Pendapatan Boleh Agih Separuh Pertama KWSP Naik 29 Peratus Kepada RM36.70 Bilion

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) — Jumlah pendapatan boleh agih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tempoh enam bulan berakhir pada 30 Jun, 2024, meningkat 29 peratus kepada RM36.70 bilion daripada RM28.40 bilion bagi tempoh sama 2023.

Dalam kenyataan hari ini, KWSP berkata pendapatan boleh agih itu bagaimanapun tidak termasuk keuntungan ‘mark-to-market’ (MTM) bagi sekuriti belum direalisasikan.

Jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi suku kedua 2024 selepas turun nilai kos, meningkat 25 peratus kepada RM17.50 bilion daripada RM13.98 bilion pada suku sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata keadaan pasaran menggalakkan di Malaysia dan global telah menyumbang kepada 29 peratus pertumbuhan dalam pendapatan boleh agih bagi suku pertama 2024 manakala aset di bawah pengurusan meningkat kepada RM1.21 trilion.

“Pasaran Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan sentimen pelabur terhadap dasar yang berorientasikan pertumbuhan dan pembaharuan fiskal.

“Selain itu, pasaran global seperti Amerika Syarikat (AS) pula meraih manfaat daripada keadaan makroekonomi yang kukuh, penurunan inflasi dan jangkaan permulaan kitaran pengurangan kadar faedah,” katanya.

Ahmad Zulqarnain berkata walaupun keadaan pasaran agak tenang, risiko dilihat kekal berikutan penjualan baru-baru ini dalam pasaran global dan peningkatan ketidaktentuan disebabkan oleh peserta pasaran yang melepaskan beberapa kedudukan yang tertumpu dan sesak.

“Sebagai pelabur jangka panjang, KWSP akan meneruskan strategi membina portfolio yang pelbagai, didorong oleh peruntukan aset strategiknya,” katanya.

Bagi suku dalam kajian itu, dana persaraan itu berkata pendapatan daripada pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi suku kedua 2024 pada RM10.75 bilion selepas turun nilai kos atau merangkumi 61 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih yang dikaji.

Prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik di pasaran domestik dan pasaran maju global, juga telah memacu pertumbuhan pendapatan berbanding RM7.84 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2023.

Menurut KWSP, penurunan nilai bagi tempoh dikaji adalah kecil pada RM0.69 bilion berikutan pengurusan portfolio aktif oleh pengurus dana dan prestasi pasaran ekuiti keseluruhan yang lebih baik.

“Pendapatan tetap terus memberi aliran pendapatan stabil, mengurangkan kesan turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan keseluruhan KWSP.

“Kelas aset ini yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 33 peratus atau RM5.72 bilion kepada jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi suku kedua 2024,” katanya.

Pada masa sama, katanya, hartanah dan infrastruktur mencatat pendapatan sebanyak RM0.50 bilion manakala instrumen pasaran wang menjana RM0.53 bilion, sejajar dengan kadar faedah dan keuntungan semasa.

KWSP berkata setakat 30 Jun 2024, aset pelaburan di bawah pengurusan berjumlah RM1.21 trilion dengan 38 peratus dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

Pada suku kedua, pelaburan luar negara KWSP menjana sebanyak RM8.64 bilion atau 49 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih yang dicatatkan.

Dana persaraan itu juga memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik dan kekal komited dalam menyokong serta menyumbang ke arah mencapai matlamat digariskan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI.

“Daripada jumlah pendapatan boleh agih, sebanyak RM31.34 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional manakala RM5.36 bilion untuk Simpanan Syariah,” katanya.

Prospek ekonomi kekal positif

Ahmad Zulqarnain berkata prestasi kukuh ekonomi domestik turut mencerminkan daya tahan dan potensi pertumbuhan Malaysia, didorong oleh pasaran buruh yang positif, dasar kerajaan yang menggalakkan dan kitaran teknologi global.

