Pelabur Asing Terus Ligat Membeli Di Bursa Malaysia, Aliran Masuk Dana RM853.8 Juta


KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) — Kalangan pelabur asing meneruskan aktiviti pembelian ketara di Bursa Malaysia pada minggu lepas yang juga minggu kedua berturut-turut dengan menyumbang aliran masuk berjumlah RM853.8 juta.

Perkembangan itu juga memaparkan aliran masuk dana asing pertama berterusan atau secara berturut-turut sejak 24 September lepas.

Mengikut Laporan Aliran Dana MIDF Amanah Investment Bank Bhd bagi minggu berakhir pada 2 Mei, 2025, pelabur asing muncul sebagai pembeli bersih pada setiap hari dagangan dengan mencatat jumlah dalam julat RM50.7 juta hingga RM340.8 juta.

Jumaat lepas misalnya meraih aliran masuk asing bersih tertinggi dan diikuti Khamis dengan masing-masing berjumlah RM340.8 juta dan RM325.2 juta.

“Tiga sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM567.4 juta), penjagaan kesihatan (RM124.8 juta) dan produk dan perkhidmatan industri (RM107.9 juta).

“Dua sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih adalah tenaga (RM31.9 juta) dan perladangan (RM6.0 juta),” katanya.

Bank pelaburan itu berkata institusi tempatan meneruskan aktiviti jualan bersih mereka kepada dua minggu berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM692.6 juta.

Angka itu juga adalah minggu kedua jualan bersih dicatatkan institusi tempatan secara berturut-turut sejak 24 Ogos, 2025.

Menurut MIDF, pelabur runcit tempatan melanjutkan trend jualan bersih yang mencecah tiga minggu dengan aliran keluar sebanyak RM161.2 juta atau hampir 2.5 kali lebih tinggi daripada aliran keluar minggu sebelumnya.

“Purata jumlah dagangan harian meningkat ketara pada minggu lepas dengan institusi tempatan dan peruncit tempatan masing-masing menokok 8.7 peratus dan 5.7 peratus manakala pelabur asing menyaksikan peningkatan sebanyak 26 peratus,” katanya.

Di peringkat Asia, MIDF berkata pelabur asing turut meneruskan aktiviti belian bersih untuk minggu kedua yang menyumbang aliran masuk bersih sebanyak US$3.32 bilion (US$1=RM4.25), didorong oleh peningkatan semula sentimen belian kukuh di India dan Taiwan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Minyak & Gas Bersepadu: Gangguan Bekalan Bakal Sokong Harga

Naik taraf kepada WAJARAN TINGGI daripada Neutral; Saham Pilihan Utama: Dialog (DLG) dan MISC

Harga minyak dilihat melonjak naik di tengah-tengah pertelingkahan geopolitik yang kian rancak di Timur Tengah, dipacu oleh risiko gangguan bekalan di Selat Hormuz dan kerosakan yang dilaporkan pada prasarana penapisan penting di Negara-Negara Teluk. Walaupun kami menjangka harga akan menurun dari semasa ke semasa, pemulihan bekalan tidak mungkin berlaku serta merta, disebabkan oleh kelewatan dalam pemulaan semula operasi dan kekangan logistik.

Oleh demikian itu, harga minyak berkemungkinan akan kekal meninggi dalam jangka terdekat, lantas menyokong perolehan sektor. Kami melihat adanya peluang untuk prestasi melangkaui jangkaan dalam jangka dekat, khususnya dalam kalangan syarikat segmen pertengahan dan sesetengah syarikat huluan yang meraih manfaat daripada situasi ini.

Ramalan Brent disemak naik, lalu mencerminkan kekukuhan jangka dekat

Kami menaikkan ramalan purata minyak mentah Brent 2026 kepada USD82.50/tong daripada USD62/tong dan juga mengemukakan ramalan 2027 iaitu USD72/tong. Nilai ini mencerminkan pandangan kami bahawa harga minyak akan kekal tinggi dalam jangka dekat tatkala gangguan berlaku, sebelum beransur-ansur kembali normal apabila keadaan bekalan bertambah baik dan premium risiko mereda.

Namun begitu, dalam senario yang lebih buruk yang melibatkan konflik berlarutan atau semakin meruncing, harga minyak mungkin meningkat dengan ketara – berpotensi mencecah USD140-150/tong, bergantung pada tahap keburukan dan tempoh gangguan bekalan berlaku.

Harga minyak bakal kembali normal secara beransur-ansur, bukannya serta merta

Kami tidak menjangka harga minyak akan kembali ke paras sebelum konflik dengan serta merta, kerana kelewatan dalam permulaan semula operasi, kekangan logistik, dan premium risiko yang berlarutan mungkin menyebabkan harga meninggi dalam jangka dekat. Walau bagaimanapun, apabila rantaian bekalan menstabil, kami menjangka harga akan turun sekitar paras pertengahan USD80/tong sebelum bergerak lebih rendah ke arah andaian jangka sederhana kami.

Saham Pilihan Utama kami masih lagi DLG dan MISC

Menerusi pendedahan kepada segmen huluannya, DLG berpotensi meraih keuntungan separa daripada
kenaikan harga minyak, sedangkan perniagaan terminal tangki teras dan segmen pertengahannya terus mendatangkan perolehan yang terkawal dan berulangan. Sementara itu, MISC bakal mendapat kelebihan daripada kadar tambang kapal tangki yang mahal kerana ketegangan geopolitik dan gangguan bekalan yang menjejaskan ketersediaan kapal yang beroperasi selain menaikkan permintaan untuk tambang muatan.

Petronas Chemicals (PCHEM)

Mungkin muncul sebagai penerima manfaat utama sekiranya keadaan pertikaian berlarutan lebih lama kerana gangguan bekalan yang berterusan dan harga minyak yang tinggi dapat menyebabkan pasaran petrokimia terus kekurangan bekalan. Hal ini sekali gus menyokong kenaikan harga barang dan menaikkan perbezaan harga antara barang. Walau bagaimanapun, kami percaya tahap keterukan dan kemampanan kenaikan harga saham masih lagi tidak dapat dipastikan kerana ia amat bergantung pada tempoh gangguan bekalan itu dan keadaan-keadaan yang mendasari permintaan.

Risiko utama pada saranan kami

Harga dan permintaan dunia untuk minyak lebih rendah daripada jangkaan lebih-lebih lagi dari China.

Ramalan Harga Minyak Mentah

Kilang-kilang penapisan minyak (serangan & gangguan yang dilaporkan):

Penganalisis
Lee Yun Leon +603 9280 8883 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.