8 Tips Pelaburan Saham Daripada Warren Buffett

Siapa yang tidak kenal dengan Warren Buffett kan? Sebut saja pasal saham, mesti nama beliau berada di ranking teratas.

Warren Buffett merupakan seorang yang bijak dalam menguruskan kewangan dan sudah menempa nama dalam bidang kewangan dan pelaburan selama lebih 50 tahun, malah beliau berjaya membuktikan teori pelaburan nya.

Digelar sebagai Oracle of Omaha, Buffett mungkin bukan orang terkaya di dunia, tetapi dia, merupakan pelabur terkaya dalam sejarah moden, jauh meninggalkan pesaing beliau yang lain.

Dan berikut merupakan 8 tips pelaburan saham daripada Warren Buffett

1. Bangunkan Minda Pelaburan

Memang benar bahawa kita boleh menjadi pelabur, tetapi tidak semua kita memiliki dan mengurus pelaburan kita sendiri. Untuk itu, kita memerlukan “minda” pelabur yang lengkap. Minda ini dirujuk kepada bagaimana perancangan anda untuk melakukan pelaburan dalam kewangan.

Dan ini bermakna anda memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji cara pelaburan yang berjaya dan memperkemaskan kemahiran melabur anda.

2. Faham Apa Itu Pelaburan

Setiap kali Buffett menggunakan perkataan “pelaburan,” dia secara khusus mengecualikan tanggapan pertama atau inferens yang berada pelaburan “hit-and-run” iaitu bermaksud membeli, kemudian menjual pelaburan dengan harga yang tinggi untuk satu tempoh yang pendek sahaja.

Seorang pelabur yang sebenar secara ringkasnya tidak membuat spekulasi yang memudaratkan pelaburannya tetapi dia membuat keputusan pelaburan yang bijak untuk satu jangka masa yang panjang.

Pelabur seperti itu akhirnya akan berakhir dengan lebih berjaya daripada pelabur yang jenis jangka pendek.

3. Melabur Dalam Apa Yang Anda Faham

Melalui kepercayaan “lingkaran keprihatinan”, Buffett memberi nasihat “jangan melabur dalam perniagaan yang anda tidak faham.” Dengan kata lain, jangan memilih perniagaan yang memerlukan pengetahuan di luar lingkaran atau kecekapan anda. Sekurang-kurangnya sehingga anda mempunyai atau memperoleh pengetahuan yang medalam dalam pelaburan untuk berbuat demikian.

 

Jika anda tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang sebuah syarikat, keadaan akan lebih sukar untuk membuat pelaburan jangka panjang dan meramalkan perkembangan syarikat.

4. Beli Syarikat Yang Kukuh Berbanding Yang Glamer

Daripada melabur dalam syarikat yang glamer tetapi baru nak naik, beliau lebih gemar melabur dalam industri yang terbukti kukuh. Ini salah satu sebab utama beliau tidak terkesan akibat kejatuhan industri teknologi pada awal 2000 atau lebih dikenali sebagai Dot-Com Bubble atau Y2K Crash.

5. Jangan Panik Semasa Ekonomi Gawat

Umum tahu bahawa ekonomi ini bergerak secara kitaran, ada masa kegemilangan ekonomi yang memuncak, dan ada juga waktu gawat di mana semuanya kelihatan merudum.

Di sinilah kita lihat Warren Buffett amat faham pelaburan counter-cylical, di mana nilai aset meningkat semasa ekonomi sedang gawat.

Jadi simpan sedikit cash, kerana cash is king semasa ekonomi sedang gawat. Boleh membeli-belah semasa pasaran sedang memberikan kita diskaun.

6. Suka Beli Syarikat Berprestasi Tinggi

“Adalah lebih baik beli syarikat terbaik pada harga yang berpatutan, daripada beli syarikat yang biasa-biasa pada harga yang menarik”.

Sungguh deep sekali ayat di atas, yang membawa maksud adalah lebih baik kita beli saham syarikat blue chip yang sudah semestinya kukuh dan terkenal.

7. Beli Harga Murah

Semua orang mesti biasa dengar, beli harga rendah dan jual harga tinggi kan? Yang sebenarnya adalah, beli pada harga di bawah pasaran atau below market value.

Tapi bagaimana nak cari saham yang undervalue?

Boleh baca 40 Saham Di Bawah Nilai, di mana kami kongsikan bagaimana nak tentukan nilai saham dan saham syarikat mana yang undervalue.

8. Melabur Untuk Jangka Masa Panjang

Dan yang terakhir sekali, melaburlah untuk jangka masa yang panjang yang lebih menguntungkan.

Salah satu daripadanya, cari syarikat yang memberi dividen. Boleh tengok syarikat mana di Bursa Malaysia Yang Beri Dividen.

Tak salah kalau suka nak merempit, tapi perlu jantung yang kuat. Sedangkan pelaburan jangka masa panjang boleh memberikan ketenangan jiwa.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.