhan harga WTI futures yang dibuka sekitar USD17.73 sebelum menjunam sehingga ke paras terendah pada USD-40.32 dan akhirnya ditutup pada harga USD-37.63.

Pelabur yang membuat pelaburan pada instrumen Crude Oil Treasure yang dijual oleh Bank of China mengalami anggaran kerugian sebanyak USD1.6 bilion akibat daripada kejatuhan harga minyak yang melebihi 300% dalam masa sehari.

Vega Capital London Ltd, sebuah syarikat yang didaftarkan di Essex dan mempunyai sembilan pedagang yang bernaung di bawahnya. Kumpulan pedagang Vega Capital yang digelar Essex Boys ini dibarisi pedagang dari pelbagai peringkat umur dengan yang termuda hanya berumur 22 tahun.

Essex Boys mula menjadi bualan ramai di kalangan pemain industri apabila mereka dikatakan telah berjaya meraih keuntungan terkumpul sebanyak USD660 juta dalam jangka masa beberapa jam ketika pelabur dan pedagang lain mengalami kerugian teruk akibat daripada pergerakan harga minyak yang mencecah paras negatif.

Tiga pedagang daripada kumpulan tersebut berjaya membuat keuntungan melebihi USD100 juta setiap seorang dengan dua orang daripada mereka berumur 25 tahun dan seorang lagi berumur 22 tahun.

Kumpulan tersebut dikatakan telah menggunakan instrumen Trade at Settlement (TAS) yang membolehkan mereka membeli sejumlah kontrak WTI futures pada apa-apa sahaja harga pada pukul 2.30 petang.

Dalam pada masa yang sama, mereka juga dilaporkan merupakan penjual terbesar WTI futures pada hari tersebut mengatasi syarikat minyak gergasi yang lain.

Dengan kaedah ini, kumpulan tersebut berjaya mengaut keuntungan melalui perbezaan harga penjualan mereka dengan harga pembelian melalui TAS pada pukul 2.30 petang.

Setakat ini, tiada sebarang tuduhan dikenakan terhadap kumpulan tersebut walaupun ada siasatan yang dijalankan.

Ramai yang beranggapan bahawa terdapat unsur manipulasi pasaran kerana harga WTI futures jatuh secara mendadak dan ada juga yang beranggapan kumpulan tersebut tidak melakukan sebarang salahlaku dan mereka berjaya ‘beat the market’ dengan membuat keuntungan paling besar sewaktu krisis harga minyak paling teruk dalam sejarah.

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.