KWAP Lancarkan Dana Perintis Dengan Saiz RM500 Juta

Komitmen strategik untuk memperkasa syarikat pemula dalam sektor teknologi, memacu inovasi  dan menyokong daya tahan ekonomi 

• RM250 juta diperuntukan untuk pelaburan modal teroka yang berfokuskan Malaysia • RM250 juta diperuntukan untuk pelaburan terus ke syarikat pemula Malaysia yang  berpotensi tinggi 

Kuala Lumpur, 21 September 2023 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] hari  ini melancarkan Dana Perintis, yang disasarkan untuk memberi sokongan kepada ekosistem  modal teroka (VC) Malaysia. Dengan komitmen untuk melabur sehingga RM500 juta dalam  tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang, KWAP mensasarkan inisiatif pemerkasaan syarikat  pemula untuk memacu inovasi dan menyokong daya tahan ekonomi.  

Dana Perintis yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Mohd Rafizi Ramli di Pejabat  KWAP hari ini telah diasaskan berdasarkan dua kategori strategik: pelaburan ke dalam modal  teroka yang memfokuskan Malaysia dan pelaburan terus dalam syarikat yang berada di tahap  permulaan. Dengan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk setiap kategori, inisiatif KWAP ini  disasarkan untuk memacu pertumbuhan dalam landskap keusahawanan selari dengan komitmen  kelestarian KWAP sebagai salah satu organisasi yang menyokong Prinsip Pelaburan  Bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.  

“KWAP menyedari potensi untuk berinovasi serta pertumbuhan dalam ekosistem peringkat awal  di Malaysia,” kata Encik Hazman Hilmi Sallahuddin, Ketua Pegawai Pelaburan di KWAP. “Kami  berbangga untuk memperkenalkan Dana Perintis, sebuah inisiatif yang menyokong komitmen  untuk memacu pertumbuhan industri syarikat pemula di Malaysia. Dengan Dana Perintis, kami  bukan sahaja menyalurkan modal kewangan, tetapi juga melabur kepakaran, sumber dan  komitmen untuk melihat syarikat pemula Malaysia berjaya melangkah ke pentas dunia,  terutamanya untuk syarikat yang disokong secara terus.”  

Sebagai salah satu daripada pelabur terkemuka di Malaysia, KWAP berhasrat untuk memainkan  peranan penting dalam memacu negara ke arah ekosistem peringkat awal yang 

memberangsangkan. Dengan melabur secara strategik dan menangani jurang kritikal, KWAP  menyasarkan untuk menggerakkan trajektori pertumbuhan landskap syarikat pemula, dan  memperolehi pulangan risiko terselaras yang menarik kepada pihak berkepentingannya. 

Sebahagian besar daripada dana sehingga RM250 juta akan disalurkan kepada pelaburan ke  dalam dana modal teroka dengan pendedahan berfokuskan kepada Malaysia. Ini selari dengan  wawasan KWAP untuk menyokong dan membangunkan ekosistem teroka yang mampu berdiri  sendiri. Modal teroka ini akan berfungsi sebagai pemangkin dinamik, memupuk inovasi dalam  kalangan syarikat pemula dan memberikan dana yang mencukupi bersama bimbingan yang  sewajarnya. Pelaburan strategik KWAP akan merangkumi keseluruhan spektrum perjalanan  syarikat pemula – daripada syarikat pemacu kepada syarikat pengurus pertumbuhan. Ini akan menyumbang kepada pematangan keseluruhan ruang modal teroka di Malaysia. Selari dengan  pelaburan dana, RM250 juta lagi akan didedikasikan kepada pelaburan terus ke dalam syarikat  yang berpotensi di peringkat awal. Ini membuktikan komitmen KWAP dalam memupuk syarikat  pemula melalui fasa pertumbuhan dan pengembangan.  

“Kami berdedikasi untuk memperkasa syarikat pemula dan PKS, menyokong tenaga kerja, dan  memupuk inovasi. Dalam mencapai visi ini, KWAP telah mengenalpasti beberapa syarikat pemula  berpotensi untuk dilabur, yang kini menggajikan kira-kira 1,000 rakyat Malaysia daripada pelbagai  latar belakang,” tambah Hazman Hilmi. 

Pelancaran Dana Perintis ini selari dengan inisiatif Ekonomi Madani dan mencerminkan fokus  KWAP dalam memperkasa pertumbuhan PKS, memacu perkembangan ekonomi serta  menyumbang kepada masa hadapan keusahawan di Malaysia.  

Dalam fasa KWAP melaksanakan inisiatif ini, KWAP akan terus menggalas peranan dan komitmen  kepada komuniti pesara yang merupakan pemegang taruh utama kami, untuk merangsang  pertumbuhan dana pencen, dan membolehkan KWAP memenuhi amanahnya selari dengan  slogannya “Teman Persaraan Anda”. 

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA