Cara-Cara Mengenal Pasti Saham Syarikat Berpotensi

Di kala pasaran saham sedang bergelora, eloklah juga kita kembali kepada asas atau ‘Back to Basics’. Daripada terus-menerus menanggung kerugian, eloklah kita kembali ke pangkal jalan dengan mengkaji semula saham-saham syarikat yang mempunyai Fundamental yang kuat.

Kerana apabila syarikat tersebut mempunyai asas yang kukuh, walaupun pasaran saham ‘crash’ dan harga saham syarikat menjunam, satu hari nanti ianya pasti akan naik semula.

Jadi bagaimanakah caranya untuk kita mengenal pasti saham-saham syarikat yang berpotensi untuk mendatangkan keuntungan? Jom kita hadamkan bersama-sama perkongsian daripada Tuan Jazli Izzuddin, yang sudah seringkali membuat keuntungan 100% daripada portfolio pelaburan saham beliau.

Cara-Cara Mengenal Pasti Syarikat Berpotensi

Setiap pelabur berharap untuk mendapat keuntungan daripada setiap pelaburan yang dibuat. Walaubagaimanapun, mereka perlu bersedia menghadapi cabaran dan terus bersusaha demi menjana pulangan yang positif. Ramai pelabur yang sering mengambil mudah setelah melabur dalam syarikat yang mempunyai latar belakang yang baik dan apabila pelaburan tersebut mengalami kegagalan, mereka tidak dapat mempercayainya.

Di akhir artikel, ini anda akan dapat mengenal pasti ciri-ciri syarikat yang berpotensi dan bagaimana untuk memadankannya dengan objektif dan profil risiko.

1. Tingkatkan Kemahiran Melabur

Mengapa ramai pelabur yang masih mengalami kerugian walaupun melabur dalam syarikat yang mempunyai latar belakang yang baik? Melihat kepada pasaran, ramai pelabur membuat keputusan yang dipengaruhi oleh saudara-mara dan rakan-rakan sekeliling. Pelabur cenderung melabur berasaskan khabar angin, desas-desus atau tip berbanding membuat kajian terperinci.

Mereka memasuki pasaran pada waktu bulis, iaitu apabila pasaran hampir berada di puncak dan akhirnya terperangkap dalam situasi “beli pada harga tinggi, jual pada harga rendah”. Apabila harga saham naik berterusan, pelabur beranggapan ia adalah waktu yang sesuai untuk ‘beli’ dan apabila harga merudum mereka beranggapan ia adalah waktu yang sesuai untuk ‘jual’.

Justeru, setiap pelabur perlu meningkatkan kemahiran menjana keuntungan dalam pasaran saham. Mereka perlu mengenal pasti syarikat yang mempunyai potensi tetapi masih belum diketahui oleh pasaran.

2. Strategi Pelaburan yang Sesuai

Secara logiknya, untuk mendapatkan keuntungan, pelabur perlu “membeli pada harga rendah dan jual pada harga yang tinggi” tetapi ini lebih mudah diperkatakan daripada dilakukan. Kebiasaannya apabila kita mengetahui sesuatu saham berpotensi, satu dunia seakan-akan telah mengetahuinya dan harga saham tersebut telahpun berada di paras yang terlalu tinggi sehingga tidak mampu untuk dibeli.

Untuk mengetahui sama ada sesuatu saham itu masih berbaloi untuk dilaburkan, penunjuk kewangan yang kebiasaanya digunakan ialah nisbah harga:

  • Harga/Nisbah Pendapatan (P/E)
  • Harga/Nisbah Jualan (P/S)
  • Harga/Nisbah Buku (P/B)

Nisbah harga yang rendah menunjukkan bahawa harga masih lebih rendah berbanding dengan nilai asasnya, dimana ia berdasarkan pendapatan, jualan atau nilai buku. Walaubagaimanapun, apabila menggunakan nisbah-nisbah ini, pelabur-pelabur perlu lebih berhati-hati kerana kadangkala angka perakaunan ini agak mengelirukan.

Untuk mengatasi ralat perakaunan, beberapa pakar pelaburan mencadangkan kita juga perlu melihat aliran tunai, dimana ia kurang cenderung kepada manipulasi perakaunan. Penunjuk kewangan yang biasa digunakan ialah pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), iaitu pendapatan kasar syarikat.

Ini menunjukkan jumlah sebenar yang telah dijana oleh syarikat daripada operasi selepas ditolak dengan kos perbelanjaan operasi.

