Risiko Dalam Pelaburan Dan Cara Nak Kurangkan Risiko

Perkataan risiko itu sendiri pasti kedengaran menggerunkan bukan sahaja bagi para pelabur bahkan setiap individu di dunia ini. Sebagaimana yang kita tahu, setiap perkara dan keputusan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian boleh mendatangkan risiko.

Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan risiko di dalam pelaburan?

Risiko di dalam pelaburan boleh ditakrifkan sebagai kebarangkalian menerima pulangan kurang daripada apa yang telah dijangka atau dengan kata lain menanggung kerugian. Namun, risiko sebenarnya merupakan antara salah satu aspek penting di dalam pelaburan yang perlu difahami oleh setiap pelabur.

Sebagaimana yang kita semua tahu, semakin tinggi risiko sesebuah pelaburan, maka, semakin tinggi pulangan untuk pelaburan itu. Walaubagaimanapun, pelabur mestilah sentiasa mengetahui bahawa setiap instrumen mempunyai risiko dan pulangan yang berbeza.

Oleh yang demikian, anda sebagai pelabur harus meneliti, membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan dan sentiasa bersiap sedia dengan segala risiko yang akan dihadapi di dalam pasaran saham. Sebenarnya, risiko itu memang tidak dapat dielakkan.

Namun, pelabur dapat menilai, menganalisis dan seterusnya menguruskan risiko pelaburan dengan baik jika mereka memahami setiap jenis risiko itu.

Risiko Yang Sering Dihadapi Pelabur

Sebagai seorang pelabur, terdapat beberapa risiko yang akan anda hadapi, antaranya ialah:

1. Risiko inflasi

Inflasi menyebabkan pengurangan dalam kuasa beli. Dalam erti kata lain, inflasi juga menyebabkan nilai wang mengecil dan berlakunya kecenderungan kenaikan harga dari masa ke semasa.

Sebagai contoh, ketika 199-0an, dengan menggunakan wang sebanyak 50 sen kita dapat membeli sebungkus nasi lemak. Namun, pada masa kini, kita perlu menggunakan sebanyak RM2 untuk mendapatkan sebungkus nasi lemak.

Oleh itu, di dalam aktiviti pelaburan, pelabur haruslah berusaha untuk memastikan bahawa pulangan yang diperolehi lebih daripada kadar inflasi semasa untuk mendapatkan keuntungan.       

2. Risiko pasaran

Risiko pasaran merupakan salah satu risiko yang yang perlu dihadapi oleh para pelabur. Risiko pasaran berkait rapat dengan kenaikan dan penurunan pasaran saham disebabkan oleh faktor-faktor semasa.

Seperti mana yang kita tahu, turun naik harga sering timbul disebabkan oleh turun naik faktor-faktor yang tidak dijangka yang biasanya mempengaruhi keseluruhan pasaran kewangan seperti ketidakpastian dalam ekonomi, politik dan sebagainya.

3. Risiko kadar faedah

Apabila perubahan tidak dijangka dalam kadar faedah berlaku, sekuriti pendapatan tetap (seperti bon) adalah sensitif kepada risiko kadar faedah. Nilai bon kebiasaannya akan jatuh apabila kadar faedah meningkat.

4. Risiko kredit

Risiko kredit merujuk kepada kegagalan penerbit bon/sukuk untuk membayar pulangan kepada pelabur disebabkan bankrap, ketidakmampuan untuk membayar atau sebagainya. Pemegang bon tidak akan menerima faedah atau prinsipal jika syarikat yang mengeluarkan bon mempunyai masalah dari segi kewangan dan ini akan mempengaruhi pelaburan individu semasa membuat pelaburan.

Cara Mengurangkan Risiko Pelaburan

Pengurusan risiko dalam pelaburan adalah elemen yang sangat penting untuk seorang pelabur. Hal ini adalah kerana pengurusan risiko itu boleh menentukan kejayaan bagi seorang pelabur. Jika anda gagal untuk menguruskan risiko dengan baik, anda mungkin akan mengalami kerugian yang besar.

Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko dalam pelaburan. Antaranya ialah:

1. Pelbagaikan pelaburan anda

Sebagai pelabur, anda tidak digalakkan untuk tertumpu kepada satu instrumen pelaburan sahaja. Dengan mempelbagaikan pelaburan, anda dapat mengurangkan risiko kerugian di dalam pelaburan anda.

