Kenali 12 Ciri Pedagang Dan Pelabur Yang Berjaya Dalam Dunia Kewangan

Percayakah anda, sewaktu George Soros menggoncangkan Bank of England pada tahun 1992, beliau hanya tidur dan santai sementara menyaksikan keuntungan berbilion US Dollar terhasil daripada aktiviti short seller yang beliau lakukan. Manakala sewaktu Jesse Livermore menakluk fenomena The Great Depression yang melanda Amerika Syarikat pada 1929, beliau lebih banyak duduk diam dan fokus untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap fenomena tersebut.

Jika diteliti, karakter ataupun tingkah laku mereka yang digelar sebagai legenda dalam dunia pelaburan dan perdagangan ini adalah hampir sama ataupun hampir serupa. Pelabur yang baik tidak dilahirkan secara semulajadi, tapi mereka terbentuk daripada latihan ataupun usaha yang mereka lakukan.

Artikel kali ini, kami rangkumkan 12 ciri-ciri pelabur dan pedagang yang berjaya dalam dunia kewangan.

Gambar: Investopedia

1. Latar-Belakang

Pada biasanya mereka dibesarkan dalam latar belakang keluarga kelas pertengahan (Blue Collar). Jarang sekali yang kita ketahui, seorang pelabur atau pedagang yang hebat lahir daripada keluarga yang sangat kaya raya atau keluarga yang mempunyai rekod sejarah pelaburan secara professional. 

2. Pekerjaan Awal

Lazimnya pelabur atau pedagang yang hebat, cenderung untuk memulakan sebuah perniagaan kecil-kecilan pada peringkat umur yang sangat muda. Kemudiannya mereka akan mula terbabit dalam dunia pelaburan atau perdagangan selepas mereka mencuba usaha profesional yang lain. Tidak semestinya mereka mencapai kejayaan yang luar biasa dalam bidang tersebut sama seperti yang mereka akan capai dalam bidang pelaburan dan perdagangan.

Sungguhpun begitu terdapat juga sesetengah pelabur atau pedagang yang turut mencapai kejayaan yang besar sebelum mencapai tahap pelabur atau pedagang yang luar biasa. Contohnya Jim Simons seorang pakar ilmu matematik (mathematician) yang bertaraf dunia. Marc Andrerssen seorang usahawan yang terkenal. Michael Moritz merupakan seorang wartawan yang sangat berjaya. Paula Volent ialah seorang konservator seni (art conservator) yang cemerlang.

3. Kegagalan

Boleh dikatakan hampir seluruh pelabur dan pedagang yang hebat mengalami waktu retrogresi ataupun kegagalan dan juga kerugian dalam aktiviti pelaburan dan perdagangan pada peringkat awal dan seterusnya. Ini mungkin memberi mereka dorongan untuk bertahan, sekaligus mampu membangkitkan semangat mereka untuk bangun semula dari sebuah kegagalan.

 4. Kepintaran

Pelabur atau pedagang yang hebat mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi dan mereka lebih cenderung untuk mencapai prestasi akademik yang baik. Walaupun tidak semua pelabur mahir matematik seperti Jim Simons, namun penguasaan nombor dan matematik adalah perkara wajib dan penting bagi mereka. Sungguhpun begitu, tidak semestinya mereka mendapat kelulusan pembelajaran yang berorientasikan penguasaan ilmu matematik.

5. Sangat Bertanggungjawab

Nampaknya jelas bahawa pelabur atau pedagang yang hebat sangat menitikberatkan tindakan mereka dalam aktiviti pelaburan atau perdagangan sebagai sebuah tanggungjawab diri mereka sendiri. Mereka cenderung mempunyai keyakinan diri dalam membuat pertimbangan ketika mengambil sebuah keputusan. Mereka tidak akan pernah menyesal atau bersedih seandainya keputusan tersebut menghadapi kegagalan, disebabkan mereka sentiasa percaya pelaburan atau perdagangan yang mereka lakukan hanyalah sebuah proses.

6. Fokus

Keupayaan untuk memberi tumpuan yang tinggi merupakan faktor yang paling penting dalam proses membuat keputusan pelaburan atau perdagangan. Ini adalah salah satu ciri-ciri persamaan pelabur dan pedagang yang hebat. Mereka tidak begitu mudah terganggu oleh faktor luar yang tidak penting dan mempunyai keupayaan untuk menumpukan perhatian pada tahap yang luar biasa tinggi.