3. Analisis Kelemahan Syarikat

Kadangkala, sesebuah syarikat kelihatan seperti mengalami kemorosotan, tetapi pelabur perlulah bijak dan menganalisis bagaimana kelemahan tersebut bakal memberi kesan terhadap pertumbuhan syarikat. Sebagai contoh, apabila harga saham sesebuah syarikat turun berikutan pendapatan kurang daripada yang dijangkakan ataupun kesan kitaran (cylically impact) yang bakal pulih, membeli saham syarikat ini semasa ianya diabaikan membolehkan kita menjana keuntungan apabila pasaran pulih kelak.

Walaubagaimanapun, terdapat juga keadaan dimana harga saham mungkin rendah atas sebab-sebab tertentu. Oleh yang demikian, pelabur perlu membaca laporan kewangan syarikat dengan teliti dan peka terhadap informasi dan perkembangan syarikat untuk memastikan syarikat tersebut masih mempunyai asas yang kukuh dan berpotensi tinggi untuk kembali menjadi perhatian dalam masa yang terdekat.

4. Lihat Potensi Pertumbuhan

Selain daripada harga saham yang murah, para pelabur juga boleh melihat potensi pertumbuhan dalam saham-saham tertentu. Untuk mengenal pasti potensi pertumbuhan sesebuah syarikat pada masa hadapan, pelabur perlu membuat kajian menyeluruh sesuatu perniagaan untuk menilai samada syarikat berada dalam sesuatu industri yang sedang berkembang.

Daripada perspektif sesebuah syarikat, peluang pertumbuhan berpunca daripada produk atau perkhidmatan yang berpotensi untuk mendapat permintaan yang tinggi. Begitu juga syarikat yang sedang membangunkan sesuatu teknologi atau perubatan yang dijangkakan mendapat permintaan yang tinggi dan mewujudkan satu trend baru.

Syarikat yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi adalah syarikat yang terlibat dalam penghasilan teknologi baru, dan juga syarikat perubatan yang giat menjalankan penyelidikan. Walaubagaimanapun, pelabur perlu sentiasa berhati-hati memandangkan risiko melabur dalam syarikat sebegini mungkin tinggi kerana berkemungkinan produk yang diharapkan tidak mendapat sambutan.

Di samping itu, kita juga boleh mempelajari persekitaran perniagaan dalam mengenal pasti potensi pertumbuhan sesuatu saham. Sebagai contoh, sekiranya kerajaan sedang menggalakkan pembangunan dalam sesuatu industri atau projek, harga saham syarikat yang bakal terlibat berkemungkinan besar akan naik dalam masa terdekat. Pelabur juga perlu memanfaatkan informasi yang ada dan membuat kesimpulan yang bijak mengenai syarikat yang berpotensi mendapat faedah daripada pembangunan yang dicadangkan.

Pelabur boleh memilih untuk mengenal pasti potensi nilai stok, mencari peluang pertumbuhan atau menggabungkan kedua-duanya. Walau bagaimanapun, seperti yang kita dapat lihat, dalam proses mengenal pasti saham yang mempunyai potensi yang baik, ia juga mempunyai risiko yang lebih tinggi. Oleh itu, pelabur perlu sentiasa melabur selaras dengan profil risiko mereka.

Sumber: FB Jazli Izzuddin

Tuan Jazli turut berkongsi dengan kami Bagaimana Pelaburan Saham Bantu Tingkatkan Nilai Duit? Secara ringkasnya, setiap tahun nilai duit kitaa menyusut disebabkan inflasi. Dan cara untuk kita kembangkan atau tingkatkan nilai duit kita adalah dengan melabur dalam pasaran saham, supaya duit bekerja untuk kita. Istilah lainnya adalah “duit buat duit”.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pinduoduo: Ancaman Baharu kepada Shopee dan MR DIY?

Selama ini, pengguna Malaysia sudah terbiasa membeli barangan murah melalui Shopee. Untuk barangan rumah, aksesori, perkakasan dan keperluan harian pula, MR DIY menjadi antara pilihan utama pengguna yang mementingkan harga berpatutan.

Tetapi kini, muncul satu lagi pemain yang berpotensi mengubah landskap persaingan tersebut: Pinduoduo.

Platform e-dagang dari China ini mula menjalankan kempen khusus untuk pengguna Malaysia pada Disember 2025. Menjelang Mac dan April 2026, aplikasinya semakin mendapat perhatian apabila pengguna berkongsi penemuan produk yang dijual pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran tempatan.

Menurut laporan The Edge Malaysia pada September 2026, seorang pengguna membeli krim pada harga RM8 berbanding lebih RM24 di pasaran tempatan. Seorang lagi membeli 30 gulung tisu tandas pada harga RM20.

