Apa Sebenarnya Kelebihan Mengambil Takaful?

Kami bukanlah ejen takaful. Artikel ini juga bukanlah ditaja oleh mana-mana syarikat pengendali takaful. Penulis sendiri ada beberapa polisi dari beberapa syarikat takaful.

Ramai yang masih lagi berkira-kira sama ada mahu mengambil takaful ataupun tidak. Tahukah anda bahawa takaful mempunyai banyak kelebihan. Banyak juga manfaat yang anda akan peroleh jika mengambil takaful.

Berikut adalah 4 kelebihan yang anda akan dapat sekiranya mengambil takaful.

1. Patuh Syariah

Jika hendak dibandingkan antara takaful dan juga insurans konvensional, sudah pasti takaful adalah patuh syariah. Tanpa unsur gharar, judi dan riba. Oleh itu, takaful dapat memberi jaminan perlindungan kewangan kepada pemiliknya mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Sudah pasti anda mahu melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk anda. Sia-sia sahaja melakukan sesuatu yang tidak diredhai Allah.

Secara ringkasnya, dalam sistem takaful, skim perlindungan yang disediakan adalah berbentuk perlindungan bersama di kalangan pencarum.

2. Mendapat Manfaat Daripada Hasil Caruman

Keluarga pencarum takaful tidak perlu khuatir tentang takaful pencarum itu jika pencarum tersebut meninggal dunia. Hal ini kerana, waris atau keluarga pencarum akan mendapat manfaat dari hasil caruman yang dibayar oleh pencarum.

Apabila skim perlindungan takaful itu sudah matang, maka pihak keluarga akan mendapat semua ansuran caruman takaful yang dibayar oleh pencarum sebelum pencarum meninggal dunia. Apabila si mati mempunyai hutang, ahli keluarga juga dapat menyelesaikan hutang itu dengan membayar menggunakan wang takaful yang diterima.

Perlu diingat apabila seseorang itu meninggal dunia, semua hutang si mati perlulah diselesaikan kerana roh orang yang berhutang akan tergantung antara langit dan bumi. Jadi, dengan adanya takaful ini, kuranglah sedikit beban pihak keluarga hendak menyelesaikan hutang si mati itu.

3. Penaja Pendidikan Anak-Anak

Siapa sahaja yang tidak mahu melihat anak anak melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Sudah pasti anda mahukan anak anda mendapat pendidikan yang tinggi.

Namun, adakah wang simpanan anda mencukupi untuk menampung pendidikan anak-anak yang masih kecil lagi?

Sering kali kita dengar para pelajar terpaksa menanggung hutang di usia yang muda kerana tidak cukup wang untuk menampung kos pembelajaran. Dengan adanya takaful, anda tidak perlu risau lagi kerana takaful membolehkan anda menyimpan secara tetap dan berdisiplin untuk dana pendidikan anak anda disamping memberikan perlindungan kepada anak-anak.

4. Bayaran Caruman Secara Berkala

Dalam takaful keluarga, bayaran yang dikenakan adalah bayaran caruman secara berkala. Pemilik takaful diberi pilihan sama ada mahu membayar secara bulanan, suku tahunan, setengah tahunan atau tahunan dengan kadar minimum yang telah ditetapkan oleh pengendali takaful.

Kalau untuk hobi boleh pula kita habis duit beratus setiap bulan. Untuk melindungi keluarga, mestilah juga boleh kan?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa Ejen Insurans & Takaful Banyak Sangat ‘Award’?

Pernah tak anda tengah sedap melayan TikTok atau Instagram Reels, tiba-tiba lalu video rakan anda yang bergelar ejen insurans atau takaful? Video bukan biasa-biasa ya. Siap ada suntingan transisi slow-motion, berjalan penuh gaya atas permaidani merah pakai tuxedo atau gaun labuh, pegang trofi berkilat sebesar lengan dan diiringi muzik latar belakang jenis yang menaikkan bulu roma.

Bagi orang luar, situasi ini kadangkala menimbulkan persoalan: “Eh, bulan lepas rasa dah menang award, bulan ni ada award lagi? Bukan ke syarikat atau agensi mereka sendiri yang buat anugerah tu?”

Jangan salah faham. Di sebalik budaya yang nampak seperti “puji diri sendiri” atau acah-acah selebriti ini, sebenarnya ada strategi psikologi perniagaan yang sangat mendalam. Jom kita bedah kenapa industri ini dipenuhi dengan anugerah yang luar biasa.