7. Membaca

Pelabur atau pedagang yang hebat cenderung menjadi pembaca buku, majalah, akhbar dan bahan pilihan susun yang sesuai dengan minat mereka.  Ada yang mungkin pernah atau mengalami disleksia, tetapi individu tersebut mengumpul maklumat melalui cara lain, selalunya melalui panggilan telefon yang kerap atau hubungan video dengan pakar industri atau mereka yang lebih arif dalam bidang tersebut.

Dengan erti lain, pelabur atau pedagang yang hebat mempunyai rasa ingin tahu intelektual yang besar dan ingin belajar sebanyak yang mungkin berkenaan topik berkaitan. Mereka berpandangan bahawa sebarang maklumat boleh membantu sekaligus dapat membentuk keputusan pelaburan atau perdagangan yang lebih baik. Seterusnya memberi inspirasi kepada kreativiti atau wawasan kejayaan yang lebih besar.

8. Menggunakan Akal

Sungguhpun pelabur dan pedagang yang hebat menjadi sangat kaya raya, namun mereka masih menikmati aktiviti pelaburan dan perdagangan seperti sedia-kala. Bukan kerana mereka benar-benar memerlukan lebih banyak wang, sebaliknya mereka melihat pelaburan dan perdagangan sebagai satu permainan yang bijak. Mereka seronok melakukan sesuatu yang orang lain fikir tidak mampu untuk dilakukan atau mengambil risiko yang mungkin dianggap terlalu hebat untuk diambil. Cabaran intelektual untuk mengatasi orang lain dapat menunjukkan kecerdasan, kelicikan dan kebijaksanaan diri mereka sendiri. Sekaligus ini membentuk daya tujahan yang membuatkan pelabur terpaku pada aktiviti pelaburan dan perdagangan mereka. Ini jauh lebih bernilai berbanding hanya memiliki sebuah wang yang banyak.

9. Kebijaksanaan Konvensional

Salah satu jalan paling mudah dalam kehidupan dan dalam konteks pelaburan dan perdagangan, adalah menerima dan mengikuti kebijaksanaan konvensional.  Mengapa perlu menentang kebijaksanaan konvensional?  Mengapa mengambil risiko salah dengan menolak kebijaksanaan konvensional?  Tidak syak lagi kehidupan boleh menjadi lebih mudah dalam meneruskan jalan sedemikian.  Jika anda salah, anda serupa dengan orang ramai, dan sekaligus kurang menarik perhatian yang tidak baik atau dikritik.

Namun tahukah anda pelabur dan pedagang yang hebat tidak menerima kebijaksanaan konvensional. Mereka melihat dari sudut pandangan yang orang lain sukar untuk melihat. Mereka sentiasa bersedia mengambil risiko, jika terbukti pandangan atau pemahaman mereka salah ketika menentang kebijaksanaan orang ramai. Mereka sentiasa berani untuk mencuba sesuatu ketika orang lain takut untuk mencuba.

10. Perhatian Yang Terperinci

Tidak dinafikan pelabur atau pedagang yang cemerlang, cenderung memberi tumpuan kepada gambaran besar. Contohnya ke mana arah tuju ekonomi? Adakah kadar faedah akan dinaikkan?  Adakah inflasi mungkin meningkat? Walaubagaimanapun, pelabur atau pedagang yang hebat juga turut memberi perhatian yang kecil dalam sebuah gambaran yang besar. Mereka ingin ambil tahu akan segala-galanya yang perlu diketahui dan percaya bahawa kegagalan untuk memberi perhatian kepada apa jua bentuk maklumat yang besar dan kecil adalah resepi utama kepada sebuah kegagalan.

11. Mengaku Kesilapan

Pelabur atau pedagang yang hebat boleh mempunyai ego yang besar, tetapi mereka tahu untuk mengakui kesilapan, seterusnya mengurangkan kerugian mereka dan membuka peluang kejayaan pada masa hadapan. Kebiasaanya mereka tidak akan meratapi kesilapan yang mereka telah lakukan. Mereka hanya melihat kembali kesilapan tersebut untuk dijadikan panduan yang mampu dielakkan di masa hadapan.