Malah, laporan yang sama membandingkan harga selipar di kedai fizikal, sekitar RM16 dengan produk serupa di Pinduoduo pada harga RM3.50. Perbezaan harganya kira-kira 78%!

Ini bukan lagi sekadar persaingan antara dua aplikasi membeli-belah. Ia membuka persoalan lebih besar tentang bagaimana produk dihasilkan, diedarkan dan dijual kepada pengguna.

1. Apa sebenarnya kelebihan Pinduoduo?

Pinduoduo diasaskan di China pada 2015 dan syarikat induknya, PDD Holdings, disenaraikan di Nasdaq pada 2018.

Model perniagaannya menggabungkan beberapa pendekatan yang menarik.

Pertama, platform ini menghubungkan pengguna dengan rangkaian pengeluar dan penjual, termasuk pengeluar yang mampu membekalkan barangan pada kos rendah.

Kedua, Pinduoduo membangunkan model social commerce, termasuk pembelian berkumpulan atau team purchase. Pengguna boleh berkongsi tawaran dengan orang lain bagi mendapatkan harga yang lebih menarik.

Ketiga, platform ini memanfaatkan skala permintaan. Apabila ramai pengguna membeli produk yang sama, penjual mempunyai peluang untuk meningkatkan jumlah jualan dan mengoptimumkan kos pengeluaran serta pengedaran.

Walau bagaimanapun, harga murah bukan bermaksud semua produk semestinya lebih berkualiti rendah atau setiap produk pasti lebih murah daripada Shopee. Pengguna masih perlu membandingkan spesifikasi, kualiti, kos penghantaran dan syarat pembelian.

2. Berapa murah produk Pinduoduo berbanding pasaran tempatan?

Laporan The Edge Malaysia memberikan beberapa contoh yang menunjukkan jurang harga yang ketara.

ProdukHarga di PinduoduoHarga perbandingan tempatan
KrimRM8Lebih RM24
30 gulung tisu tandasRM20Dilaporkan 30%–40% lebih murah berbanding kedai runcit tempatan
SeliparRM3.50Sekitar RM16 di kedai fizikal

Sumber: The Edge Malaysia, September 2026. Harga ialah contoh yang dilaporkan, bukan purata harga pasaran atau perbandingan bagi semua produk.

Bagi selipar, perbezaan RM12.50 bersamaan kira-kira 78.1% daripada harga runcit RM16.

Namun, perbandingan ini perlu dilihat secara berhati-hati. Produk yang kelihatan serupa mungkin berbeza dari segi bahan, ketahanan, spesifikasi, jaminan dan kos selepas jualan.

Selain itu, laporan tersebut menyatakan bahawa penghantaran percuma melalui laluan laut boleh mengambil masa sekitar 15 hingga 30 hari untuk transit, tidak termasuk keseluruhan proses pemenuhan pesanan.

Maka, pengguna sebenarnya membuat pertukaran antara harga dengan masa menunggu dan kemudahan mendapatkan produk.

3. Adakah Shopee berada dalam bahaya?

Shopee bukan pemain kecil yang mudah diketepikan.

Shopee dikendalikan oleh Sea Limited, syarikat teknologi yang turut mempunyai perniagaan permainan digital Garena serta perkhidmatan kewangan digital Monee.

Berdasarkan keputusan kewangan tahun penuh 2025, Sea Limited mencatatkan:

  • Hasil kumpulan sebanyak US$22.9 bilion, meningkat 36.4% berbanding 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak US$1.6 bilion, berbanding US$447.8 juta pada 2024.
  • Shopee merekodkan nilai barangan kasar atau GMV sebanyak US$127.4 bilion, meningkat 26.8%.
  • Hasil Shopee mencapai US$16.6 bilion, meningkat 33.4%.
  • Shopee mempunyai kira-kira 400 juta pembeli aktif dan 20 juta penjual sepanjang 2025.

Angka ini menunjukkan bahawa Shopee masih mempunyai skala operasi yang besar.
Sumber: Sea Limited, keputusan kewangan 2025.

Tetapi skala besar tidak bermaksud tiada tekanan persaingan.

Shopee perlu mengekalkan keseimbangan antara harga yang menarik, kos penghantaran, subsidi promosi, komisen penjual dan keuntungan platform.

Jika pengguna mula membandingkan setiap produk dengan harga terus dari China, penjual yang bergantung kepada produk generik mungkin berdepan tekanan margin keuntungan.

