Saham Juventus Menjunam 22% Selepas Kalah Kepada Ajax Dalam Saingan Liga Juara-Juara Eropah

Saham kelab bolasepak Itali, Juventus menjunam sebanyak 22% selepas kekalahan mereka kepada Ajax Amsterdam dalam persaingan Liga Juara-Juara Eropah. Manakala kelab yang berpangkalan di Belanda, Ajax Amsterdam pula mencatat kenaikan saham sebanyak 10% selepas kemenangan 2-1 dalam persaingan timbal-balik di Itali dengan agregat keseluruhan Ajax menang dengan jaringan 3-2.

Saham Juventus yang disenaraikan di Bursa Saham Itali (Borsa Italiana) jatuh dari $1.69 Euro kepada $1.32 Euro pada Rabu sekaligus mencatatkan kejatuhan sebanyak 22%.

Kejatuhan Saham Juventus. Sumber: Tradingview

Manakala saham Ajax pula melonjak lebih 10% daripada $17.15 Euro kepada $18.90 Euro pada pembukaan pasaran Eropah hari Rabu.

Sehari sebelum perlawanan pada Rabu, saham Juventus dilihat melonjak di Bursa Saham Itali dengan peningkatan sebanyak 2.19% kepada $1.706 euro berikutan keyakinan pelabur yang menjangka kemenangan Juventus di tempat sendiri.

Liga Juara-Juara Eropah adalah persaingan kelab bola sepak terkemuka dan mampu menjadi pemangkin kepada prestasi kewangan sesebuah kelab. Kelab yang layak bermain di dalam liga ini sudah cukup untuk menarik perhatian pelabur lebih-lebih lagi jika berjaya memenangi trofi keramat itu.

Harga saham kelab yang berpangkalan di Turin ini melonjak tinggi pada tahun lalu selepas mereka berjaya menandatangani Cristiano Ronaldo dari Real Madrid. Sebelum kemasukan Ronaldo, saham Juventus hanya didagangkan di sekitar $0.60 Euro pada pertengahan Mei 2018. Selepas kemasukan Ronaldo, nilai saham melonjak ke paras $1.80 Euro semasa sesi dagangan 20 September 2018.

Untuk pengetahuan anda, Ronaldo dibeli dengan harga 100 juta Euro di mana pemain kelahiran Portugal itu bakal menerima gaji 31 juta Euro setahun.

Para pemain Ajax Amsterdam yang rata-rata dibarisi oleh pemain muda mengejutkan Juventus yang dibarisi oleh pemain berprofail tinggi. Kemenangan Ajax pada Rabu sekaligus menghantar mereka ke peringkat separuh akhir liga juara-juara buat pertama kali sejak tahun 1997.

De Ligt’s Meraikan Jaringan Kedua Ajax

Tandukan pemain pertahanan tengah Matthijs de Ligt’s memastikan kemenangan 2-1 Ajax dalam aksi kedua suku-akhir di Itali. De Ligt’s yang baru berusia 19 tahun adalah ketua pasukan termuda dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah dan nama beliau kini disebut-sebut sebagai pertahanan tengah muda terbaik di dunia pada masa ini.

Kekalahan ini juga sekaligus meranapkan impian Ronaldo untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam bersama kelab lain selain daripada Real Madrid. Separuh-akhir kali ini juga adalah yang pertama tanpa Ronaldo sejak lapan tahun lepas.

Juventus, kelab bola sepak paling berjaya dalam sejarah bola sepak Itali mula disenaraikan di Borsa Italiana pada Disember 2001.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jangan Main Beli Saham, Ikuti 7 Langkah Membaca Carta Seperti Pelabur Berpengalaman

Apabila seseorang mula berjinak-jinak dengan pelaburan saham, soalan yang sering bermain di fikiran ialah, “Saham apa yang patut saya beli?”

Ramai pelabur baru akan mencari cadangan saham daripada rakan, mengikuti “buy call” di media sosial atau membeli saham yang sedang menjadi bualan ramai. Ada juga yang membeli hanya kerana harga saham tersebut kelihatan murah.

Malangnya, pendekatan sebegini sering menyebabkan pelabur terperangkap membeli saham pada waktu yang tidak sesuai. Walaupun syarikat tersebut mempunyai asas perniagaan yang baik, membeli pada harga yang terlalu tinggi boleh menyebabkan pelaburan mengambil masa yang lama untuk memberikan pulangan.

Di sinilah pentingnya analisis teknikal.

Analisis teknikal tidak memberitahu kita syarikat mana yang paling bagus, tetapi ia membantu mengenal pasti bilakah masa yang lebih sesuai untuk membeli atau menjual sesuatu saham berdasarkan pergerakan harga dan tingkah laku pasaran.

Apa Itu Analisis Teknikal?

