Bursa Malaysia Jangka 60 IPO Disenarai Pada 2025 Dengan Permodalan Pasaran RM40.2 Bilion


KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia Bhd menjangkakan sebanyak 60 tawaran awam permulaan (IPO) akan disenarai pada 2025 dengan permodalan pasaran berjumlah RM40.2 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata pada 2024, bursa tempatan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai bursa saham terkemuka ASEAN apabila mencatatkan 55 penyenaraian baharu yang mengumpul RM7.4 bilion dan menyumbang kepada permodalan pasaran berjumlah RM31.4 bilion.

“Tahun ini kita bertambah baik lagi dengan 60 IPO. Syarikat yang akan terlibat adalah dari sektor kesihatan, tenaga, pembinaan dan perdagangan. Ia merupakan kumpulan yang pelbagai,” katanya.

Muhamad Umar juga menekankan rancangan penyenaraian semula MMC Ports dan menyifatkannya sebagai penambahan penting kepada segmen infrastruktur bursa berkenaan.

“Kami mengalu-alukan kemasukan semula MMC Ports ke bursa,” katanya pada taklimat media susulan Keputusan Tahun Kewangan Bursa Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata asas ekonomi Malaysia yang kukuh menunjukkan pasaran modal dijangka mencapai tahun yang teguh dan berdaya tahan sekali lagi.

“Tinjauan yang menggalakkan ini dijangka dapat mengekalkan keyakinan pelabur, merangsang pelaburan dan meningkatkan aktiviti pasaran,” katanya.

Sebanyak dua syarikat telah diluluskan untuk pasaran Utama dan akan disenaraikan mulai Mac, manakala 15 syarikat telah diluluskan untuk penyenaraian dalam pasaran ACE, kata Abdul Wahid.

“Dari segi purata nilai pasaran, tahun lepas adalah sekitar RM620 juta bagi setiap syarikat, dan tahun ini kami menyasarkan RM670 juta bagi setiap syarikat, termasuk syarikat kecil dan besar,” katanya.

Muhamad Umar berkata prestasi ekonomi yang teguh pada 2024, disokong oleh kekuatan utama negara dalam sektor eksport, penggunaan domestik yang berdaya tahan, dan peningkatan yang menonjol dalam pelaburan, dijangka memupuk persekitaran pelaburan yang kondusif pada 2025.

“Selain itu, kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN akan meningkatkan lagi persekitaran yang positif ini,” katanya.

Beliau berkata sebagai antara pasaran berprestasi tinggi di ASEAN tahun lepas, Bursa Malaysia yakin dengan berhati-hati bahawa momentum pertumbuhan dalam pasaran domestik dijangka terus kekal, didorong oleh kemajuan dasar yang berjaya dan pertumbuhan ekonomi global yang stabil.

Bagaimanapun, Muhamad Umar mengakui cabaran luar yang boleh mempengaruhi trajektori ini, termasuk dasar perdagangan Amerika Syarikat di bawah presiden yang baru dipilih, hala tuju kadar faedah oleh bank pusat utama dan pemulihan ekonomi China.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.