Pemegang Unit Pavilion Reit Lulus Pembelian Pavilion Bukit Jalil Mall Dengan Harga RM2.2 Bilion

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) — Pemegang unit Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) bersetuju untuk mengambil alih Pavilion Bukit Jalil Mall dengan harga RM2.2 bilion.

Pengurus Pavilion REIT, Pavilion REIT Management Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata persetujuan oleh pemegang unit itu juga menyaksikan kelulusan dua tawaran saham persendirian untuk membiayai sebahagian daripada pembelian tersebut melibatkan RM720 juta tranche yang dijangka selesai pada suku kedua tahun ini dan RM550 juta tranche yang dijangka selesai selewat-lewatnya menjelang suku kedua 2025.

Harga terbitan unit baharu itu akan ditentukan kemudiannya menerusi proses penetapan harga manakala baki selebihnya akan dibiayai menerusi pinjaman bank, katanya. 

Tahap kadar hutang Pavilion REIT akan meningkat daripada 33.8 peratus pada 31 Dis, 2022, kepada 36.8 peratus selepas kedua-dua tawaran saham persendirian itu selesai. 

Menurutnya, angka itu masih berada di bawah had tahap kadar hutang pada 50 peratus seperti yang dibenarkan di bawah garis panduan REIT tersenarai, yang akan menyediakan peluang kepada Pavilion REIT untuk meneroka pengambilalihan yang berpotensi.

Pengurus itu berkata pasca tawaran saham persendiran kedua-dua tranche itu, pemegang unit akan menyaksikan pencairan dalam pegang unit pemegang unit utamanya, yang akan menambah baik kecairan dagangan dan memberi manfaat kepada pelabur runcit.

Ketua pegawai eksekutif Pavilion REIT Management Sdn Bhd Datuk Philip Ho berkata pengambilalihan itu merupakan bukti kualiti aset dan kekuatan jenama Pavilion. 

Ia juga menunjukkan keyakinan pemegang unit Pavilion REIT terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang ekonomi Malaysia, katanya.

Pengambilalihan itu kali pertama diumumkan pada 22 Nov, 2022 dengan pemegang amanah Pavilion REIT, MTrustee Bhd akan membeli gedung beli belah tersebut dan semua aset dan hak berkaitan daripada Regal Path Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Malton Bhd.

Pembelian itu dijangka meningkatkan asas portfolio Pavilion REIT kepada RM 8.3 bilion daripada RM 6.0 bilion dan menyediakan peluang pertumbuhan masa depan bagi amanah itu. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.