6 Perkara Penting Sebelum Nak Batalkan Polisi Takaful

Walaupun pelan takaful amat penting untuk menjamin kestabilan kewangan anda sekiranya sesuatu berlaku, ada ketikanya seseorang itu terpaksa membatalkan polisi takaful yang dimilikinya.

Pelbagai sebab membuatkan seseorang itu terpaksa membatalkan polisi takaful seperti faktor kewangan ataupun polisi yang sudah tidak sesuai.

Sebelum mengambil keputusan untuk membatalkan polisi takaful, anda perlu memberi perhatian kepada perkara di bawah.

1. Cara Membuat Pembatalan

Terdapat dua cara untuk membatalkan pelan takaful anda. Pertama, beritahu sahaja syarikat takaful kemudian isi borang yang disediakan mereka sekiranya perlu.

Cara kedua pula ialah anda cuma perlu biarkan sahaja premium takaful anda itu luput dengan cara tidak membayar premium takaful tersebut.

Tetapi cara ini agak berisiko kerana ia akan menjejaskan rekod sekaligus menyukarkan anda jika ingin memohon polisi lain di masa hadapan.

2. Jangan Wujudkan Jurang

Maksudnya jangan biarkan anda bebas daripada sebarang polisi takaful setelah pelan takaful yang lama dibatalkan. Jangan ambil risiko kerana kita tidak tahu bila kita akan ditimpa musibah.

Mungkin hari ini anda batalkan pelan takaful kemudian minggu hadapan anda kemalangan, bagaimana?

Jadi seeloknya pastikan anda telah mempunyai polisi takaful baru sebelum membatalkan polisi takaful yang lama.

3. Penalti

Sebelum membatalkan polisi takaful, jangan lupa untuk bertanyakan kepada ejen sama ada anda akan dikenakan penalti sekiranya anda membatalkan polisi sebelum tamat tempoh.

Jika ada, minta ejen anda untuk menjelaskan jika ada cara untuk menamatkan polisi tersebut tanpa dikenakan penalti.

Anda juga boleh tanyakan kepada ejen anda itu sama ada premium yang tidak digunakan dapat dipulangkan kepada anda atau tidak.

4. Pastikan Ianya Telah Dibatalkan

Jangan lupa untuk melakukan follow-up. Pastikan polisi takaful tersebut benar-benar telah dibatalkan. Manalah tahu sekiranya terdapat masalah teknikal di antara ejen dan juga syarikat takaful.

Jika anda melakukan pembayaran secara auto debit, jangan lupa untuk membatalkan arahan auto debit tersebut.

5. Berbaloi?

Bagi anda yang ingin membatalkan takaful perubatan dan takaful keluarga, pelbagai perkara perlu diambil kira.

Ini kerana jika anda membatalkan polisi takaful  ini, anda mungkin akan dikenakan cas yang lebih mahal sekiranya anda ingin membeli polisi takaful yang sama daripada syarikat takaful yang lain.

Ini kerana harga premium bagi kedua-dua jenis takaful ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, di antaranya adalah faktor umur dan tahap kesihatan.

6. Pilihan Yang Lebih Baik

Jika anda ingin membatalkan polisi sedia ada untuk mencuba pelan takaful yang baru, lebih baik anda mengkaji terlebih dahulu pro dan kontra sebelum membuat sebarang keputusan.

Ini bagi mengelakkan anda menyesal jika pelan takaful yang baru itu lebih banyak kekurangan berbanding kebaikan.

Jadi anda perlu meneliti setiap aspek sebelum bertindak membatalkan premium takaful anda. Ini bagi mengelakkan anda mengalami kerugian di kemudian hari.

Sekiranya anda mempunyai sebarang masalah, rujuk kepada ejen takaful untuk membantu anda.

Sumber Rujukan: iBanding

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Takaful vs Insurans Kereta: Adakah Duit Kita ‘Hangus’ Kalau Tak Pernah Kemalangan?

Setiap tahun, pemilik kenderaan di Malaysia wajib memperbaharui cukai jalan dan perlindungan kenderaan. Namun, masih ramai yang keliru atau sekadar “ikut kawan” tanpa memahami perbezaan antara Takaful dan Insurans Konvensional.