Sebahagian penjual juga mungkin perlu mengurangkan harga, mencari pembekal lebih kompetitif atau menawarkan produk yang mempunyai nilai tambah.

Dalam jangka panjang, persaingan bukan hanya tentang siapa yang mempunyai aplikasi paling popular, tetapi siapa yang mampu menawarkan gabungan harga, kualiti, penghantaran dan pengalaman pelanggan yang paling menarik.

4. Bagaimana pula dengan MR DIY?

Bagi MR DIY, ancamannya berbeza daripada Shopee.

MR DIY mempunyai rangkaian kedai fizikal dan menawarkan pelbagai barangan perkakasan, aksesori rumah, produk dapur, alat tulis serta keperluan harian.

Pengguna boleh datang ke kedai, melihat barangan dan membawanya pulang pada hari yang sama. Kelebihan ini tidak mudah digantikan oleh penghantaran rentas sempadan yang mengambil masa lebih lama.

Namun, terdapat kategori produk yang lebih mudah dibandingkan dari segi harga, seperti bekas penyimpanan, aksesori dapur, barangan plastik, hiasan rumah dan peralatan kecil.

Jika produk serupa boleh diperoleh pada harga yang jauh lebih rendah melalui platform luar negara, sebahagian pengguna mungkin mengubah tabiat membeli-belah mereka.

Prestasi kewangan MR DIY masih menunjukkan pertumbuhan

Bagi tahun kewangan 2025, MR DIY mencatatkan:

  • Hasil sebanyak RM4.95 bilion, berbanding RM4.65 bilion pada 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak RM632.69 juta, berbanding RM568.94 juta pada 2024.
  • Rangkaian sebanyak 1,556 cawangan, meningkat 8.4% berbanding tahun sebelumnya.
  • Jumlah transaksi sebanyak 197.8 juta, meningkat 8.2%.
  • Purata nilai setiap bakul pembelian menurun 1.6%.

Angka tersebut dilaporkan oleh Bernama berdasarkan keputusan kewangan MR DIY.
Sumber: BernamaBiz, Februari 2026.

Data ini penting kerana ia menunjukkan bahawa MR DIY masih berkembang ketika persaingan e-dagang semakin sengit.

Penurunan purata nilai bakul pembelian pula tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan Pinduoduo. Ia hanya satu petunjuk yang wajar diperhatikan bersama faktor lain seperti strategi harga, campuran produk dan keadaan pengguna.

Bagi MR DIY, cabarannya ialah memastikan pengguna masih mempunyai sebab untuk membeli di kedai fizikal walaupun terdapat alternatif lebih murah dalam talian.

5. Berapa harga saham PDD Holdings, Sea Limited dan MR DIY?

Jika mahu melihat isu ini daripada perspektif pelaburan, tiga saham yang boleh diperhatikan ialah PDD Holdings di Nasdaq, Sea Limited di New York Stock Exchange dan MR DIY di Bursa Malaysia.

Berikut ialah harga penutupan pada 23 Oktober 2026.

SyarikatKod sahamHarga penutupanPasaran
PDD HoldingsNASDAQ: PDDUS$79.04Amerika Syarikat
Sea LimitedNYSE: SEUS$74.63Amerika Syarikat
MR DIY GroupBursa: 5296RM1.15Malaysia

Sumber: StockAnalysis, Sea Limited Investor Relations dan The Star Market Watch. Harga dalam mata wang asal dan bukan harga masa nyata.

Saham PDD Holdings, syarikat induk kepada Pinduoduo dan Temu, pernah mencecah paras tertinggi 52 minggu pada US$139.41 pada 29 Oktober 2025. Namun, pada 23 Oktober 2026, sahamnya ditutup pada US$79.04, iaitu penurunan sekitar 43.3% daripada paras tertinggi tersebut. Berdasarkan semakan terkini pada Oktober 2026, saham PDD Holdings diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah oleh beberapa platform saringan saham Islam seperti Musaffa dan HalalScreener.

Ini bermakna harga penutupannya kira-kira 43.3% di bawah paras tertinggi 52 minggu yang dipaparkan. Walau bagaimanapun, pergerakan tersebut tidak boleh dianggap berpunca daripada persaingan di Malaysia kerana PDD Holdings mempunyai operasi besar di China dan turut mengendalikan Temu.

Bagi Sea Limited, harga penutupannya ialah US$74.63. Sea turut mempunyai pendedahan kepada permainan digital dan perkhidmatan kewangan, jadi prestasi sahamnya tidak mencerminkan Shopee sahaja.

