Berjaya Food Catat Kerugian Lebih Besar Dalam Tahun Kewangan 2025

PETALING JAYA: Berjaya Food Bhd (BFood), yang mencatatkan kerugian bersih lebih besar bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun (FY25), berkata ia kekal komited untuk mencipta nilai jangka panjang pada tahun akan datang melalui inovasi, transformasi digital dan pengukuhan penglibatan pelanggan.

“Strategi kami memberi tumpuan kepada pengembangan kehadiran digital dan sosial, disokong oleh pengalaman kedai fizikal yang lebih menarik bagi memperkukuh hubungan dengan pengguna.

“Kami akan terus memperkukuh perniagaan teras, membina daya tahan, dan menyampaikan pertumbuhan mapan, meningkatkan ekuiti jenama serta prestasi kewangan yang lebih baik, di samping memacu pengembangan antarabangsa bagi membuka nilai pemegang saham yang lebih besar,” kata BFood dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.

BFood mengendalikan jenama termasuk Starbucks Malaysia, Kenny Rogers Roasters, Paris Baguette, Joybean dan Kelava.

Dalam suku keempat berakhir 30 Jun, BFood mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM185.8 juta berbanding RM38.2 juta pada tahun sebelumnya.

Kerugian yang lebih tinggi itu banyak disumbangkan oleh kerugian susut nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan serta aset hak guna kedai yang tidak berprestasi.

Hasil suku tahunan pula merosot 11.2% kepada RM115.9 juta daripada RM130.5 juta, terutamanya disebabkan oleh pengurangan bilangan kedai yang beroperasi.

Bagi tahun kewangan 2025, BFood melaporkan kerugian bersih sebanyak RM291.9 juta berbanding RM90.9 juta pada tahun sebelumnya, apabila hasil jatuh 36.5% kepada RM476.8 juta daripada RM750.7 juta pada FY24.

Sebelum pengumuman keputusan itu, penganalisis telah menyatakan bahawa mereka menjangkakan syarikat akan terus berdepan persekitaran operasi yang mencabar berikutan kesan berterusan ketegangan geopolitik dan perdagangan, yang tidak menunjukkan tanda-tanda reda, selain persaingan dalam rangkaian kedai kopi yang terus meningkat di pasaran tempatan.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.