BNM Pelawa Permohonan Lesen Penanggung Insurans, Pengendali Takaful Digital

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mempelawa permohonan bagi lesen penanggung insurans dan pengendali takaful digital (DITO) yang boleh dikemukakan dalam tempoh 2 Jan, 2025 hingga 31 Dis, 2026.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata lesen berkenaan dikeluarkan kepada pemohon yang terbukti dapat memaparkan kapasiti dan keupayaan mencapai matlamat dasar yang disasarkan dan pada masa yang sama mengekalkan tumpuan teguh terhadap aspek pengurusan risiko dan perlindungan pengguna.

Sehubungan itu, semua pemohon perlu berbincang dengan BNM sebelum mengemukakan permohonan dan boleh berbuat demikian mulai 1 Okt, 2024 menerusi [email protected].

Ini sejajar dengan langkah BNM mengeluarkan Dokumen Dasar Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan DITO hari ini yang menggariskan keperluan memudahkan penyertaan mereka yang dapat memberi tawaran nilai kukuh serta bermakna dari segi rangkuman, persaingan dan kecekapan serta selaras dengan teras strategik Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 untuk memajukan pendigitalan dalam sektor kewangan.

“Pemohon yang berminat dikehendaki memenuhi kriteria penilaian dalam beberapa aspek seperti kehematan termasuk ciri-ciri dan integriti pemohon, sifat dan kecukupan sumber kewangan serta kekukuhan dan kebolehlaksanaan rancangan perniagaan dan teknologi,” katanya.

Aspek lain seperti amalan pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna, Syariah (jika berkaitan), lngkah-langkah pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta keupayaan mencapai tawaran nilai yang bermakna demi kepentingan Malaysia.

BNM berkata semua pemohon berminat juga perlu memastikan bahawa prosedur permohonan digariskan dalam dokumen dasar ini dipatuhi sepenuhnya.

“Ini berserta pematuhan terhadap dokumen dasar lain yang berkaitan seperti Prosedur Permohonan untuk Lesen Baharu di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 selain Prosedur Permohonan Perolehan Kepentingan dalam bentuk Saham dan menjadi Syarikat Induk Kewangan,” katanya.

Menurut bank pusat itu, DITO terbabit akan turut melalui fasa asas bagi tempoh tiga hingga tujuh tahun untuk membuktikan daya maju perniagaan dan kekukuhan operasi mereka.

Sepanjang tempoh fasa asas itu juga, kata BNM, DITO perlu mengekalkan dana modal minimum yang lebih rendah dan setara dengan operasi perniagaan DITO pada peringkat awal. 

“Kalangan DITO ini dicirikan oleh operasi digital mereka dengan model perniagaan dan produk yang inovatif untuk memenuhi keperluan pengguna secara lebih baik.

“Apabila mula beroperasi, DITO dijangka merapatkan jurang perlindungan penting dalam segmen yang berfokuskan digital serta saling melengkapi penanggung insurans, pengendali takaful berlesen sedia ada dan peserta lain dalam rantaian nilai insurans dan takaful,” kata BNM.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ShopeePay Memperluas Akses Perlindungan Penipuan Kewangan Dalam Talian Bersama Zurich

ShopeePay hari ini mengumumkan bahawa ia akan menawarkan ‘Zurich Wallet Protection’ oleh Zurich General Insurance Malaysia Berhad (Zurich) di aplikasi ShopeePay dan Shopee, yang kini boleh diakses jutaan pengguna di seluruh negara. Bermula dari serendah RM1.40 sebulan, pengguna dilindungi bukan sahaja untuk transaksi melalui ShopeePay, malah merangkumi semua akaun bank, e-dompet dan pembayaran kad lain, termasuk risiko dalam talian seperti pemindahan wang tidak sah, transaksi tanpa kebenaran, kerugian akibat phishing, penyamaran, penyalahgunaan kad, dan penipuan beli-belah dalam talian.

Selaras dengan misi ShopeePay, ‘Kewangan Mudah, Khas Untuk Anda’, pelancaran Zurich Wallet Protection di platform ini menunjukkan komitmen ShopeePay untuk menyediakan perlindungan asas yang mampu milik dan mudah diakses oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pelancaran ini berlaku pada waktu yang kritikal, memandangkan kes jenayah penipuan terus meningkat. Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 47,854 kes penipuan telah direkodkan sehingga September 2025, dengan jumlah kerugian mencecah RM1.92 bilion. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12,486 kes berbanding 2024.