Ramai pemilik kereta sebut “Nak renew insurans kereta lah,” tapi sebenarnya mereka nak renew Takaful. Sebaliknya, ada juga yang ingat semua perlindungan kereta di Malaysia ini automatik patuh syariah atau berkonsepkan Takaful.

Realitinya tidak. Ini cara mudah untuk anda bezakan:

Lihat nama produk: Jika namanya ada perkataan “Takaful” (contoh: Takaful Ikhlas, Syarikat Takaful Malaysia, Etiqa Takaful), maka ia adalah produk patuh syariah. Jika namanya hanya “Insurance” atau “Insurans” (contoh: Allianz Insurance, MSIG Insurance, Lonpac Insurance), itu adalah produk konvensional.

Ini kerisauan paling popular yang bermain di minda pemilik kereta. Ramai yang bertanya:

“Kalau aku bayar Takaful tapi tak pernah kemalangan, bukan ke duit tu hangus macam tu saja? Apa faedah yang aku dapat?”

Jom kita bedah perbezaan ini supaya anda tidak lagi rasa rugi.

1. Niat & Akad: Jual Beli vs Tolong-Menolong

Perbezaan paling besar bukan pada harganya, tetapi pada kontrak (akad) di belakang tabir.

  • Insurans Konvensional: Menggunakan akad Mu’awadah (pertukaran komersial). Anda bayar premium kepada syarikat untuk “membeli” pampasan. Isunya, ia mengandungi unsur Gharar (ketidaktentuan) dan Maysir (seperti perjudian) kerana jika tiada kemalangan, syarikat ambil semua duit anda sebagai untung.
  • Takaful: Menggunakan akad Tabarru’ (derma). Sebahagian wang sumbangan anda dimasukkan ke dalam “Dana Risiko Peserta”. Niat anda adalah untuk menghibahkan (mendermakan) wang tersebut bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.

2. Dilema “Duit Hangus”: Benarkah Tiada Langsung Faedahnya?

Jika sepanjang tahun kereta anda selamat dan tiada tuntutan (claim) dibuat, adakah anda rugi? Dari sudut Takaful, jawapannya adalah TIDAK.

Manfaat dari Sudut Rohani (Pahala)

Oleh kerana akadnya adalah derma untuk menolong orang lain (konsep Ta’awun), setiap sen yang anda bayar dikira sebagai amal jariah. Anda mendapat “manfaat ukhrawi” kerana membantu membiayai kos pembaikan kereta orang lain yang ditimpa malang.

Manfaat Perlindungan (Peace of Mind)

Anggaplah Takaful seperti mengupah pengawal keselamatan. Jika rumah anda tidak dirompak sepanjang tahun, adakah gaji pengawal itu dianggap hangus? Tidak, kerana anda telah mendapat manfaat perlindungan dan ketenangan jiwa sepanjang tempoh tersebut.

3. Kelebihan Yang Tiada Pada Insurans

Ini adalah bonus yang ramai orang terlepas pandang. Dalam insurans konvensional, lebihan wang (setelah tolak kos tuntutan) akan menjadi milik pemegang saham syarikat sepenuhnya.

Namun dalam Takaful:

  1. Jika dana risiko mempunyai lebihan (surplus) di akhir tahun, ia adalah milik kolektif peserta.
  2. Bergantung kepada polisi syarikat, lebihan ini boleh diagihkan semula kepada peserta yang tidak membuat tuntutan.
  3. Walaupun jumlahnya tidak menentu, ia merupakan satu pulangan tunai (cashback) yang adil berbanding insurans biasa.

Kesimpulan

Jangan lihat sumbangan Takaful sebagai satu perbelanjaan yang lebur begitu sahaja. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai simpanan amal yang memberi anda ketenangan fikiran (peace of mind). Dalam Takaful, kalau tak kena musibah, kita dapat pahala menolong orang; kalau kena musibah, orang lain pula bantu kita. Adil dan berkat, bukan?

Memilih Takaful adalah satu langkah pengurusan risiko yang lebih efisien. Selain daripada perlindungan kenderaan yang komprehensif, anda juga berpeluang menikmati agihan lebihan (surplus) jika dana mencukupi. Ia adalah situasi win-win di mana risiko dikongsi bersama dan keuntungan bukan lagi milik mutlak syarikat semata-mata.