MOF, KKM Tubuh Jawatankuasa Bersama Tangani Kos Kenaikan Penjagaan Kesihatan Swasta


PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) — Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menubuhkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) dalam usaha meneruskan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan.

Jawatankuasa yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini, akan menyelaras pendekatan menyeluruh untuk merangka dan melaksanakan langkah-langkah secara kolaboratif yang sejajar dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, JBMKKS mempunyai keanggotaan terdiri daripada wakil MOF, KKM, dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Jawatankuasa ini akan disokong oleh Majlis Perundingan bagi memberikan input dan nasihat teknikal, yang dianggotai oleh wakil-wakil utama dalam ekosistem penjagaan kesihatan swasta, termasuk hospital swasta, penyedia insurans dan pengendali Takaful.

“Peningkatan kos penjagaan kesihatan merupakan kebimbangan utama rakyat Malaysia dan Kerajaan MADANI mengambil langkah proaktif untuk menanganinya.

“Jawatankuasa bersama ini mencerminkan komitmen kita untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam membentuk sistem penjagaan kesihatan swasta yang mampan, telus dan benar-benar memberi nilai. Pada asasnya, ini adalah tentang melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia dan mengukuhkan daya tahan negara kita,” kata Amir Hamzah dalam satu kenyataan bersama oleh kedua-dua kementerian hari ini.

Beliau berkata JBMKKS dibina atas usaha yang telah dijalankan sebelum ini, termasuk pelaksanaan keperluan pembayaran bersama oleh BNM, langkah interim bagi mengurangkan impak pelarasan premium perubatan kepada pemegang polisi yang terkesan pada 2024 hingga 2026, serta kerangka RESET.

Kerangka itu merangkumi lima teras strategik untuk menangani inflasi perubatan, iaitu menyusun semula Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh ekosistem Kesihatan Digital, mengembangkan pilihan penjagaan kos efektif, dan menyusun semula pembayaran penyedia perkhidmatan kesihatan.

RESET mendapat sokongan yang meluas daripada MOF, KKM, BNM dan pihak industri yang utama sebagai kerangka strategik untuk menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan insurans swasta.

Melangkah ke hadapan, jawatankuasa ini akan menjadi platform utama untuk membimbing dan memantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah RESET.

Kerja-kerja ke atas inisiatif penting ini telah bermula, khususnya dalam pembangunan produk asas MHIT yang mengimbangi kemampuan dan kemampanan, pembangunan sistem pembayaran berdasarkan Kumpulan Berkaitan Diagnostik (DRG) untuk pelaksanaan secara berfasa, serta peningkatan ketelusan maklumat harga.

Bagi pemegang polisi insurans perubatan sedia ada, langkah-langkah ini bertujuan untuk memastikan ketelusan harga yang lebih baik dan pada masa yang sama, menawarkan pilihan yang lebih mampu milik.

Sepanjang tempoh jawatankuasa ini berkuat kuasa, langkah-langkah untuk memperluas akses kepada penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik akan diteruskan, termasuk dengan memperkukuh peranan penjagaan kesihatan primer dan kesinambungan penyedia penjagaan kesihatan, berasaskan langkah-langkah yang telah diumumkan sebelum ini seperti inisiatif Rakan KKM.

Dzulkefly berkata kerangka RESET yang dibangunkan secara bersama ini turut merangkumi usaha KKM yang sedang dan akan dilaksanakan untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia untuk semua.

“Kerangka ini turut mencerminkan komitmen secara menyeluruh untuk melaksanakan penyelesaian seperti penjagaan berasaskan nilai, yang mengutamakan hasil kesihatan melalui pelaksanaan berfasa DRG serta peluasan pilihan penjagaan kesihatan dengan harga yang berpatutan untuk rakyat.

“Inisiatif sebegini akan memberikan manfaat nyata kepada semua rakyat Malaysia melalui pengurangan kesesakan dan kepadatan di hospital dan klinik awam,” kata beliau.

JBMKKS sedar bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif RESET yang menyeluruh bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak.

“Oleh itu, Majlis Perundingan amat penting dalam mengukuhkan komitmen Kerajaan MADANI untuk menyediakan platform khusus bagi pihak industri utama berganding bahu dan menyumbang kepakaran ke arah matlamat bersama, iaitu memastikan penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik dan mudah diakses untuk semua rakyat Malaysia, sambil merangsang pertumbuhan sektor yang mampan,” kata kenyataan bersama itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.