12. Kerja Keras 

Pelabur atau pedagang yang hebat selalunya mempunyai obsesi yang tinggi terhadap apa yang mereka lakukan secara profesional. Mereka sangat bekerja keras sehingga sanggup meluangkan masa yang lebih ketika menguasai set kemahiran yang diperlukan dalam aktiviti pelaburan atau perdagangan. Walaubagaimanapun, mereka tidak menganggap kerja keras yang mereka lakukan itu sebagai sebuah bebanan kerana mereka menganggap keseluruhan kerja keras yang mereka lakukan adalah hanya sebuah proses yang sentiasa memberi mereka kepuasan dan keseronokan.

Previous ArticleNext Article

Kita Bajet Insurans, Tapi Lupa Bajet Check-up

Hampir setiap ketua keluarga mempunyai bajet yang cukup terperinci untuk perlindungan kesihatan samada menerusi insurans atau takaful.

Di Majalah Labur, kami percaya ramai pembaca setia kami rata-rata bersetuju yang sejumlah 5% – 15% dari gaji bulanan adalah amaun yang cukup sihat untuk perlindungan kesihatan.

Akan tetapi, ada satu perkara yang sering tidak mempunyai bajet khusus: pemeriksaan kesihatan berkala.

Kita lebih mudah menyediakan RM200 untuk membaiki sesuatu selepas rosak berbanding memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan masalah itu dapat dikenal pasti lebih awal.

Baca : 5 Perkara Medical Card Boleh Bantu Yang Tak Ramai Orang Tahu!

Dalam kewangan peribadi, cara berfikir seperti ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi apabila melibatkan kesihatan, penangguhan boleh membawa kepada keadaan yang memerlukan lebih banyak masa, rawatan dan perbelanjaan.

Sebab itu preventive healthcare wajar dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga, bukan sekadar perbelanjaan tambahan.

Ada bajet insurans. Bagaimana dengan bajet kesihatan?

Insurans atau takaful penting untuk melindungi kewangan apabila berlaku keadaan yang memerlukan rawatan atau kemasukan ke hospital.

Tetapi perlindungan kewangan tidak semestinya bermaksud kita tidak perlu menyediakan bajet untuk penjagaan kesihatan rutin.

Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan untuk mengenal pasti faktor risiko, memberi nasihat pengurusan risiko dan membuat rujukan lanjut jika diperlukan.

pemeriksaan kesihatan

Pada asasnya, terdapat perbezaan antara:

“Saya mempunyai perlindungan jika sesuatu berlaku”

dengan

“Saya memperuntukkan wang untuk mengetahui keadaan kesihatan saya secara berkala.”

Kedua-duanya memainkan peranan yang berbeza dalam perancangan kewangan kesihatan.

Kesilapan ibu bapa : tunggu anak sakit baru bawa berjumpa doktor gigi

Perkara ini lebih mudah berlaku dalam kalangan ibu bapa. Anak tidak mengadu sakit, jadi pemeriksaan ditangguhkan. Gigi susu pula dianggap tidak begitu penting kerana akhirnya akan tanggal.

Apabila sakit mula berlaku, barulah ibu bapa mencari rawatan. Masalahnya, ketiadaan sakit tidak semestinya bermaksud tiada masalah.

Masalah ini yang cuba diketengahkan oleh Dr. A’tikah U’zed (Doktor Gigi di Klinik Pergigian Aesira) yang melihat ada keperluan untuk ibu bapa di Malaysia mengkhususkan wang untuk rawatan gigi anak mereka atau mereka sendiri!

pemeriksaan kesihatan gigi

Penegasan ini nampak ada intinya selepas kami melihat bahawa data National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 menunjukkan ;

“Prevalens karies dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas ialah 85.1%, manakala dalam kumpulan umur 15–19 tahun pun prevalensnya masih 51.7%. Dalam kalangan orang dewasa yang mempunyai gigi, 40.7% mempunyai keperluan rawatan restoratif, 28.9% keperluan cabutan dan 4.5% keperluan rawatan endodontik.”

Masalah gusi juga tidak semestinya bermula dengan kesakitan.

