Elliott Wave

Elliott Wave diperkenalkan oleh Ralph Nelson Elliott yang merupakan seorang jurutera pada awalnya. Selepas mengalami sakit yang teruk pada awal tahun 1930, beliau bertukar kepada menganalisa harga-harga saham terutamanya indeks Dow Jones.

Selepas beberapa ramalan yang berjaya berdasarkan teknik yang beliau cipta sendiri, Elliott telah menerbitkan beberapa siri artikel dalam majalah Financial World pada tahun 1939. Dalam artikel ini beliau memperkenalkan buat kali pertama, pendapatnya bahawa indeks Dow Jones bergerak mengikut rentak atau corak tertentu.

Menurut beliau, setiap benda bergerak umpama gelombang atau arus yang terdiri daripada gelombang besar diikuti oleh gelombang kecil dan setiap tindakan akan diikuti oleh tindak balas. Menurutnya lagi, masa tidak mengubah keadaan kerana pasaran saham itu secara strukturnya adalah tetap (constant). Apa yang bertukar hanyalah rentak individu (atau pergerakan kecil) dalam pergerakan yang besar.

Elliott menggunakan asas daripada siri nombor Fibonacci untuk membentuk gelombang dan kitaran sekaligus meramalkan pergerakan harga.

Prinsip Gelombang Elliott

Sumber: Wikimedia

Mengikut prinsip gelombang Elliott, pergerakan pasaran selalunya mempunyai tiga ciri yang tertentu. Setiap satu siri tindakan dan tindak balas terdiri daripada corak, masa dan nisbah. Setiap satunya didapati mengikut siri Fibonacci.

Gelombang penuh ataupun satu fasa yang positif bagi sesuatu kitaran terdiri daripada 5 gelombang. Iaitu gelombang impulse yang bergerak ke atas. Kedua, gelombang pembetulan (correction) yang bergerak ke bawah. Gelombang-gelombang 1,3, dan 5 berada pada arah pergerakan utama. Manakala gelombang-gelombang 2 dan 4 ‘membetulkan’ gelombang 1 dan gelombang 3.

Secara umumnya gelombang 2 tidak akan surut kepada permulaan gelombang 1, dan gelombang 4 juga tidak membetulkan kesemua gelombang 3.  Gelombang 4 pula jarang-jarang turun ke tahap yang lebih bawah daripada puncak gelombang 1.

Setiap satu daripada tiga gelombang menaik tadi boleh juga dibahagikan kepada 5 gelombang yang lebih kecil, manakala setiap satu gelombang pembertulan (gelombang 2 dan 4) boleh dibahagikan kepada tiga yang lebih kecil.

Jika pergerakan ke atas membentuk lebih daripada lima gelombang, ada kemungkinan bahawa keadaan ini akan berterusan untuk tiga gelombang tambahan. Satu pergerakan ke bawah yang melebihi tiga gelombang berkemungkinan akan membentuk dua gelombang tambahan.

Kita boleh menjangkakan tiga gelombang baru akan terbentuk jika kedua-dua gelombang tadi ‘diatasi’. Mengikut Elliott, berdasarkan kepada pengalaman beliau, beliau dapati bahawa nombor 144 merupakan nombor paling tinggi yang ‘ada’ nilai. Beliau menyatakan bahawa dalam kitaran penuh bagi sesuatu pasaran saham, bilangan gelombang kecil adalah sebanyak 144.

Jadual berikut menunjukkan bilangan gelombang dan kitaran yang diguna pakai dalam Elliott Wave

KitaranMenaikMenurunPenuh
Gelombang Kitaran112
Gelombang Utama538
Gelombang Pertengahan211334
Gelombang Kecil8955144

Bagi pandangan kami, Elliott Wave ini ilmu yang agak kompleks. Jika anda masih lagi baru dalam pelaburan saham, tidak perlu fokus kepada Elliott Wave sangat. Sebaliknya kukuhkan dahulu ilmu asas seperti tahu di mana support dan resistance, mengenal pasti entry point, bila nak ambil keuntungan dan penting juga untuk tahu bila nak cut loss.

Lama-kelamaan apabila dah lama sedikit dalam pelaburan sahan dan dah merasa untung rugi dalam saham, boleh pertimbangkan untuk belajar mengenai Elliott Wave pula.

Sumber Rujukan: Buku Menyelami Dasar Lautan Saham oleh Othman Yong, keluaran tahun 1998, ISBN: 9679424022

Previous ArticleNext Article
An introverted chocoholic whom happened to be involved in content curation and stock trading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Meridian Ditegur Bursa, Didenda RM8,500

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd mengenakan teguran secara terbuka terhadap Meridian Bhd dan Pengarah Eksekutifnya, Tang Boon Koon, selepas syarikat itu didapati melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Tang turut dikenakan denda keseluruhan RM8,500 berikutan pelanggaran berkenaan.

Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan berkata, Meridian melanggar perenggan 9.23(1) LR Utama kerana gagal menerbitkan laporan tahunan termasuk penyata kewangan diaudit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 November 2023 dan tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mei 2025.

Menurutnya, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2023 hanya diterbitkan pada 5 April 2024, iaitu lewat lima hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 31 Mac 2024.

Sementara itu, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2025 diterbitkan pada 8 Oktober 2025, iaitu lewat enam hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 30 September 2025.

“Tang, Pengarah Eksekutif Meridian pada masa itu, melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan Meridian melakukan pelanggaran berkenaan serta dikenakan teguran secara terbuka selain denda keseluruhan berjumlah RM8,500,” katanya.

Bursa Malaysia Securities turut mengarahkan Meridian memastikan Tang dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan pematuhan LR Utama, khususnya berkaitan penyata kewangan.

Selain itu, lembaga pengarah syarikat diminta menyemak semula kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan, selain dasar serta prosedur pelaporan kewangan syarikat.

Bursa Malaysia Securities berkata, dapatan pelanggaran dan tindakan terhadap Meridian serta Tang dibuat menurut perenggan 16.19 LR Utama selepas proses sewajarnya selesai dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan.

Pertimbangan itu termasuk kepentingan material pelanggaran, kesannya terhadap Meridian serta pemegang saham atau pelabur, selain peranan, tanggungjawab, pengetahuan dan tingkah laku Tang.

Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran berkenaan kerana penyerahan penyata kewangan dalam tempoh ditetapkan adalah kewajipan asas bagi syarikat tersenarai.

“Amat penting untuk memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang diniagakan di Bursa Malaysia Securities serta perlu bagi membantu keputusan pelaburan yang termaklum.

“Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Meridian dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat serta akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur,” katanya.

Menurut Bursa Malaysia Securities, kelewatan penerbitan laporan tahunan berkenaan berpunca terutamanya daripada kegagalan Meridian menyelenggara serta menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luar.

Keadaan itu turut menyebabkan juruaudit memberikan pendapat penafian terhadap kedua-dua set penyata kewangan diaudit berkenaan.

Pendapat penafian itu mencetuskan kriteria yang ditetapkan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), sekali gus menyebabkan Meridian diklasifikasikan sebagai penerbit berstatus PN17 pada 8 April 2024.