Zurich Wallet Protection ditawarkan dalam dua pelan: Pelan Asas dan Pelan VIP.

 Pelan AsasPelan VIP
Premium (termasuk SST 8%)RM1.40 sebulan (Percuma untuk bulan pertama)RM4.90 sebulan
KelayakanWarganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atasWarganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas
FaedahHad Tuntutan Bulanan (RM)
Pemindahan Wang Tanpa Kebenaran3,000 (6,000 setahun)10,000 (20,000 setahun)
Transaksi Tanpa Kebenaran (Kad Dicuri)2001,000
Penipuan Beli-Belah Dalam Talian2001,000

Alain Yee, Ketua Pegawai Eksekutif ShopeePay Malaysia berkata, “Kes penipuan dalam talian kini semakin canggih, selari dengan taktik penipu yang sentiasa berubah untuk memperdaya orang ramai. Walaupun kami giat mendidik pengguna dan masyarakat umum mengenai keselamatan dalam talian, kami percaya penyediaan lapisan perlindungan tambahan yang mampu milik dan mudah diakses juga amat penting. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa penipuan, dan kebiasaannya ia hanya disedari apabila sudah terlambat.”

Beliau menambah, “Kami percaya bahawa penawaran Zurich Wallet Protection di aplikasi ShopeePay dan Shopee adalah satu langkah penting ke arah memperkukuh keselamatan digital, khususnya bagi rakyat Malaysia yang lebih terdedah kepada risiko” Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mencuba perlindungan dalam talian, Pelan Asas ditawarkan dengan bulan pertama percuma, membolehkan pengguna menikmati Zurich Wallet Protection tanpa sebarang kos.

Seiring dengan kenyataan Alain, Junior Cho, Ketua Pegawai Eksekutif Negara Zurich Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance Malaysia Berhad, berkata, “Kami berbangga bekerjasama dengan ShopeePay bagi melancarkan Zurich Wallet Protection, menyediakan perlindungan digital yang mampu milik dan mudah diakses untuk rakyat Malaysia. Dipandu oleh janji kami, ‘Lindungi Segala Yang Bermakna’, dan diperkuatkan dengan keupayaan Zurich Edge, pelanggan kini boleh mendapatkan dan mengurus perlindungan ini terus melalui aplikasi ShopeePay dan Shopee, memberi mereka keyakinan lebih tinggi semasa bertransaksi dalam talian serta melindungi semua saluran kewangan mereka daripada penipuan.”

Berikut adalah kategori perlindungan beserta contoh untuk membantu pengguna memahami apa yang dilindungi oleh Zurich Wallet Protection:

Jenis PerlindunganContoh Situasi
Pemindahan Wang Tidak Sah (Unauthorised Transfer)Pemegang kad kredit menyedari terdapat transaksi tidak sah walaupun kad mereka tidak pernah dikongsi atau hilang.
Penipuan Pancingan Data (Phishing Scam)Anda menerima e-mel palsu yang kelihatan sama seperti komunikasi rasmi bank, yang mengarahkan anda klik pautan dan memasukkan OTP, mengakibatkan kerugian RM2,000.
Penyalahgunaan Kad Dicuri (Stolen Card Misuse)Selepas dompet dicuri, anda mendapati kad anda telah digunakan untuk pembelian dalam talian tanpa kebenaran.
Penipuan Beli-Belah Dalam Talian (Online Shopping Fraud)Anda membeli sebuah gajet dalam talian, tetapi barangan tidak dihantar dan penjual tidak memberi respons. Perlindungan ini merangkumi pembelian dalam talian di semua platform*, bukan hanya Shopee.
Penipuan Penyamaran (Impersonation Scam)Seorang penipu menyamar sebagai pegawai bank dan menghubungi anda untuk mendapatkan OTP, mengakibatkan pemindahan wang tanpa kebenaran daripada e-dompet anda.

*Tertakluk kepada Terma & Syarat. Tidak termasuk kejadian berkaitan media sosial. Tanggungjawab wajar mesti diamalkan.

Pelan ini ditanggung oleh Zurich, dan boleh diakses dengan mudah melalui platform ShopeePay.

Anda boleh mengakses ‘Zurich Wallet Protection’ di halaman utama aplikasi ShopeePay, atau melalui aplikasi Shopee di ‘Saya’ > ‘Insurans’. Untuk maklumat lanjut, sila klik sini.