Kenali Bisnes Lain Berkaitan Lee Thiam Wah, Pengasas 99 Speedmart

Lee Thiam Wah dikenali sebagai ‘Raja Mini Mart’ dan dilahirkan pada tahun 1964 di Klang. Beliau mengalami polio semasa bayi, sehingga menyebabkan kehilangan fungsi kedua-dua belah kaki dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Lee hanya mendapat pendidikan sekolah rendah. Namun, perkara tersebut tidak menghalang beliau untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Lee mula berjinak-jinak dalam perniagaan dengan menjual snek di tepi jalan sebelum akhirnya berjaya mengumpulkan wang yang mencukupi untuk membuka sebuah kedai runcit pada usia 23 tahun. Perkara ini kemudiannya membuka jalan kepada kerjayanya dalam industri runcit sehingga lahirnya 99 Speemart yang kita kenali hari ini. Pada 25 November 2021, 99 Speedmart telah melancarkan cawangannya yang ke-2,000, menurut laman webnya.

Kini, Lee Thiam Wah meerupakan seorang usahawan yang berpengaruh dalam industri peruncitan Malaysia serta memiliki pelbagai kepentingan perniagaan di pelbagai sektor di dalam dan luar negara. Berikut adalah beberapa contoh pegangan bisnes Lee Thiam Wah:

99 Speedmart

Penglibatan: Pengasas dan pemegang saham

99 Speedmart pertama kali dibuka pada tahun 1987 di Taman Sentosa, Klang, Selangor. Ia adalah hasil usaha Lee Thiam Wah yang memulakan perniagaan ini dengan kedai runcit kecil sebelum berkembang dan membuka banyak cawangan di seluruh Malaysia, menjadikannya salah satu rangkaian pasar mini yang paling popular di negara ini.

Burger King (Malaysia dan Singapura)

Penglibatan: Pengarah (dilantik pada 18 Ogos 2015) dengan pegangan saham sebanyak 70% (tidak langsung) dalam Cosmo Restaurants Sdn Bhd.

Pada tahun 2015, Lee membeli rangkaian restoran makanan segera Burger King di Malaysia dan Singapura daripada Ekuiti Nasional Bhd dengan harga RM74.6 juta. Tahun 2022, syarikat melaporkan jualan sebanyak RM248 juta dan kerugian sebanyak RM1 juta.

Alliance Bank

Penglibatan: Pegangan saham sebanyak 5.076%

Lee Thiam Wah muncul sebagai antara pemegang saham besar dalam Alliance Bank Malaysia Bhd, menerusi Global Success Network Sdn Bhd.

Careon Pharmacy

Gambar: depkes.org

Penglibatan: Pengarah (dilantik pada 15 September 2020) dan pemegang saham yang besar (langsung)

Careon Pharmacy Sdn Bhd adalah rangkaian farmasi runcit yang dimiliki sepenuhnya oleh Lee Thiam Wah. Ditubuhkan pada tahun 2020, Careon Pharmacy bertujuan untuk menyediakan produk farmaseutikal dan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat. Tahun 2022, syarikat ini melaporkan jualan sebanyak RM20 juta dan kerugian dalam RM7 juta.

Selain Careon Pharmacy, satu lagi jenama farmasi di bawah Lee Thiam Wah adalah Medsense Pharmacy di bawah syarikat Subang Excel Healthcare Sdn Bhd. Saham syarikat ini dipegang sepenuhnya oleh Careon Pharmacy Sdn Bhd.

Ali, Muthu dan Ah Hock

Penglibatan: Pengarah (dilantik pada 1 Mac 2019) dan dengan pegangan saham terbesar dalam syarikat Nasi Lemak Gempak Sdn Bhd.

Lee Thiam Wah memiliki pegangan saham terbesar dalam kopitiam Ali, Muthu dan Ah Hock. Rangkaian restoran ini terkenal dengan suasana kopitiamnya dan menawarkan pelbagai masakan tempatan Malaysia dalam suasana santai. Not bad, tahun 2022 syarikat melaporkan jualan sebanyak RM30 juta dan keuntungan dalam RM1 juta.

Radiant Globaltech (disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia)

Penglibatan: Pegangan saham sebanyak 15.40% dalam Radiant Globaltech Bhd

Lee Thiam Wah muncul sebagai pemegang saham ketiga terbesar dalam pembekal penyelesaian teknologi runcit (perkakasan dan perisian), Radiant Globaltech Bhd (RGTech). Lee memegang saham sebanyak 15.40% melalui syarikatnya iaitu Global Success Network Sdn. Bhd. Tahun 2022 syarikat melaporkan jualan sebanyak RM137 juta dan keuntungan RM9 juta.

Sumber : BursaMarketPlace

U Stars Supermarket (Singapura)

Penglibatan: Pengarah (dilantik pada 3 April 2023) dan pemegang saham yang besar (tidak langsung)

The Bakery Depot Pte Ltd (Singapura)

Penglibatan: Pemegang saham yang besar (tidak langsung)

Cleanwave

Penglibatan: Pengarah (dilantik pada 5 Julai 2018) dan pemegang saham yang besar (tidak langsung)

Syarikat ini terlibat dalam pengangkutan, logistik, perdagangan, pengilangan, pengedaran, import dan eksport, penyimpanan, penjualan dan pemasaran pelbagai produk penjagaan rumah dan kebersihan, produk pembersihan, kosmetik dan produk penjagaan diri.

Untuk makluman juga, 99 Speedmart ingin apungkan 17% sahamnya melalui IPO dengan anggaran RM1.5 billion. Akan tetapi IPO 99 Speed Mart yang akan dilancarkan nanti nampaknya macam tidak patuh syariah.

Sumber: Prospektus IPO 99 Speedmart

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!


Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.