Bursa Malaysia Mengambil Masuk Broker Asing Nomura Securities Untuk Menawarkan Perkhidmatan Brokeran Saham Islam

Kuala Lumpur, Malaysia, 20 November 2025 – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) telah mengambil masuk Nomura Securities Malaysia Sdn Bhd (“Nomura Securities”) ke dalam Bursa Malaysia-i, selaras dengan usaha Bursa untuk meningkatkan akses pasaran bagi pelaburan patuh Syariah.

Ini menandakan kemasukan broker asing kedua ke platform pelaburan patuh Syariah hujung-ke-hujung tersebut, sekali gus membuka ruang penyertaan pasaran daripada kumpulan pelabur yang lebih luas di Malaysia dan antarabangsa.

Dato’ Fad’l Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, berkata:
“Penambahan perkhidmatan brokeran saham Islam oleh Nomura Securities mencerminkan minat dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap tawaran pasaran modal Islam Malaysia. Dengan penyertaan ini, kami memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan patuh Syariah.”

“Lebih 80% sekuriti tersenarai di Bursa kami adalah patuh Syariah, mewakili 66% daripada jumlah modal pasaran Bursa Malaysia bernilai RM2 trilion. Pasaran kami berada pada kedudukan strategik untuk memenuhi permintaan meningkat pelabur domestik dan antarabangsa yang mencari peluang pelaburan patuh Syariah,” tambah beliau.

Kelvin Ho, Ketua Nomura bagi Asia Tenggara, berkata:
“Malaysia ialah pasaran penting bagi Nomura. Kami telah menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan ekuiti untuk ASEAN dan menganjurkan persidangan ASEAN kami di Kuala Lumpur setiap tahun. Kami teruja dengan peluang di Malaysia, dan perkhidmatan brokeran saham Islam adalah kesinambungan semula jadi kepada tawaran kami untuk para pelanggan di sini.”

Brokeran saham Islam membolehkan pelabur berdagang sekuriti patuh Syariah di Bursa Malaysia-i melalui Islamic window khusus atau broker Islam penuh, memastikan pemisahan jelas antara transaksi Islam dan konvensional merentasi aktiviti dagangan serta pasca-dagangan.

Bilangan Organisasi Penyertaan (PO) Bursa Malaysia yang menawarkan perkhidmatan brokeran saham Islam terus meningkat dari tahun ke tahun. Dengan penyertaan Nomura Securities, rangkaian Bursa Malaysia-i kini terdiri daripada 20 PO Islam.

Senarai PO Islam adalah seperti berikut:

  1. Affin Hwang Investment Bank Berhad
  2. AmInvestment Bank Berhad
  3. BIMB Securities Sdn Bhd (full-fledged)
  4. CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd
  5. CIMB Securities Sdn Bhd
  6. Hong Leong Investment Bank Berhad
  7. Inter-Pacific Securities Sdn Bhd
  8. Kenanga Investment Bank Berhad
  9. Malacca Securities Sdn Bhd
  10. Maybank Investment Bank Berhad
  11. MIDF Amanah Investment Bank Berhad
  12. M&A Securities Sdn Bhd
  13. NewParadigm Securities Sdn Bhd
  14. Nomura Securities Malaysia Sdn Bhd
  15. Phillip Capital Sdn Bhd
  16. Public Investment Bank Berhad
  17. RHB Investment Bank Berhad
  18. TA Securities Holdings Berhad
  19. UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd
  20. UBS Securities Malaysia Sdn Bhd

Pelabur yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Bursa Malaysia-i boleh melayari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/islamic_market/bursa_malaysia_i/overview
atau menghubungi [email protected]

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.