NOHSA 2020 mendapati hanya 5.1% populasi bergigi mempunyai periodontium yang sihat, sementara 38.2% mempunyai periodontitis. KKM turut menerangkan bahawa penyakit periodontal boleh tidak disedari kerana pada peringkat awal ia boleh berlaku tanpa sakit.

Ini menjadikan pemeriksaan berkala satu perkara yang relevan bukan sahaja kepada kesihatan, tetapi juga kepada cara keluarga merancang perbelanjaan.

Kos rawatan gigi sebenarnya boleh dilihat sebagai kos tahunan

BilRawatanAnggaran kosKekerapan /Perspektif
1Konsultasi & pemeriksaan gigiRM30–RM1006–12 bulan / mengikut risikoKos asas untuk mengetahui keadaan gigi sebelum membuat keputusan rawatan
2X-ray gigi kecil (periapikal/bitewing)RM30–RM80Jika diperlukan doktorMembantu melihat masalah yang tidak jelas melalui pemeriksaan biasa
3X-ray panoramic (OPG)RM80–RM200Jika diperlukanBiasanya untuk penilaian keseluruhan rahang, gigi bongsu atau perancangan tertentu
4Scaling & polishingRM80–RM250Mengikut keadaan gigi/gusiPenjagaan berkala yang boleh dimasukkan dalam bajet pergigian tahunan
5Rawatan fluoridaRM50–RM120Berdasarkan risiko, terutama kanak-kanakPreventive care yang boleh dirancang lebih awal
6Fissure sealant±RM50–RM100/gigiTerutama gigi tertentu kanak-kanakPerbelanjaan pencegahan yang dibuat berdasarkan penilaian doktor
7Tampalan gigiRM80–RM300/gigiApabila terdapat kariesContoh kos rawatan yang mungkin timbul selepas pemeriksaan
8Cabutan gigi biasaRM80–RM300/gigiJika gigi tidak dapat dikekalkan / perlu dicabutKos meningkat berbanding penjagaan rutin apabila masalah memerlukan prosedur
9Rawatan saluran akar (root canal)±RM600–RM2,000/gigiUntuk gigi dengan masalah pulpa tertentuContoh bagaimana rawatan boleh menjadi lebih kompleks dan memerlukan bajet lebih besar
10Pembedahan gigi bongsu±RM800–RM2,500/gigiJika impaksi/kerumitan memerlukan pembedahanContoh kos prosedur yang lebih besar dan sukar dirancang sebagai perbelanjaan rutin

Semak : Senarai Harga Rawatan Gigi Terkini

Daripada melihat pergigian sebagai:

“Berapa saya perlu bayar apabila gigi sakit?”

lebih baik keluarga melihatnya sebagai:

“Berapa bajet saya perlu sediakan setiap tahun untuk penjagaan gigi?”

Ini tidak bermaksud seseorang perlu menjalani rawatan setiap tahun.

Sebaliknya, bajet tersebut boleh merangkumi pemeriksaan, penjagaan pencegahan dan rawatan yang diperlukan berdasarkan penilaian doktor gigi.

Kekerapan pemeriksaan pula bukan satu angka yang wajib sama untuk semua orang. Sesetengah individu mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap berdasarkan risiko karies, keadaan gusi, sejarah rawatan dan faktor kesihatan lain.

Matlamatnya ialah tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan sebelum mula merancang.

Contohnya, gigi jarang bukan semata-mata soal kosmetik

Ambil contoh diastema, atau gigi jarang.

Menurut Dr. A’tikah U’zied, diastema ialah ruang antara dua gigi yang paling kerap dilihat pada gigi hadapan atas.

Ia boleh berkait dengan saiz gigi berbanding rahang, faktor struktur semula jadi atau tabiat tertentu. Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah ruang yang jelas antara gigi atau ruang yang semakin melebar.

Tidak semua diastema memerlukan rawatan.

Baca : Mencari Medical Card Terbaik? Tipu Semua Tu. Fahamkan 5 Perkara Ini

Tetapi apabila ibu bapa atau individu menyedari perubahan pada kedudukan atau jarak gigi, pemeriksaan memberikan peluang untuk menentukan sama ada ia sekadar variasi normal atau sesuatu yang memerlukan pemantauan atau rawatan.