“Tinjauan ekonomi Malaysia dilihat kekal positif. Unjuran Bank Negara Malaysia bagi pertumbuhan setahun penuh antara 4.0 peratus dan 5.0 persatus dalam keadaan inflasi sederhana pada purata 2.0 peratus dan 3.5 peratus, menyokong iklim pelaburan yang positif,” katanya.

Menyentuh landskap ekonomi global,  Ahmad Zulqarnain berkata pertumbuhan diunjur kekal stabil pada 2024 dengan lebih banyak bank pusat dijangka mula melonggarkan dasar monetari pada separuh kedua tahun ini apabila inflasi terus berkurangan.

Namun, beliau berkata KWSP kekal berwaspada berikutan unjuran terus dibebani risiko seperti inflasi yang berterusan, kelembapan pertumbuhan yang lebih ketara daripada jangkaan dan ketidaktentuan sekitar pilihan raya Amerika Syarikat dan dasar ekonomi.

Risiko lain adalah kemelut sektor hartanah China dan pemulihan ekonomi yang lemah selain ketegangan geopolitik yang berterusan, katanya.

Beliau berkata bagi tempoh separuh pertama 2024, KWSP menyaksikan 235,032 pendaftaran ahli baharu yang menjadikan jumlah keahliannya mencecah 16.0 juta.

Sebanyak 8.6 juta adalah ahli aktif yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.15 juta tenaga kerja Malaysia.

“Pendaftaran majikan baharu dalam tempoh sama adalah 37,284 dan menjadikan jumlah majikan aktif berdaftar dengan KWSP kepada 610,357.

“Jumlah caruman diterima meningkat kepada RM57.35 bilion dalam separuh pertama 2024 daripada RM50.48 bilion bagi tempoh sama 2023,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Cara Pelabur Menilai Nilai Sebenar Sesebuah Syarikat

Ramai pelabur baru memasuki pasaran saham dengan satu persoalan utama: saham mana yang patut dibeli?

Ada yang memilih saham berdasarkan cadangan rakan, ada yang mengikut perbincangan di media sosial, dan tidak kurang juga yang membeli hanya kerana melihat harga saham sedang meningkat.

Namun pelabur yang berjaya dalam jangka panjang lazimnya mempunyai pendekatan yang berbeza. Mereka tidak hanya melihat pergerakan harga saham, sebaliknya mereka berusaha memahami perniagaan di sebalik saham tersebut.

Di sinilah pentingnya analisis fundamental.

Analisis fundamental merupakan salah satu kaedah paling popular dalam dunia pelaburan untuk menilai sama ada sesebuah syarikat benar-benar berkualiti dan berbaloi untuk dilaburkan. Ia membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan data, bukannya spekulasi atau emosi.

Apa Itu Analisis Fundamental?

Secara mudah, analisis fundamental ialah proses mengkaji dan menilai keadaan sebenar sesebuah syarikat bagi menentukan nilai intrinsik atau nilai sebenar perniagaan tersebut.

Pelabur yang menggunakan analisis fundamental percaya bahawa harga saham di pasaran tidak semestinya mencerminkan nilai sebenar syarikat.

Ada kalanya saham didagangkan pada harga yang lebih rendah daripada nilai sebenar syarikat, dan ada juga yang didagangkan terlalu mahal berbanding prestasi perniagaannya.

Matlamat utama analisis fundamental adalah untuk mengenal pasti perbezaan antara harga pasaran dan nilai sebenar syarikat.

Jika syarikat berkualiti tinggi tetapi harga sahamnya masih rendah berbanding nilai sebenar, ia mungkin menawarkan peluang pelaburan yang menarik.

Baca juga: Analisis Fundamental VS Analisis Teknikal

Mengapa Pelabur Perlu Belajar Analisis Fundamental?

Bayangkan anda ingin membeli sebuah restoran.