Analisis teknikal ialah kaedah mengkaji pergerakan harga dan volum dagangan bagi meramal kebarangkalian arah pergerakan harga pada masa hadapan.

Berbeza dengan analisis fundamental yang memberi tumpuan kepada prestasi kewangan syarikat, analisis teknikal lebih menekankan kepada tingkah laku pasaran.

Ia dibina atas tiga prinsip utama:

  • Semua maklumat telah diterjemahkan ke dalam harga saham.
  • Harga bergerak mengikut trend.
  • Corak harga cenderung berulang kerana emosi manusia seperti tamak dan takut sentiasa wujud dalam pasaran.

Oleh sebab itu, carta harga menjadi “bahasa” utama bagi pelabur teknikal.

Mengapa Pelabur Perlu Melihat Carta?

Bayangkan dua pelabur membeli saham syarikat yang sama. Pelabur pertama membeli ketika harga sedang meningkat secara sihat. Pelabur kedua pula membeli ketika harga sedang jatuh tanpa henti.

Walaupun mereka membeli saham yang sama, keputusan pelaburan mungkin sangat berbeza hanya kerana masa pembelian yang berbeza. Carta membantu pelabur mengenal pasti sama ada sesuatu saham sedang berada dalam keadaan:

  • semakin kuat,
  • semakin lemah,
  • atau masih belum menunjukkan arah yang jelas.

Dengan memahami carta, pelabur dapat mengurangkan risiko membeli pada waktu yang salah

Langkah 1: Kenal Pasti Trend Saham

Perkara pertama yang perlu dilihat ialah arah aliran harga atau trend. Secara umum, terdapat tiga jenis trend.

  • Uptrend

Harga bergerak membentuk higher high dan higher low. Ini menunjukkan pembeli menguasai pasaran dan permintaan masih tinggi. Dalam keadaan ini, kebanyakan pelabur teknikal lebih cenderung mencari peluang untuk membeli.

  • Downtrend

Harga membentuk lower high dan lower low. Ini menunjukkan tekanan jualan masih mendominasi pasaran. Ramai pelabur baru melakukan kesilapan membeli hanya kerana harga kelihatan murah sedangkan trend penurunan masih belum berakhir.

Pepatah dalam pelaburan sering menyebut:

“Trend is your friend.”

Maksudnya, lebih selamat berdagang mengikut arah aliran berbanding melawannya.

  • Sideways

Kadangkala harga tidak naik dan tidak juga turun. Sebaliknya, ia bergerak dalam satu julat tertentu untuk tempoh yang lama. Keadaan ini dikenali sebagai sideways atau mendatar. Dalam situasi ini, pasaran sedang menunggu pemangkin baharu seperti laporan kewangan, keputusan ekonomi atau berita korporat.

Langkah 2: Lukis Trendline

Selepas mengenal pasti trend, langkah seterusnya ialah melukis trendline. Trendline membantu pelabur melihat arah aliran harga dengan lebih jelas. Dalam uptrend, trendline dilukis di bawah harga sebagai sokongan.

Dalam downtrend, trendline dilukis di atas harga sebagai rintangan. Jika harga masih menghormati trendline tersebut, kebarangkalian trend berterusan adalah lebih tinggi. Sebaliknya, jika trendline ditembusi dengan jelas, ia mungkin menjadi petanda bahawa trend sedang berubah.

Langkah 3: Kenal Pasti Paras Support dan Resistance

Support dan resistance merupakan antara konsep paling asas dalam analisis teknikal.

  • Support

Support ialah kawasan harga di mana pembeli mula memasuki pasaran sehingga harga berhenti jatuh. Ia boleh dianggap sebagai “lantai” kepada harga saham.

Sebagai contoh:

Jika sesuatu saham beberapa kali melantun apabila mencecah RM1.50, maka RM1.50 boleh dianggap sebagai paras support.

  • Resistance

Resistance pula ialah kawasan di mana tekanan jualan mula meningkat. Harga sering menghadapi kesukaran untuk melepasi kawasan ini.

Jika saham berkali-kali gagal melepasi RM3.00, maka RM3.00 merupakan resistance. Namun, apabila resistance berjaya ditembusi dengan volum yang tinggi, ia sering menjadi petanda bahawa momentum kenaikan masih kukuh.

Langkah 4: Perhatikan Volum Dagangan

Harga tanpa volum ibarat sebuah kereta yang bergerak tanpa enjin. Volum menunjukkan berapa banyak saham yang diperdagangkan dalam sesuatu tempoh.

Bayangkan dua situasi berikut.

  • Situasi Pertama

Harga naik 8%. Tetapi hanya sedikit pelabur yang membeli.

  • Situasi Kedua

Harga naik 8%. Pada masa yang sama, jumlah dagangan meningkat dua atau tiga kali ganda daripada kebiasaan.