1. Produk ‘Ghaib’ yang Sukar Dijual

Tidak seperti ejen hartanah yang menjual rumah, atau peniaga gajet yang menjual barang yang boleh disentuh, penasihat kewangan dalam industri insurans dan takaful berdepan dengan cabaran yang jauh lebih getir. Mereka sebenarnya sedang menjual satu produk yang bersifat intangible iaitu janji, ketenangan minda (peace of mind) dan perlindungan risiko masa hadapan.

  • Manusia secara psikologinya berat membelanjakan wang untuk sesuatu yang mereka harap tidak akan guna (seperti musibah atau kematian).
  • Disebabkan cabaran jualan (rejection rate) yang sangat tinggi, tahap tekanan dalam industri ini amat luar biasa. Anugerah yang kerap inilah yang menjadi ‘talian hayat’ untuk mengekalkan momentum dan membakar semangat mereka.

2. Budaya ‘Self-Reward’ untuk Menggantikan Gaji Tetap

Berbeza dengan pekerja makan gaji di sektor korporat biasa, majoriti ejen insurans dan takaful beroperasi atas dasar komisen penuh. Di sebalik gaya hidup mewah yang sering ditonjolkan, realitinya mereka tidak mempunyai jaringan keselamatan (safety net) seperti pekerja biasa:

Tiada Slip Gaji Tetap: Pendapatan mereka pada bulan itu adalah cerminan terus kepada usaha dan jualan mereka pada bulan tersebut. Jika tiada jualan, maka tiada lah pendapatan.

Tiada Bonus Tahunan Automatik: Pekerja makan gaji biasanya menanti bonus hujung tahun berdasarkan prestasi syarikat. Bagi ejen, ‘bonus’ mereka perlulah diusahakan sendiri melalui pencapaian KPI jualan tertentu yang telah ditetapkan.

Tiada Kenaikan Pangkat Tradisional: Dalam struktur pejabat biasa, anda bekerja keras untuk naik pangkat daripada Eksekutif ke Pengurus berdasarkan kekosongan jawatan. Dalam industri ini, kenaikan pangkat (contohnya menjadi Group Agency Manager) ditentukan sepenuhnya oleh berapa ramai ejen baru yang mereka bawa masuk dan berapa besar jumlah jualan kumpulan.

Memandangkan agensi mereka beroperasi seperti sebuah perniagaan sendiri, mereka mencipta sistem ganjaran dalaman untuk menghargai usaha setiap ejen, dari sekecil-kecil pencapaian bulanan sehinggalah anugerah global seperti MDRT (Million Dollar Round Table).

3. Pemasaran Media Sosial (Personal Branding)

Mungkin ada yang memandang sinis apabila melihat ejen memuat naik video berjalan di permaidani merah dengan suntingan video video ala selebriti, diiringi muzik latar yang penuh dramatik, serta berkongsi ucapan motivasi yang panjang lebar. Namun, dalam dunia perniagaan moden, ini bukan sekadar suka-suka tetapi adalah strategi penjenamaan diri (personal branding).

Dalam industri kewangan, prinsip asasnya mudah: “Orang tidak membeli produk, orang membeli siapa penjualnya.” Di sinilah mengapa elemen video gempak dan ucapan motivasi itu mainkan peranan besar.

Apabila seorang ejen menonjolkan diri mereka menerima anugerah, secara tidak langsung ia memberi isyarat kepada bakal pelanggan bahawa: “Aku ejen yang aktif, berprestasi tinggi, dan tak akan ‘hilang’ bila korang nak buat tuntutan (claim) nanti.” Video gempak itu adalah marketing tool untuk menarik pelanggan dan juga rekrut baru.


Budaya bersorak, memberi ucapan motivasi dan meraikan satu sama lain mungkin kelihatan agak ‘over-the-top’ bagi orang luar. Namun bagi warga industri kewangan, itulah bahan api yang memastikan mereka kekal bertahan dalam industri yang penuh dengan penolakan demi mencari rezeki.

Sama ada kita suka atau tidak dengan pendekatan pemasaran mereka, satu perkara yang pasti: strategi psikologi ini terbukti berkesan memacu industri ini untuk terus berkembang saban tahun.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anugerah seseorang ejen itu penting bagi anda sebelum mengambil polisi takaful?