Sebelum membeli, anda tentu mahu mengetahui:

  • Berapa banyak jualan yang dijana setiap bulan
  • Berapa keuntungan yang diperoleh
  • Adakah pelanggan semakin bertambah
  • Berapa hutang yang perlu dibayar
  • Adakah lokasi restoran berpotensi berkembang

Anda tidak akan membeli restoran tersebut hanya kerana orang lain mengatakan ia bagus. Perkara yang sama berlaku dalam pelaburan saham.

Apabila membeli saham, anda sebenarnya membeli sebahagian pemilikan dalam sesebuah syarikat. Oleh itu, adalah penting untuk memahami keadaan sebenar perniagaan tersebut sebelum melaburkan wang.

Apa Yang Dinilai Dalam Analisis Fundamental?

Analisis fundamental tidak tertumpu kepada satu perkara sahaja.

Ia melibatkan pelbagai aspek yang membantu pelabur mendapatkan gambaran menyeluruh tentang sesebuah syarikat.

1. Pendapatan (Revenue)

Pendapatan merujuk kepada jumlah jualan yang berjaya dijana oleh syarikat.

Sebagai contoh:

Jika sebuah syarikat menjual produk bernilai RM500 juta setahun, maka jumlah tersebut merupakan pendapatannya. Pendapatan yang meningkat secara konsisten menunjukkan produk atau perkhidmatan syarikat masih mendapat permintaan daripada pelanggan.

Namun pendapatan yang tinggi sahaja tidak mencukupi. Sebuah syarikat boleh mencatat jualan yang besar tetapi masih mengalami kerugian jika kos operasinya terlalu tinggi.

2. Keuntungan (Profit)

Keuntungan merupakan jumlah wang yang tinggal selepas semua kos operasi, cukai, faedah dan perbelanjaan ditolak. Inilah angka yang sering menjadi perhatian pelabur kerana ia menunjukkan kemampuan syarikat menjana pulangan.

Sebagai contoh:

  • Pendapatan = RM1 bilion
  • Kos operasi = RM800 juta

Keuntungan = RM200 juta

Secara umum, pelabur gemar melihat syarikat yang mampu meningkatkan keuntungan secara konsisten dari tahun ke tahun. Pertumbuhan keuntungan biasanya menunjukkan syarikat berjaya mengembangkan perniagaan dengan baik.

3. Aliran Tunai (Cash Flow)

Ramai pelabur baru memberi perhatian kepada keuntungan tetapi mengabaikan aliran tunai. Hakikatnya, aliran tunai sering dianggap sebagai “oksigen” kepada sesebuah perniagaan. Sebuah syarikat boleh mencatat keuntungan atas kertas tetapi menghadapi masalah tunai.

Contohnya:

Syarikat menjual produk bernilai RM100 juta secara kredit. Walaupun keuntungan direkodkan, wang sebenar masih belum diterima daripada pelanggan. Jika pelanggan gagal membayar, syarikat mungkin menghadapi masalah kewangan.

Sebab itu pelabur profesional sentiasa memantau aliran tunai operasi. Syarikat yang mempunyai aliran tunai yang kukuh biasanya lebih stabil dan berdaya tahan.

4. Tahap Hutang

Hutang boleh membantu syarikat berkembang dengan lebih cepat. Namun hutang yang terlalu tinggi boleh menjadi beban apabila ekonomi perlahan atau kadar faedah meningkat.

Bayangkan dua syarikat:

Syarikat A

  • Hutang RM100 juta
  • Tunai RM500 juta

Syarikat B

  • Hutang RM2 bilion
  • Tunai RM50 juta

Walaupun kedua-duanya mencatat keuntungan, syarikat A mempunyai kedudukan kewangan yang jauh lebih kukuh. Pelabur fundamental sering meneliti nisbah hutang untuk memastikan syarikat tidak terlalu bergantung kepada pinjaman.

