Pembatalan Belian Oleh Kilang Penapis India Dianggap Tindakan Sementara – Johari

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) — Keputusan kilang penapis India membatalkan pembelian kira-kira 100,000 tan minyak sawit sebagai respons terhadap kenaikan cukai import yang diputuskan kerajaannya baru-baru ini dianggap satu tindakan sementara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurut laporan, India menaikkan cukai import asas ke atas minyak makan mentah dan ditapis sebanyak 20 mata peratusan, sekali gus meningkatkan jumlah duti import minyak sawit mentah (MSM) kepada 27.5 peratus daripada 5.5 peratus

Pembatalan itu mewakili 13.3 peratus daripada jumlah import bulanan India, yang berjumlah 750,000 tan.

Bagaimanapun, Johari menyatakan keyakinan bahawa, berdasarkan populasi India sebanyak 1.45 bilion, negara itu akan terus memerlukan minyak sayuran untuk penggunaan.

“Kami akan terus menjadi rakan yang baik (kepada India) dan menawarkan minyak sawit mampan,” katanya pada sidang media sempena Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) 2024 di sini, pada Selasa.

India ialah pengimport terbesar dunia dan pengguna minyak makan kedua terbesar.

Pada tahun fiskal 2022-23 (April-Mac), India mengimport 16.5 juta tan minyak makan, dengan pengeluaran domestik hanya memenuhi 40 hingga 45 peratus daripada jumlah keperluan.

Penggunaan minyak dan lelemak oleh India adalah kira-kira 27.2 juta tan pada 2023, dengan minyak sawit menyumbang 36 peratus kepada angka itu.

Pada 2023, India mengimport 2.83 juta tan minyak sawit dari Malaysia, mewakili 18 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia. Pembekal minyak sawitnya yang lain termasuk Indonesia dan Thailand.

Ketika ditanya mengenai potensi perbincangan dengan kerajaan India agar duti import itu dipertimbangkan semula, Johari berkata keputusan sedemikian adalah hak kerajaan masing-masing.

“Kami tidak boleh berbuat demikian (meminta kerajaan India untuk mempertimbangkan semula) kerana itu adalah hak kerajaan mereka dan sebarang isu cukai adalah berkenaan negara itu, kami tidak boleh campur tangan,” katanya.

Menjawab soalan mengenai Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan eksport ke Rusia, beliau berkata Malaysia menawarkan minyak sawit kepada Moscow untuk penggunaan makanan dan bukan makanan.

Beliau berkata Malaysia masih belum meneroka sepenuhnya potensi pasaran populasi Rusia sebanyak 144.82 juta.

“Saya mahu menumpukan kepada minyak sawit dan (meneroka) sebarang peluang perdagangan lain yang boleh diusahakan bersama oleh Malaysia dan Rusia,” katanya.

Sementara itu, MPOF, anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), menarik hampir 500 pihak berkepentingan antarabangsa terkemuka, termasuk pengilang, peniaga, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan industri, untuk menangani cabaran dan memanfaatkan peluang penting yang membentuk masa depan minyak sawit.

MPOF 2024 yang bertemakan “Navigating Trade Challenges with Sustainable Solutions” menghimpunkan hampir 100 pembeli minyak dan lelemak dari lebih 30 negara, memberikan peluang kepada mereka untuk bekerjasama dengan pembekal minyak sawit tempatan dan sumber produk minyak sawit untuk pasaran dan sektor pembuatan masing-masing.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Harga Rujukan Minyak Masak Terpakai Akan Diperkenal Tidak Lama Lagi

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan memperkenalkan harga rujukan rasmi minyak masak terpakai (UCO) pada suku pertama 2026 sebagai usaha meningkatkan ketelusan pasaran serta mengelakkan manipulasi harga.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata langkah itu akan menyediakan panduan harga yang lebih jelas, menyokong amalan perdagangan adil, melindungi pemain kecil daripada manipulasi harga dan penipuan, selain menjadi langkah penting ke arah mewujudkan pasaran UCO yang lebih teratur serta mampan.

“Minyak masak terpakai berperanan penting dalam peralihan daripada sisa kepada sumber bernilai, khususnya bagi kegunaan hiliran seperti biobahan api dan produk kimia berasaskan sawit. MPOB akan terus memperkukuh tadbir urus, menyediakan penjejakan yang jelas serta maklumat pemantauan pasaran bagi memastikan UCO diuruskan secara selamat dan teratur,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Seminar Tinjauan dan Prospek Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2026 di sini, hari ini.

Noraini berkata harga purata minyak sawit mentah meningkat 2.7 peratus kepada RM4,292 setan metrik pada 2025 berbanding RM4,179 setan metrik pada 2024. Pada masa sama, hasil eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit dijangka melebihi RM100 bilion, manakala pengeluaran minyak sawit mentah menghampiri 20 juta tan.

“Ini merupakan pencapaian yang kukuh. Dari perspektif kerajaan, daya saing Malaysia pada masa depan bergantung kepada tiga keutamaan utama iaitu peningkatan produktiviti, pengukuhan jaminan kelestarian serta penerimagunaan inovasi yang lebih pantas,” katanya.

Mengulas prospek industri, Noraini menyifatkan masa depan minyak sawit kekal cerah dengan keutamaan untuk memperkukuh produktiviti, kemampanan dan penerimagunaan secara seiring. Beliau turut mengingatkan kepentingan menumpukan aspek kualiti, kelestarian dan penjejakan, bukan sekadar meningkatkan jumlah pengeluaran.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus memperkukuh sistem jaminan bagi memastikan minyak sawit Malaysia kekal dipercayai dan berdaya saing di peringkat global. “Saya yakin industri sawit Malaysia mempunyai masa depan yang kukuh dan berdaya tahan, namun pertumbuhan itu perlu seiring dengan kelestarian, keterangkuman dan inovasi, yang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri, penyelidik serta pekebun kecil,” katanya.

Seminar R&O anjusran MPOB yang bertemakan “Securing the Future of Palm Oil in a Changing Global Economy” menghimpunkan lebih 400 pakar industri dan ahli akademik bagi membincangkan prestasi pasaran pada 2025, potensi tahun ini serta strategi dan hala tuju industri minyak sawit negara. Acara itu turut menyaksikan pelancaran buku “Small Bites, Big Impact – The Red Palm Oil Biscuit Story” yang mengetengahkan dapatan kajian pengambilan makanan sampingan minyak sawit merah hasil kerjasama MPOB dan Universiti Malaya.

– BERNAMA