Situasi kedua biasanya lebih diyakini kerana menunjukkan ramai pelabur bersetuju dengan kenaikan tersebut. Oleh itu, pelabur teknikal sentiasa melihat harga bersama volum.

Langkah 5: Gunakan Moving Average

Moving Average (MA) ialah indikator yang membantu mengenal pasti arah aliran harga dengan lebih jelas.

Antara yang paling popular ialah:

  • MA20
  • MA50
  • MA100
  • MA200

Jika harga berada di atas MA50 dan MA200, kebanyakan pelabur menganggap saham tersebut masih berada dalam trend menaik.

Sebaliknya, jika harga berada di bawah kedua-dua garisan tersebut, trend masih dianggap lemah. Moving Average juga sering bertindak sebagai kawasan sokongan atau rintangan dinamik.

Langkah 6: Cari Corak Carta

Pergerakan harga sering membentuk corak tertentu. Antara corak yang biasa digunakan ialah:

Double Bottom

Menunjukkan kemungkinan harga akan berubah daripada downtrend kepada uptrend.

Double Top

Memberi isyarat bahawa momentum kenaikan semakin lemah.

Cup and Handle

Corak yang sering dikaitkan dengan potensi sambungan trend menaik.

Ascending Triangle

Menunjukkan tekanan belian semakin kuat dan berpotensi menghasilkan penembusan harga.

Walaupun corak-corak ini sering digunakan oleh pelabur teknikal, ia bukan jaminan bahawa harga akan bergerak seperti yang dijangkakan. Sebaliknya, ia hanya meningkatkan kebarangkalian sesuatu senario berlaku.

Langkah 7: Tunggu Pengesahan Sebelum Membeli

Kesilapan paling biasa dilakukan oleh pelabur baru ialah membeli terlalu awal. Mereka melihat harga sudah jatuh banyak lalu menganggap ia pasti akan naik semula. Hakikatnya, harga boleh terus jatuh.

Pelabur yang lebih berdisiplin akan menunggu pengesahan seperti:

  • harga berjaya melepasi resistance,
  • volum dagangan meningkat,
  • terbentuk higher high dan higher low,
  • atau muncul corak pembalikan yang jelas.

Pendekatan ini membantu mengurangkan risiko membeli saham yang masih belum menunjukkan tanda pemulihan.

Jangan Lupakan Pengurusan Risiko

Walaupun analisis teknikal membantu mencari peluang, tiada kaedah yang mempunyai kadar ketepatan 100%. Oleh itu, setiap pelabur perlu mempunyai pelan pengurusan risiko.

Antaranya:

  • Menetapkan paras cut loss sebelum membeli.
  • Menentukan sasaran keuntungan.
  • Tidak mempertaruhkan keseluruhan modal pada satu saham.
  • Mengawal emosi apabila pasaran bergerak bertentangan dengan jangkaan.

Ramai pelabur gagal bukan kerana tidak tahu membaca carta, tetapi kerana gagal mengawal risiko.

Fundamental dan Teknikal: Mana Satu Lebih Penting?

Persoalan ini sering ditanya oleh pelabur baru. Hakikatnya, kedua-duanya saling melengkapi. Analisis fundamental membantu pelabur menjawab soalan:

“Saham syarikat mana yang berkualiti untuk dimiliki?”

Manakala analisis teknikal membantu menjawab:

“Bilakah masa yang lebih sesuai untuk membeli atau menjual saham tersebut?”

Sebab itu ramai pelabur berpengalaman menggunakan kedua-dua pendekatan serentak. Mereka memilih syarikat yang mempunyai asas perniagaan kukuh melalui analisis fundamental, kemudian menggunakan carta harga untuk menentukan titik kemasukan dan keluar yang lebih baik

Kesimpulan

Membaca carta bukan sekadar melihat sama ada harga saham sedang naik atau turun. Ia adalah proses memahami bagaimana pasaran bertindak balas terhadap permintaan, penawaran dan psikologi pelabur.

Dengan mengenal pasti trend, memahami support dan resistance, memerhati volum dagangan serta menunggu isyarat yang lebih meyakinkan, pelabur dapat membuat keputusan yang lebih sistematik dan mengurangkan risiko membeli pada waktu yang tidak sesuai.

Walau bagaimanapun, analisis teknikal bukanlah alat untuk meramal masa depan dengan tepat. Sebaliknya, ia membantu meningkatkan kebarangkalian membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan data yang tersedia.

Dalam dunia pelaburan, kejayaan bukan datang daripada meneka setiap pergerakan harga, tetapi daripada memiliki proses yang konsisten, disiplin yang tinggi dan kesabaran untuk menunggu peluang yang benar-benar berkualiti.