Hal ini adalah kerana, di dalam setiap pelaburan yang anda lakukan pasti ada beberapa instrumen yang mengalami kerugian dan ada juga yang mendatangkan keuntungan. Di dalam hal ini, apabila anda telah mempelbagaikan pelaburan anda, maka risiko kerugian dapat dikurangkan dan keuntungan juga dapat dioptimumkan.

2. Fahami pelaburan anda 

Sepertimana yang anda tahu, risiko setiap pelaburan adalah berbeza mengikut jenis pelaburan yang anda lakukan. Anda perlu faham dan kaji terlebih dahulu apakah risiko, pulangan dan prestasi setiap instrumen dan pelaburan yang akan dilakukan supaya pelaburan yang anda lakukan tidak mendatangkan kerugian.

Oleh itu, pengetahuan dan pemahaman yang baik mengenai pelaburan yang anda lakukan sangat penting untuk mengurangkan risiko dalam pelaburan.

3. Tetapkan objektif dan matlamat pelaburan anda

Setiap perkara yang kita lakukan pasti mempunyai objektif dan matlamat tersendiri. Begitu juga di dalam pelaburan, anda mestilah menentukan objektif dan matlamat pelaburan anda.

Sebagai pelabur, anda tidak akan tahu apakah sebenarnya yang ingin dicapai jika anda bermula tanpa sebarang objektif. Ia akan menyukarkan anda untuk membuat keputusan dan memilih instrumen manakah yang sesuai dengan diri anda.

Tanpa matlamat yang jelas, pelaburan anda mungkin tidak akan berhasil dan akan mendatangkan kerugian.

Kesimpulannya, risiko memang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian. Walaubagaimanapun, kita dapat mengurangkan kesan negatif risiko itu sendiri melalui pengalaman dan ilmu yang kita perolehi. Begitu juga di dalam pelaburan.

Sebagai pelabur yang bijak, kita perlu menganalisis, mengkaji terlebih dahulu sebelum memutuskan keputusan untuk membuat suatu pelaburan.

Penulis boleh dihubungi di:

Nursabrina Akma Binti Othaman ([email protected])
Nur Husna Mardhiah Binti Omar ([email protected])
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Previous ArticleNext Article

55 Juta Unit IOIPG REIT Dikhaskan Untuk Bumiputera

Selama ni kita datang IOI City Mall untuk shopping, makan, tengok wayang atau sekadar jalan-jalan cukupkan 10,000 langkah.

Kali ni ada berita baik.

IOI Properties Group Bhd (IOIPG) telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan dan menyenaraikan IOIPG REIT di Bursa Malaysia. REIT ini akan mempunyai portfolio aset bernilai kira-kira RM7.58 bilion.

Dan antara perkara paling menarik untuk pelabur runcit ialah sebanyak 715.6 juta unit diperuntukkan untuk tawaran runcit.

Daripada jumlah tersebut, 55 juta unit dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

Jadi, apa sebenarnya yang bakal kita dapat melalui REIT ini?

Apa yang ada dalam IOIPG REIT?

Portfolio IOIPG REIT bukan sekadar satu bangunan.

Antara aset yang akan dimasukkan ialah:

  • IOI City Mall Phase 1 & 2
  • IOI City Towers
  • PFCC Towers
  • Putrajaya Marriott
  • Le Méridien Putrajaya
  • Moxy Putrajaya
  • Four Points by Sheraton Puchong
  • W Kuala Lumpur
  • Courtyard by Marriott Penang

Dan sudah tentu, nama yang paling mudah dikenali ialah IOI City Mall.

Mall yang kita kenal sebagai tempat shopping dan makan itu sebenarnya merupakan salah satu aset utama dalam portfolio REIT ini.

Jadi macam mana kita boleh “jadi landlord”?

Konsep REIT sebenarnya agak mudah.

Bayangkan satu hartanah bernilai berbilion ringgit.

Tak ramai individu mampu membeli hartanah tersebut secara terus.

Jadi, aset itu dimasukkan ke dalam satu struktur REIT dan dibahagikan kepada unit.

Pelabur pula membeli unit tersebut.

Secara tidak langsung, pelabur memiliki kepentingan dalam portfolio hartanah berkenaan.

Sebab itu orang selalu gambarkan REIT sebagai cara untuk memiliki sebahagian daripada hartanah yang besar tanpa perlu membeli keseluruhan bangunan.

Dalam kes IOIPG REIT, saiz awalnya ialah 5.5 bilion unit, dengan harga jangkaan 90 sen seunit.

Pelabur runcit dapat 715.6 juta unit

Ini antara bahagian yang paling menarik.

