Takaful Malaysia Lancar Kaotim Legasi, Pelan Hibah Serendah RM30 Sebulan

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) — Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd telah melancarkan Kaotim Legasi, pelan Hibah takaful mampu milik dengan nilai perlindungan hayat sehingga RM2 juta.

Kaotim Legasi merupakan pelan Hibah takaful mampu milik ditawarkan melalui platform digital Kaotim, serendah RM30 sebulan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia Nor Azman Zainal berkata Kaotim Legasi adalah produk terbaharu di bawah jenama Kaotim susulan kejayaan Kaotim MediKad pada November tahun lepas.

“Kami sangat gembira dengan sambutan positif diterima sejak pelancaran jenama dan platform digital Kaotim serta pelan Kaotim MediKad pada November tahun lalu.

“Kaotim Legasi merupakan pelan Hibah takaful bertujuan membantu masyarakat merancang keperluan perlindungan kewangan mereka dan kelangsungan hidup ahli keluarga sekiranya berlaku kematian kepada pelanggan produk ini,” katanya.

Pelan Hibah takaful ini dapat membantu menyelesaikan masalah warisan yang timbul akibat kematian seperti masalah kewangan dihadapi oleh waris si mati sama ada untuk meneruskan kehidupan ataupun melunaskan hutang si mati dengan menggunakan pampasan diperoleh.

Nor Azman berkata manfaat pelan hibah takaful itu juga boleh digunakan untuk menampung kos pendidikan anak-anak seandainya hilang sumber pendapatan utama.

“Anda boleh melanggan Kaotim Legasi sebagai hadiah kepada sesiapa sahaja, sama ada waris atau bukan waris kerana pelan ini tidak tertakluk pada pembahagian harta. Ia berperanan sebagai pengganti pendapatan jika anda tidak lagi boleh bekerja akibat hilang upaya atau penyakit kritikal,” katanya.

Kaotim Legasi berbeza berbanding produk lain kerana pelan tersebut menawarkan nilai perlindungan hayat yang tinggi melalui platform dalam talian serta pilihan perlindungan tambahan untuk 48 penyakit kritikal.

“Para pelanggan boleh melanggan Kaotim Legasi dalam talian, pada bila-bila masa, di mana sahaja dengan melengkapkan urus niaga dalam hanya beberapa minit sahaja untuk terus dilindungi pada hari yang sama.

“Takaful Malaysia mahu memberikan pengalaman yang lancar dan efisien semasa melanggan Kaotim Legasi,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Takaful vs Insurans Kereta: Adakah Duit Kita ‘Hangus’ Kalau Tak Pernah Kemalangan?

Setiap tahun, pemilik kenderaan di Malaysia wajib memperbaharui cukai jalan dan perlindungan kenderaan. Namun, masih ramai yang keliru atau sekadar “ikut kawan” tanpa memahami perbezaan antara Takaful dan Insurans Konvensional.

Ramai pemilik kereta sebut “Nak renew insurans kereta lah,” tapi sebenarnya mereka nak renew Takaful. Sebaliknya, ada juga yang ingat semua perlindungan kereta di Malaysia ini automatik patuh syariah atau berkonsepkan Takaful.

Realitinya tidak. Ini cara mudah untuk anda bezakan:

Lihat nama produk: Jika namanya ada perkataan “Takaful” (contoh: Takaful Ikhlas, Syarikat Takaful Malaysia, Etiqa Takaful), maka ia adalah produk patuh syariah. Jika namanya hanya “Insurance” atau “Insurans” (contoh: Allianz Insurance, MSIG Insurance, Lonpac Insurance), itu adalah produk konvensional.

Ini kerisauan paling popular yang bermain di minda pemilik kereta. Ramai yang bertanya:

“Kalau aku bayar Takaful tapi tak pernah kemalangan, bukan ke duit tu hangus macam tu saja? Apa faedah yang aku dapat?”

Jom kita bedah perbezaan ini supaya anda tidak lagi rasa rugi.

1. Niat & Akad: Jual Beli vs Tolong-Menolong

Perbezaan paling besar bukan pada harganya, tetapi pada kontrak (akad) di belakang tabir.

  • Insurans Konvensional: Menggunakan akad Mu’awadah (pertukaran komersial). Anda bayar premium kepada syarikat untuk “membeli” pampasan. Isunya, ia mengandungi unsur Gharar (ketidaktentuan) dan Maysir (seperti perjudian) kerana jika tiada kemalangan, syarikat ambil semua duit anda sebagai untung.
  • Takaful: Menggunakan akad Tabarru’ (derma). Sebahagian wang sumbangan anda dimasukkan ke dalam “Dana Risiko Peserta”. Niat anda adalah untuk menghibahkan (mendermakan) wang tersebut bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.

2. Dilema “Duit Hangus”: Benarkah Tiada Langsung Faedahnya?

Jika sepanjang tahun kereta anda selamat dan tiada tuntutan (claim) dibuat, adakah anda rugi? Dari sudut Takaful, jawapannya adalah TIDAK.

Manfaat dari Sudut Rohani (Pahala)

Oleh kerana akadnya adalah derma untuk menolong orang lain (konsep Ta’awun), setiap sen yang anda bayar dikira sebagai amal jariah. Anda mendapat “manfaat ukhrawi” kerana membantu membiayai kos pembaikan kereta orang lain yang ditimpa malang.

Manfaat Perlindungan (Peace of Mind)

Anggaplah Takaful seperti mengupah pengawal keselamatan. Jika rumah anda tidak dirompak sepanjang tahun, adakah gaji pengawal itu dianggap hangus? Tidak, kerana anda telah mendapat manfaat perlindungan dan ketenangan jiwa sepanjang tempoh tersebut.

3. Kelebihan Yang Tiada Pada Insurans

Ini adalah bonus yang ramai orang terlepas pandang. Dalam insurans konvensional, lebihan wang (setelah tolak kos tuntutan) akan menjadi milik pemegang saham syarikat sepenuhnya.

Namun dalam Takaful:

  1. Jika dana risiko mempunyai lebihan (surplus) di akhir tahun, ia adalah milik kolektif peserta.
  2. Bergantung kepada polisi syarikat, lebihan ini boleh diagihkan semula kepada peserta yang tidak membuat tuntutan.
  3. Walaupun jumlahnya tidak menentu, ia merupakan satu pulangan tunai (cashback) yang adil berbanding insurans biasa.

Kesimpulan

Jangan lihat sumbangan Takaful sebagai satu perbelanjaan yang lebur begitu sahaja. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai simpanan amal yang memberi anda ketenangan fikiran (peace of mind). Dalam Takaful, kalau tak kena musibah, kita dapat pahala menolong orang; kalau kena musibah, orang lain pula bantu kita. Adil dan berkat, bukan?

Memilih Takaful adalah satu langkah pengurusan risiko yang lebih efisien. Selain daripada perlindungan kenderaan yang komprehensif, anda juga berpeluang menikmati agihan lebihan (surplus) jika dana mencukupi. Ia adalah situasi win-win di mana risiko dikongsi bersama dan keuntungan bukan lagi milik mutlak syarikat semata-mata.