Inilah konsep financial planning yang sering terlepas pandang.

Pemeriksaan bukan bermaksud kita sudah bersetuju untuk menjalani rawatan.

Pemeriksaan bermaksud kita mendapatkan maklumat terlebih dahulu.

Dengan maklumat itu, keluarga boleh membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, bila ia perlu dilakukan dan bagaimana perbelanjaannya boleh dirancang.

Jadi, enam bulan atau setahun sekali?

Jawapannya bergantung kepada individu.

Jadual pemeriksaan gigi sepatutnya mengambil kira keadaan gigi dan gusi, tahap risiko, umur, sejarah rawatan serta penilaian doktor gigi.

Bagi sesetengah orang, pemeriksaan enam bulan sekali mungkin sesuai. Bagi yang lain, doktor mungkin mencadangkan sela masa yang berbeza.

Yang penting ialah jangan menjadikan “tidak sakit” sebagai satu-satunya ukuran untuk menentukan sama ada pemeriksaan diperlukan.

Konsep yang sama digunakan dalam kesihatan secara umum. KKM menerangkan bahawa saringan kesihatan bertujuan membantu mengenal pasti faktor risiko dan penyakit lebih awal supaya pengurusan dapat dimulakan.

Bagaimana keluarga boleh masukkan kesihatan dalam financial planning?

Satu pendekatan mudah ialah membahagikan perancangan kepada beberapa lapisan:

Pertama, perlindungan.
Insurans atau takaful untuk risiko kesihatan yang besar, mengikut kemampuan dan keperluan keluarga.

Kedua, dana kecemasan.
Simpanan tunai untuk perbelanjaan kesihatan atau kecemasan yang tidak dirancang.

Ketiga, preventive healthcare.
Bajet tahunan untuk pemeriksaan dan saringan yang bersesuaian dengan umur serta faktor risiko.

Keempat, penjagaan rutin.
Termasuk pergigian dan keperluan kesihatan lain yang boleh dijangka.

Dengan cara ini, kesihatan tidak hanya muncul dalam bajet apabila sesuatu sudah berlaku.

Baca : Permintaan Sektor Penjagaan Kesihatan Diunjur Meningkat Bagi Jangka Panjang

Kesihatan juga perlukan bajet sebelum ia menjadi kecemasan

Financial planning yang baik bukan sekadar mempunyai wang apabila berlaku masalah.

Ia juga tentang mengetahui perbelanjaan yang boleh dijangka, menyediakan ruang untuk penjagaan berkala dan membuat keputusan berdasarkan maklumat sebelum keadaan menjadi mendesak.

pemeriksaan kesihatan

Pemeriksaan kesihatan tidak menjamin seseorang akan terlepas daripada penyakit atau rawatan mahal. Begitu juga pemeriksaan gigi tidak menjamin seseorang tidak akan memerlukan prosedur kompleks pada masa hadapan.

Namun, pemeriksaan memberikan sesuatu yang penting dalam perancangan kewangan:

maklumat lebih awal.

Dan maklumat lebih awal memberikan keluarga peluang untuk membuat keputusan dengan lebih tenang, sama ada perlu merawat sekarang, memantau dahulu atau menyediakan bajet untuk rawatan pada masa akan datang.

Jadi, apabila menyediakan bajet keluarga untuk tahun hadapan, jangan hanya tanya:

“Berapa saya perlu simpan kalau saya jatuh sakit?”

Tanya juga:

“Berapa yang saya sanggup peruntukkan untuk mengetahui keadaan kesihatan saya sebelum ia menjadi kecemasan?”

Kerana dalam pengurusan kewangan kesihatan, bil rawatan bukan satu-satunya kos yang perlu difikirkan.

Masa, ketidakselesaan, kehilangan produktiviti dan keputusan yang dibuat ketika keadaan sudah mendesak juga mempunyai nilai.

Preventive healthcare bukan tentang berbelanja sebanyak mungkin untuk kesihatan.

Ia tentang merancang supaya kesihatan tidak menjadi kejutan kewangan kepada keluarga.

Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan pengganti nasihat doktor atau doktor gigi. Keperluan pemeriksaan, saringan dan rawatan berbeza mengikut keadaan individu.