Daripada keseluruhan struktur tawaran, 715.6 juta unit akan diperuntukkan melalui tawaran runcit.

Dan 55 juta unit daripada tawaran tersebut dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.

Kenapa ada allocation khas untuk Bumiputera?

Peraturan SC menetapkan penyenaraian tertentu, termasuk REIT, perlu memenuhi keperluan penyertaan ekuiti Bumiputera. Bagi penyenaraian yang tertakluk kepada syarat tersebut, 12.5% daripada jumlah unit selepas penyenaraian perlu diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan/diiktiraf.

Pada masa yang sama, sehingga 1.48 bilion unit pula akan ditawarkan kepada pelabur institusi, termasuk institusi Bumiputera yang diluluskan dan pelabur institusi lain.

Bukan sekadar tengok harga 90 sen

Harga indikatif yang disebut ialah 90 sen seunit.

Tapi pelabur jangan berhenti setakat:

“90 sen je? Murah ni.”

Dalam REIT, perkara yang lebih penting ialah aset yang berada di belakang unit tersebut dan kemampuan aset itu menjana pendapatan.

Contohnya:

Berapa banyak hasil sewaan?
Bagaimana kadar penghunian?
Berapa tinggi hutang?

Dan akhirnya, berapa banyak pendapatan yang boleh diagihkan kepada pemegang unit?

Sebab kita bukan sekadar membeli “nama IOI”.

Kita membeli unit dalam satu portfolio aset yang sepatutnya menghasilkan pendapatan.

Kenapa IOI Properties buat REIT?

Bagi IOI Properties, penyenaraian REIT ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk membuka nilai daripada aset matang yang dimiliki kumpulan.

Cadangan asal yang diumumkan pada April 2026 menyaksikan aset bernilai RM7.58 bilion dipindahkan ke REIT, dengan struktur transaksi melibatkan penerbitan 5.5 bilion unit pada harga indikatif 90 sen serta RM2.65 bilion dalam bentuk tunai melalui pembiayaan.

Struktur sebegini membolehkan IOI Properties mendapatkan semula modal daripada aset sedia ada dan pada masa sama mengekalkan pendedahan kepada portfolio hartanah melalui REIT.

Bila IOIPG REIT akan disenaraikan?

IOIPG REIT disasarkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku keempat 2026, tertakluk kepada syarat dan proses yang ditetapkan.

Jadi buat masa ini, perkara yang paling menarik untuk ditunggu ialah prospektus rasmi dan butiran akhir tawaran.

Satu perkara yang masih belum boleh dipastikan buat masa ini ialah status Syariah IOIPG REIT. Ini kerana i-REIT mempunyai keperluan Syariah tersendiri, termasuk berkaitan sumber pendapatan sewaan dan aktiviti penyewa. Bursa Malaysia sendiri membezakan REIT konvensional dengan i-REIT, iaitu REIT yang mematuhi prinsip Syariah.

Sebab dekat situlah pelabur boleh tengok dengan lebih jelas tentang harga tawaran akhir, struktur agihan, hasil sewaan, kewangan REIT dan potensi agihan pendapatan.

Kesimpulan

Penyenaraian IOIPG REIT di Bursa Malaysia menandakan satu lagi perkembangan menarik dalam pasaran modal tempatan. Bagi orang ramai, ia membuka ruang untuk menukar peranan daripada sekadar penyumbang pendapatan perniagaan di mall tersebut, kepada penerima sebahagian daripada hasil sewaannya menerusi agihan dividen kelak.

Laporan asal The Star mengenai kelulusan IOIPG REIT

Maklumat rasmi IOI Properties mengenai cadangan IOIPG REIT

Syarat Asas: Wajib Ada Akaun CDS

Bagi yang baru pertama kali mendengar tentang peluang pelaburan seperti ini, penting untuk diingat bahawa pembelian unit REIT di Bursa Malaysia tidak boleh dibuat secara terus di kaunter pusat beli-belah.

  • Anda perlu memohon unit IPO tersebut menerusi e-IPO di dalam perbankan dalam talian seperti: Maybank2u atau aplikasi broker seperti CGSI.
  • Di sini syaratnya anda wajib ada Akaun CDS yang terikat dengan akaun bank anda supaya unit yang anda mohon itu ada “bekas” untuk disimpan.

Proses pembukaan akaun CDS kini boleh dilakukan secara dalam talian (online) dengan caj minima dan ia merupakan langkah pertama yang perlu disiapkan awal sekiranya anda berhasrat untuk terlibat dalam pasaran saham tempatan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.