Sementara itu, saham MR DIY ditutup pada RM1.15, penurunan 25.81% sejak awal tahun (YTD), bersamaan susut RM0.40 sesaham daripada RM1.55 pada awal tahun.

Nota: Ketiga-tiga saham ini tidak boleh dibandingkan secara terus berdasarkan harga seunit. Jumlah saham diterbitkan, struktur modal, mata wang, pertumbuhan keuntungan dan penilaian pasaran mereka berbeza. Harga saham yang menurun juga tidak membuktikan bahawa Pinduoduo telah menjejaskan prestasi kewangan pesaingnya.

6. PDD Holdings sendiri mencatatkan hasil lebih RMB400 bilion

Saiz perniagaan syarikat induk Pinduoduo turut menjelaskan mengapa model perniagaannya wajar diberi perhatian.

Bagi tahun kewangan 2025, PDD Holdings melaporkan:

  • Hasil sebanyak RMB431.85 bilion, meningkat kira-kira 9.7% berbanding 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak RMB97.84 bilion, menurun daripada RMB112.43 bilion pada 2024.

Angka ini merangkumi perniagaan kumpulan PDD Holdings, termasuk Pinduoduo dan Temu, bukannya prestasi Pinduoduo di Malaysia sahaja. Sumber: Laporan tahunan PDD Holdings 2025 kepada SEC.

Hasil yang besar memberikan gambaran tentang skala operasi kumpulan tersebut. Namun, penurunan keuntungan bersih pada 2025 menunjukkan bahawa pertumbuhan hasil tidak semestinya membawa kepada pertumbuhan keuntungan pada kadar yang sama.

Bagi pelabur, perkara yang lebih penting ialah sama ada syarikat dapat mengekalkan pertumbuhan, mengurus kos, mempertahankan margin dan memenuhi keperluan kawal selia di pasaran yang diceburinya.

7. Isu lebih besar: Adakah semua pemain bersaing di padang yang sama?

Persaingan harga bukan semata-mata isu antara platform e-dagang.

Peniaga tempatan perlu menanggung pelbagai kos, termasuk sewa premis, gaji pekerja, caruman berkanun, pergudangan, pengedaran dan pematuhan peraturan yang berkaitan.

Penjual yang menghantar barangan terus dari luar negara mungkin mempunyai struktur kos yang berbeza. Perbezaan ini boleh memberi kesan kepada harga yang mampu ditawarkan kepada pengguna.

Dalam laporan September 2026, The Edge Malaysia mengetengahkan kebimbangan pemain industri tentang kesamarataan syarat persaingan, termasuk isu pematuhan dan struktur kos.

Pada masa yang sama, pengguna mendapat manfaat daripada pilihan yang lebih banyak dan harga yang lebih kompetitif.

Cabaran kepada pihak berkuasa ialah memastikan peraturan dilaksanakan secara adil tanpa menafikan manfaat e-dagang rentas sempadan kepada pengguna.

Bagi peniaga Malaysia, jawapannya juga bukan sekadar meminta perlindungan daripada pesaing luar. Mereka perlu meningkatkan produktiviti, memperkukuh jenama, memperbaiki pengalaman pelanggan dan membangunkan produk yang tidak mudah digantikan oleh barangan generik.

Kesimpulan: Persaingan baharu bukan lagi sekadar siapa menjual paling murah

Kehadiran Pinduoduo memberi isyarat bahawa persaingan runcit semakin merentas sempadan.

Shopee mempunyai skala pembeli dan penjual yang besar. MR DIY mempunyai rangkaian kedai fizikal serta kemudahan pembelian segera. Pinduoduo pula membawa pendekatan yang menekankan harga rendah dan hubungan terus antara pengguna dengan penjual.

Ketiga-tiganya mempunyai kekuatan dan cabaran yang berbeza.

Bagi pengguna, perkembangan ini membuka lebih banyak pilihan. Bagi peniaga dan pelabur, ia menimbulkan persoalan tentang kemampuan mengekalkan margin keuntungan apabila pengguna semakin mudah membandingkan harga di seluruh dunia.

Akhirnya, syarikat yang mampu menggabungkan harga kompetitif, kualiti, kemudahan, kepercayaan dan keuntungan yang mampan akan mempunyai kedudukan lebih baik dalam persaingan jangka panjang.

Persoalannya, adakah peniaga tempatan mampu menyesuaikan diri dengan era harga terus dari China, atau mereka akan terus bersaing menggunakan model perniagaan yang sama?

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global (China, Hong Kong, Singapura, Indonesia)

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.