Berani Bangkit Bakal Menemui Penonton Setiap Sabtu 9 Malam Di Astro Oasis

Program terbaru yang bakal bersiaran di Astro Oasis, Berani Bangkit bakal menemui penonton bermula 14 Disember ini.

Diterbitkan oleh Asri Ahmad yang merupakan pengasas Asri Ahmad Academy, ilmu dan pengalaman yang meluas selama 21 tahun dalam bidang pelaburan saham mendatangkan idea untuk Berani Bangkit.

“Menerusi rancangan yang berbentuk travelog ini, ia akan memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada masyarakat tentang ilmu pelaburan.

“Berani Bangkit menampilkan tema travelog-dokudrama dan dirakamkan di sekitar Pulau Jeju, Korea Selatan.

“Menampilkan beberapa individu yang berjaya dalam bidang pelaburan, Berani Bangkit memperkenalkan pendekatan tersendiri dan tak hanya menjurus mengenai cerita pelaburan saham semata-mata.

“Berani Bangkit akan bercerita mengenai kejayaan individu yang telah sukses dalam bidang pelaburan saham. Pada masa yang sama, kami menyelitkan juga info penting dan berguna mengenai ilmu pelaburan yang patuh syariah,” katanya.

Asri Ahmad, pengasas Asri Ahmad Academy

Dalam pada itu, Asri turut mengakui agak sukar untuk membina kepercayaan mengenai pelaburan kepada masyarakat di luar sana.

“Apa yang tidak boleh kami nak nafikan, proses untuk membina kepercayaan orang bukan mudah.

“Ia merupakan satu proses yang sukar bagi mendidik orang, terutamanya orang Melayu.

“Apa yang ramai orang lain perasan, wujudnya stigma berhubung pelbagai penipuan dalam skim pelaburan.

“Berani Bangkit akan cuba mengkis persepsi terbabit dan penonton akan melihatnya dengan berbeza berbanding sebelum ini,” katanya lagi.

Bakal bersiaran selama lapan episod, Berani Bangkit akan mula bersiaran di saluran Astro Oasis setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula pada 14 Disember ini.

Kredit: Astro Gempak

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Eco-Shop Optimis Menjelang Disenarai Di Pasaran Utama Dengan IPO RM420 juta


PETALING JAYA, 29 April (Bernama) — Eco-Shop Marketing Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd kekal yakin dengan prospeknya, didorong asas kukuh walaupun sentimen pasaran dan ekonomi mengalami ketidaktentuan.

Eco-Shop berkata tawaran awam permulaan (IPO) syarikat ini dijangka menjadi IPO terbesar yang dilancarkan dalam tempoh lapan bulan lepas, dengan RM419.87 juta akan diraih melalui terbitan awam 347 juta saham baharu, berdasarkan harga runcit IPO RM1.21 sesaham.

Dalam kenyataan yang diedarkan di sini hari ini, katanya syarikat juga akan menawarkan 675.37 juta saham kepada pelabur institusi pada harga yang akan ditentukan melalui proses penetapan harga.

IPO berkenaan telah menerima 10 pelabur yang berperanan sebagai pelabur asas, yang secara kolektif melanggan 90.91 juta saham atau 90.31 peratus daripada tawaran institusi, katanya.

Sementara itu pada sidang media bersempena pelancaran prospektus IPO di sini, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop berkata ketidaktentuan pasaran global pastinya memberi kesan kepada sentimen pelabur dan pengguna.

Bagaimanapun, beliau berkata Eco-Shop kekal optimis saranan nilainya adalah tepat pada masa dan bersesuaian dengan persekitaran semasa.

“Daya pasaran pasti merupakan antara faktor yang kami pertimbangkan (bagi penyenaraian).

“Bagaimanapun, dalam situasi yang sukar ini (dengan ketidaktentuan pasaran), model perniagaan seperti kami lebih diperlukan. (Melihat kepada tarif Amerika Syarikat) dan kos yang semakin meningkat, kami yakin dengan harga kami yang mampu milik,” katanya.

Beliau berkata Eco-Shop telah membuktikan dengan konsisten kekuatan perniagaannya pada sepanjang tahun, dengan kemampuan untuk mendapatkan bekalan dan kelebihan daya saing dalam pembelian pukal.

“Kami juga mempunyai operasi dan infrastruktur yang kukuh serta keupayaan untuk membeli dalam jumlah yang besar dan membungkus semula barangan ini kepada saiz yang lebih kecil,” katanya.

Penyenaraian Eco-Shop di Pasaran Utama dijadualkan pada 23 Mei 2025.

Ketika ditanya mengenai kenaikan harga produk, Ng berkata peningkatan daripada RM2.40 kepada RM2.60 (bermula 14 April) adalah disebabkan peningkatan gaji minimum.

“Kebanyakan pekerja Eco-Shop daripada kumpulan B40. Oleh itu, kami perlu membuat penyesuaian ini untuk turut membantu pekerja kami.

“Walaupun kadar gaji minimum adalah RM1,700, Eco-Shop membayar gaji asas sebanyak RM1,800. Oleh itu, langkah ini diambil memandangkan kami juga perlu mengimbangkan dalam menjaga pihak berkepentingan dengan kaedah sewajarnya,” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan hasil daripada IPO ini, Ng berkata Eco-Shop telah memperuntukkan sebanyak RM56.27 juta (13.4 peratus) untuk mempercepat pengembangan operasi runcitnya di seluruh negara dan RM200 juta (47.6 peratus) untuk meluaskan pusat pengedaran.

Beliau berkata sebanyak RM10.90 juta (2.6 peratus) diperuntukkan bagi pelaburan dalam perkakasan dan perisian teknologi maklumat, RM100 juta (23.8 peratus) untuk membayar balik pinjaman bank dan RM52.70 juta (12.6 peratus) bagi modal kerja serta membiayai kos IPO dan penyenaraian.

“Kami menyasarkan sebanyak 70 kedai setahun dalam tempoh lima tahun akan datang, dan pada masa ini, pasaran yang kurang diteroka sepenuhnya adalah Lembah Klang serta Malaysia Timur.

“Operasi kedai kami kukuh pada masa ini di Pantai Timur dan bahagian Selatan. Dalam tempoh 12 bulan lepas, kami banyak memberikan tumpuan di Johor,” katanya.

— BERNAMA