Platform Akaun Pelaburan – Investment Account Platform (IAP)

Berapa ramai di kalangan kita yang pernah dengar tentang Platform Akaun Pelaburan atau lebih dikenali sebagai Investment Account Platform (IAP)? Atau pernah dengar tapi tak tahu perincian mengenainya?

Jom kita sama-sama berkenalan dengan IAP ni.

Apa Itu IAP?

IAP merupakan satu platform pelaburan pelbagai bank secara atas talian yang memulakan operasinya pada tahun 2015. Sebanyak enam bank terlibat dalam menjayakan platform ini iaitu Maybank Islamic, Affin Islamic, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional.

Di bawah platform ini, pelabur mempunyai akses secara langsung dalam membuat pelaburan ke dalam projek-projek pelbagai industri seperti hartanah, pembangunan, logistik dan pembinaan. Melalui IAP juga, para pengusaha projek mampu mendapatkan dana atau modal bagi projek mereka di samping berkongsi keuntungan dan risiko bersama para pelabur.

IAP Tertakluk Di Bawah IFSA 2013

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam atau Islamic Financial Services Act 2013 (IFSA 2013) adalah satu Akta di bawah Undang-undang Malaysia yang  bertanggungjawab mengawalselia institusi kewangan Islam, sistem pembayaran, entiti berkaitan kewangan, pengawasan pasaran wang Islam dan pasaran pertukaran asing Islam dengan objektif bagi menggalakkan kestabilan kewangan dan pematuhan Shariah.

IFSA menjadi di antara punca utama penubuhan IAP pada tahun 2015. Menurut IFSA, akaun pelaburan adalah:

“Akaun yang mana wang dibayar dan diterima bagi tujuan pelaburan, termasuk bagi penyediaan pembiayaan, mengikut Shariah atas terma bahawa tiada obligasi nyata atau tersirat untuk membayar balik wang itu sepenuhnya dan
(a) sama ada hanya keuntungan, atau kedua–dua keuntungan atau kerugian, yang hendaklah dikongsi antara orang yang membayar wang itu dan orang yang menerima wang itu; atau
(b) dengan atau tanpa apa–apa pulangan;”

Definisi ini mengubah landskap akaun pelaburan yang ditawarkan oleh institusi kewangan di Malaysia, di mana pelabur berpeluang mendapat perkongsian keuntungan berdasarkan keuntungan sebenar projek di samping menanggung risiko kerugian dengan modal pelaburan tidak lagi dijamin oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Operasi IAP

Berdasarkan Laporan Bank Negara Malaysia tahun 2017, nisbah pelaburan IAP berbanding jumlah pembiayaan biasanya menjangkau 11.7%.   Terdapat dua kategori pelaburan yang ditawarkan oleh IAP, iaitu:

  1. Pelaburan Terhad (Restricted Investment)
  2. Pelaburan Tidak Terhad (Unrestricted Investment)

Bagi pelaburan terhad, pelabur melantik institusi bank sebagai wakil dalam pelaburan yang khusus dari segi tujuan pelaburan, sektor pelaburan, jenis aset, dan tempoh pelaburan.

Manakala bagi pelaburan tidak terhad, pelabur menyerahkan tanggungjawab pemilihan jenis pelaburan itu kepada pihak bank dengan jangkaan keuntungan tertentu sahaja.

Berdasarkan laporan itu, jumlah pelaburan terhad adalah RM43.2 bilion dan jumlah pelaburan tidak terhad adalah RM75.3 bilion, yang merangkumi kedua-dua jenis pelabur runcit atau pun pelabur institusi dan korporat.

Platform ini juga meletakkan tanggungjawab penilaian kredit dan projek secara berkala termasuk pemantauan prestasi dan perkembangan projek kepada pihak bank, dan bank bertanggungjawab menghantar laporan projek secara berkala kepada setiap pelabur.

Selain daripada itu, pengusaha projek perlu menghantar dokumen-dokumen berkaitan kepada agensi penarafan kredit seperti RAM bagi mendapatkan penarafan projek pelaburan tersebut. Penarafan tertinggi adalah gred AAA dan paling rendah adalah gred D.

Penarafan ini sekaligus membantu pelabur memilih projek pelaburan yang berkualiti dan memberi keyakinan buat para pelabur dalam pelaburan yang dibuat.

Kontrak Pelaburan IAP

Terdapat tiga jenis kontrak yang biasa digunakan dalam akaun pelaburan ini. Tiga kontrak itu dan ringkasannya seperti di bawah:

  • Mudarabah – kontrak di antara pemodal (Rabbul Mal) dan Pengusaha (Mudarib), di mana pemodal memberi modal kepada pengusaha dengan keuntungan dikongsi bersama mengikut nisbah yang dipersetujui. Dalam keadaan rugi, pemodal akan kerugian modal manakala pengusaha akan kerugian tenaga dan masa kecuali pemodal mampu membuktikan kerugian berlaku disebabkan kelemahan pengurusan pengusaha.
  • Musyarakah – kontrak di antara dua pihak atau lebih dalam satu projek atau usaha, dengan keuntungan dan kerugian dikongsi di antara kesemua pihak.
  • Wakalah fil Istismar – kontrak di antara satu pihak yang melantik satu pihak lain sebagai wakil bagi pihaknya, dalam melakukan pelaburan dengan upah atau tanpa upah.

Prestasi IAP

Di bawah adalah tiga projek yang berjaya di bawah platform IAP ini dengan anggaran keuntungan 6% ke atas setiap tahun. Maksimum tempoh projek pula adalah selama 5 tahun.

Mungkin hebahan platform ini kurang menyebabkan ia tidak begitu dikenali. Berminat nak melabur dalam platform ini?

Layari www.iaplatform.com untuk membuka akaun dan anda boleh mula mencari projek pelaburan yang sesuai dengan risiko pelaburan anda.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.