
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengumumkan pemilihan enam peserta untuk kohort sulung Sandbox Pengawalseliaan (Regulatory Sandbox).
Sandbox Pengawalseliaan, yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak Fintech SCxSC tahun lepas untuk memupuk inovasi pasaran modal, membolehkan syarikat menguji produk dan perkhidmatan baharu dan inovatif yang menyumbang kepada kerancakan dan keterangkuman pasaran modal.
Sebagai salah satu kit alatan inovasi SC, sandbox ini membolehkan SC bekerjasama rapat dengan industri, menggunakan ujian sebenar untuk meningkatkan dasar dan rangka kerja kawal selia serta pembangunan pasaran.
Permohonan, yang dibuka dari 15 April hingga 31 Mei 2025, mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai peserta pasaran.
Berikutan proses penilaian berperingkat, SC telah memilih enam peserta berikut merentasi tiga tema teras:
- Memudahkan pelaburan hartanah alternatif: Wahed X Sdn Bhd (Wahed) dan Urban NX Sdn Bhd (Urby)
- Memupuk kerancakan pasaran melalui pasaran sekunder: Kapital DX Sdn Bhd (KLDX) dan Pitch Platforms Sdn Bhd (PSTX 2.0)
- Memacu inovasi dalam pembiayaan alternatif: Virtual Economy Technology Sdn Bhd (V Systems) dan PeerHive (M) Sdn Bhd (PeerHive)
Kohort sulung ini akan mempelopori kemajuan merentasi bidang utama. Selain itu, beberapa peserta juga memanfaatkan analitik data lanjutan dan blok rantai untuk meningkatkan usaha wajar dan memperkenalkan model operasi baharu.
Peserta yang berjaya akan diberikan tempoh ujian selama kira -kira 12 bulan untuk menggunakan dan menilai penyelesaian yang dicadangkan mengikut parameter dan keperluan ujian yang ditetapkan. Pengujian akan bermula dalam dua kumpulan, di mana peserta bermula berdasarkan ketersediaan mereka – sama ada pada Januari 2026 atau Julai 2026.
Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata sandbox ini berfungsi sebagai landasan inovasi bertanggungjawab, membolehkan penyelesaian yang memberikan nilai kepada pasaran modal.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan persekitaran di mana inovasi boleh berkembang maju tanpa menjejaskan perlindungan pelabur. Dengan menggalakkan pengujian dalam rangka kerja terkawal, SC berhasrat untuk memupuk idea-idea yang berpandangan jauh yang boleh mengukuhkan kecekapan pasaran,” katanya.
Selain sandbox pengawalseliaan, syarikat-syarikat dengan model perniagaan inovatif digalakkan untuk berhubung dengan SC melalui Alliance of FinTech Community (aFINity), dengan mengemukakan pelan perniagaan atau cadangan mereka melalui [email protected].
Untuk maklumat lanjut tentang sandbox pengawalseliaan, rujuk di sini.











