Bursa Malaysia Derivatives Catat Kepentingan Terbuka Tertinggi Baharu Bagi Kontrak FCPO

KUALA LUMPUR, March 21 (Bernama) — Bursa Malaysia Derivatives Bhd mencatatkan kepentingan terbuka harian tertinggi baharu bagi kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentahnya (FCPO), mencerminkan kekuatan di sebalik sentimen kukuh dalam pasaran minyak sawit mentah.  

Kepentingan terbuka, jumlah kontrak hadapan atau opsyen tertunggak pada penghujung hari dagangan, berfungsi sebagai pengukur penting bagi sentimen pasaran dan momentum aliran harga.

Bursa Malaysia Derivatives dalam satu kenyataan hari ini berkata kepentingan terbuka bagi FCPO mencecah paras rekod tertinggi berjumlah 299,190 kontrak pada 14 Mac, 2024, mengatasi paras tertinggi sebelum ini sebanyak 287,859 pada 10 Sept, 2014.

“Ini selari dengan kemuncak baharu dalam gabungan kepentingan terbuka bagi semua produk, berjumlah 360,132 kontrak, mengatasi paras tertinggi sebelumnya iaitu 346,403 kontrak pada 26 Feb, 2020.

“Kepentingan terbuka kekal pada paras tinggi yang stabil sepanjang minggu;  kontrak FCPO ditutup semalam pada 291,127 kontrak dan semua produk digabungkan pada 352,054 kontrak,” kata pengendali pasaran saham itu.

Peningkatan kepentingan terbuka dalam FCPO sejak pertengahan Februari 2024 itu mencerminkan penyertaan rancak dalam pasaran, yang didorong sebahagiannya oleh tinjauan positif terhadap harga minyak sawit mentah baru-baru ini.

“Prestasi ini yang dirangsang oleh kekukuhan harga minyak makan saingan dan kenaikan harga minyak mentah menunjukkan dinamik saling berkait dalam pasaran minyak sawit,” katanya.

Menambah kepada momentum positif itu, FCPO Malaysia menyaksikan pasaran itu ditutup di paras tertinggi dalam tempoh lebih setahun pada 13 Mac, 2024

Penanda aras kontrak bulan ketiga meningkat sebanyak RM66, atau naik 1.6 peratus, untuk ditutup kepada RM4,195 — paras penutup tertinggi sejak 9 Mac, 2023.

Pengarah Bursa Malaysia Derivatives Mohd Saleem Kader Bakas berkata, lonjakan dalam pasaran FCPO ini, di tengah-tengah anjakan dinamik pasca pandemik dan landskap geopolitik yang tidak menentu, menunjukkan keupayaan pasaran kita menyesuaikan diri dan berfungsi sebagai hab kritikal untuk pengurusan risiko harga yang berkesan.

“Ia bukan sahaja mencerminkan kedalaman dan kecairan pasaran kita tetapi juga mengukuhkan kedudukan strategik Malaysia sebagai hab perdagangan global bagi minyak boleh dimakan, sejajar dengan matlamat kita untuk memenuhi keperluan kompleks peserta antarabangsa dalam era yang sentiasa berubah ini,” katanya.

Selain itu,  pengenalan kontrak Niaga Hadapan Minyak Kacang Soya Bursa Malaysia DCE (FSOY) awal minggu ini, melalui kerjasama dengan salah satu bursa komoditi terbesar di China, Dalian Commodity Exchange (DCE), menunjukan kemajuan ketara dalam usaha untuk mempelbagaikan penawaran komoditi Bursa Malaysia Derivatives.

“Pelancaran ini bukan sahaja menandakan penerokaan pertama bursa ke dalam niaga hadapan minyak makan bukan berasaskan sawit tetapi juga sejajar dengan matlamat strategiknya untuk mengembangkan portfolio komoditi.

“Dengan meluaskan rangkaian produk derivatifnya, Bursa Malaysia Derivatives mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perdagangan global pelbagai komoditi, memenuhi pelbagai keperluan pasaran,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.