Kenali Syarikat Faiza Dan Pemiliknya, ‘Beras Faiza’ Pilihan Ramai

Semua orang mempunyai kisah masing-masing untuk diceritakan, begitu juga dengan kisah kejayaan seorang usahawan wanita berusia ini. Dikenali dengan nama Faiza Bawumi Sayed Ahmad, beliau merupakan pemilik Syarikat Faiza Sdn Bhd yang terkenal dengan Beras Faiza.

Latar Belakang Syarikat Faiza

Syarikat Faiza Sdn Bhd adalah syarikat Bumiputera Muslim yang telah ditubuhkan sejak tahun 1982 lagi. Syarikat ini sangat terkenal dengan produk beras sehingga disebut-sebut sebagai Beras Faiza.

Selain daripada beras, Syarikat Faiza juga merupakan pengeluar produk makanan lain seperti bihun, sos cili, rempah, kicap, bubur herba dan bermacam-macam lagi.

Semasa tahun 1990-an, Syarikat Faiza mula memperkenalkan beras nasi “Ponni” Herbal kepada seluruh Malaysia. Beras berkualiti herba dari negara Kartanaka, India Selatan ini yang dikenali dengan nama Taj Mahal, ada peminatnya yang tersendiri.

Dengan kehadiran Taj Mahal, beras Syarikat Faiza seperti Basmathi, Beras Super Thailand dan Beras Wangi turut mendapat permintaan.

Kekuatan Dan Inspirasi Syarikat Faiza

Kejayaan Syarikat Faiza pada hari ini datangnya dari kekuatan hebat ahli kumpulan yang berpengalaman dan profesional. Masing-masing mempunyai kehebatan dalam bidang masing-masing.

Daripada segi produk, Syarikat Faiza memastikan kualiti produk mereka terjamin, terjaga baik dan sentiasa memahami apa yang terbaik untuk masyarakat.

Pemilik Faiza Sdn Bhd ini juga meletakkan azam untuk menjadi pembayar zakat terbesar di negara Malaysia menjadikan beliau tidak pernah berputus asa untuk berjaya walaupun dalam usia yang meningkat.

Seorang nenek yang mempunyai 32 orang cucu ini masih lagi giat aktif dalam mengatur langkah untuk memajukan perniagaannya sehinggalah sekarang.

Permulaan Syarikat Faiza

Kredit Gambar: Media Wanita Maya

Puan Hajah Faiza Bawumi Sayed Ahmad dilahirkan pada 9 Mac 1942 di Kaherah, Mesir dengan nama Faiza yang diberi adalah bermaksud ‘Kejayaan’. Beliau menubuhkan syarikat pemborong beras di Malaysia selepas mengikuti suaminya berhijrah ke sini.

Cita-cita menjadi doktor tidak kesampaian namun rezeki pembuatan rempah kari dan beras Faiza menyebabkan beliau berjaya sehingga ke hari ini. Dengan bermodalkan RM4 sahaja, kini produk Faiza dikenali di serata dunia.

Sejak usia 14 tahun lagi, beliau sudah minat untuk berniaga dan terlibat dalam rekaan fesyen dan menjahit. Dengan adanya sedikit modal, beliau mula berfikir untuk berniaga beras.

Beliau mula melakukan kajian pasaran untuk mendapatkan maklum balas siapa yang ingin membeli sekiranya beliau menjual beras.

Akhirnya, beliau memohon lesen pemborong beras dan mendapat kelulusan untuk menjual beras. Pada waktu itu, beras yang dikeluarkan oleh Syarikat Faiza adalah beras wangi, basmathi dan beras siam yang berjenama Bunga Raya.

Kemudian, beras Faiza mula dijual di negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka dan Kuala Lumpur dalam masa 9 tahun.

Kualiti Beras Dan Produk Terbaik

Sekitar tahun 1998, jenama dan kualiti beras yang dikeluarkan mendapat perhatian masyarakat di Malaysia apabila beras Ponni dari India yang elok untuk penghidap diabetis, darah tinggi dan obesiti mula diedarkan.

Hasil kajian Universiti Putra Malaysia terhadap beras Taj Mahal adalah positif dan Faiza telah memperoleh hak eksklusif daripada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Memiliki Sistem Operasi Yang Efektif

Siapa sangka hanya bermula dengan beras borong, hari ini Syarikat Faiza mempunyai lebih daripada 500 orang pekerja. Mereka juga mempunyai mesin khas bihun yang didatangkan dari China.

Menariknya, kilang Faiza mampu mengeluarkan 9 tan bihun setiap hari untuk dipasarkan.

Menjadi Tokoh Masyarakat

Menerima Anugerah Tokoh Ibu Mithali Perkim, beliau sangat suka melakukan hal kebajikan dan tidak semata-mata mengaut untung dalam bisnes.

Sehingga sekarang, hampir 10 tahun Syarikat Faiza bekerjasama dengan TV3 sebagai penaja program Bersamamu yang memaparkan kehidupan mereka yang kesusahan.

Jumlah Jualan Beras Faiza Dijangka Meningkat

Hasil jualan tahun lalu sebanyak RM200 juta dijangka meningkat pada tahun ini dan seterusnya. Semasa tempoh PKP yang bermula sejak Mac 2020, jualan mereka meningkat sebanyak 50% di mana ramai orang duduk di rumah dan makan di rumah sahaja.

Syarikat Faiza ini bermula dari bawah dengan memborong beras, namun kini telah mengukir kejayaan dan dikenali ramai.

Sumber Rujukan: Faiza Rice

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.