Keuntungan Bersih Nestle Malaysia Bagi Suku Ketiga Meningkat Kepada RM114.0 Juta

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) — Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd (Nestle) meningkat kepada RM114.0 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2025 (S3 2025) daripada RM85.4 juta setahun sebelumnya.

Perolehan melonjak 21.9 peratus kepada RM1.76 bilion daripada RM1.45 bilion pada suku yang sama sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Nestle berkata pertumbuhan itu disumbangkan oleh jualan domestik dan eksport, disokong oleh asas perbandingan yang rendah pada suku ketiga 2024.

“Prestasi kumpulan itu membuktikan bahawa strategi komersial dan keupayaan pengedarannya yang terus relevan, disokong oleh kepercayaan pengguna yang berterusan terhadap jenamanya.

“Ia kekal komited untuk memenuhi jangkaan rakyat Malaysia terhadap kualiti, rasa dan nutrisi, sambil mengukuhkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta kemampanannya,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2025, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM387.50 juta berbanding RM374.52 juta setahun sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM5.20 bilion daripada RM4.75 bilion sebelumnya.

Nestle berkata pertumbuhan itu didorong oleh permintaan domestik dan pengembangan dua digit dalam jualan eksport, sekali gus mencerminkan daya saing kumpulan itu di peringkat global dalam portfolio produk keluaran Malaysia yang 100 peratus diperakui halal.

Oleh itu, kumpulan itu mengesahkan semula panduan terdahulu dan kekal komited untuk memberikan nilai mampan melalui inovasi, kecemerlangan operasi dan strategi yang berpusatkan pengguna.

Katanya, janji untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang saham dan mencipta nilai yang bermakna kepada semua pihak berkepentingan kekal menjadi keutamaan kumpulan itu, disokong oleh produk diperakui halal buatan Malaysia. — BERNAMA

Previous ArticleNext Article

KNM Dinyahsenarai Daripada Bursa Malaysia Pada 5 November 2025

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) — Syarikat di bawah Nota Amalan 17 (PN17), KNM Group Bhd akan dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd pada 5 November ini susulan tindakan bursa menolak pelan pemulihannya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, KNM berkata ia memutuskan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan penyahsenaraian itu dan telah mengemukakan makluman rasmi kepada Bursa Malaysia Securities.

“Susulan itu, syarikat akur dengan keputusannya. Berikutan itu, KNM akan dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Securities berkuatkuasa mulai 5 November,” katanya.

KNM telah memeterai beberapa perjanjian jual beli (SPA) bagi pelupusan aset bukan teras atau yang kurang berprestasi dalam usaha mengurangkan beban kewangan selain untuk memperkemas operasinya.

Menurut syarikat itu, kejayaan menyelesaikan SPA berkenaan adalah penting dalam usaha menstabilkan kewangan dan tempoh di bawah pengawalseliaan bagi meneruskan rayuan itu boleh menjejaskan jadual SPA terbabit.

KNM berkata bersandarkan rekod prestasinya selama 35 tahun dan kehadiran kukuh dalam industri pembuatan peralatan pemprosesan, Lembaga Pengarah yakin modal kerja sebanyak RM100 juta yang dikekalkan akan membolehkan syarikat membangunkan dan memperkukuh semula operasi.

“Lembaga Pengarah akan menumpukan aspek pemulihan operasi dan kewangan kumpulan. Apabila kedudukan kewangan syarikat pulih dan pada masa sewajarnya, pihak Lembaga Pengarah akan mempertimbangkan penyenaraian semula KNM, tertakluk kepada prestasi kewangan dan kelulusan yang ditetapkan,” katanya.

Saham-saham KNM diniagakan pada setengah sen setakat hari ini.
— BERNAMA