5. Pendapatan Sesaham (EPS)

EPS atau Earnings Per Share menunjukkan jumlah keuntungan yang diperoleh bagi setiap unit saham. Semakin tinggi EPS, semakin tinggi keuntungan yang diagihkan kepada setiap saham.

Pelabur biasanya gemar melihat EPS yang meningkat secara konsisten kerana ia mencerminkan pertumbuhan keuntungan syarikat.

6. Nisbah Harga Ke Pendapatan (P/E Ratio)

P/E Ratio merupakan salah satu metrik paling popular dalam analisis fundamental. Ia digunakan untuk menilai sama ada sesuatu saham murah atau mahal berbanding keuntungan yang dijana.

Sebagai contoh:

Jika harga saham ialah RM10 dan EPS ialah RM1:

P/E Ratio = 10 kali

Ini bermaksud pelabur sanggup membayar RM10 bagi setiap RM1 keuntungan yang dijana syarikat. Walau bagaimanapun, P/E tidak boleh digunakan secara bersendirian kerana setiap industri mempunyai tahap penilaian yang berbeza.

Faktor Bukan Kewangan Yang Juga Penting

Analisis fundamental bukan sekadar melihat nombor dalam laporan kewangan. Pelabur juga perlu memahami faktor kualitatif yang boleh mempengaruhi prestasi syarikat.

Kualiti Pengurusan

Pasukan pengurusan yang baik boleh membawa syarikat berkembang selama bertahun-tahun. Sebaliknya, pengurusan yang lemah boleh merosakkan syarikat walaupun perniagaannya mempunyai potensi besar.

Pelabur sering menilai:

  • Rekod prestasi pengurusan
  • Integriti pihak pengurusan
  • Strategi pertumbuhan syarikat

Kelebihan Daya Saing

Syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing biasanya lebih mudah mengekalkan keuntungan.

Antara contoh kelebihan daya saing ialah:

  • Jenama yang kuat
  • Teknologi eksklusif
  • Kos operasi yang rendah
  • Rangkaian pelanggan yang besar

Semakin sukar pesaing meniru kelebihan tersebut, semakin kuat kedudukan syarikat.

Prospek Industri

Syarikat yang baik belum tentu menjadi pelaburan yang baik jika industrinya sedang merosot.

Sebagai contoh:

Syarikat kamera filem mungkin mempunyai pengurusan yang cekap, tetapi industri tersebut telah digantikan oleh teknologi digital.

Oleh itu, pelabur perlu menilai bukan sahaja syarikat tetapi juga arah tuju industri.

Analisis Fundamental vs Analisis Teknikal

Ramai pelabur baru keliru antara kedua-duanya.

Secara ringkas:

Analisis Fundamental

  • Menilai nilai sebenar syarikat
  • Fokus kepada laporan kewangan dan perniagaan
  • Lebih sesuai untuk pelaburan jangka panjang

Analisis Teknikal

  • Mengkaji pergerakan harga saham
  • Fokus kepada carta dan corak harga
  • Lebih sesuai untuk menentukan masa terbaik membeli atau menjual

Ramai pelabur berpengalaman menggabungkan kedua-dua pendekatan untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.

Kesimpulannya, snalisis fundamental merupakan asas penting yang perlu dikuasai oleh setiap pelabur. Ia membantu pelabur memahami apa yang mereka beli, menilai kekuatan kewangan syarikat dan mengelakkan keputusan yang dibuat berdasarkan sentimen semata-mata.

Walaupun prosesnya memerlukan masa dan usaha, kemahiran ini boleh membantu pelabur membuat keputusan yang lebih berkualiti dan mengurangkan risiko dalam jangka panjang. Dalam dunia pelaburan, harga saham boleh berubah setiap hari. Namun nilai sebenar sesebuah perniagaan dibina melalui prestasi, keuntungan dan keupayaannya mencipta nilai untuk pemegang saham.

Sebab itu pelabur yang berjaya tidak hanya bertanya, “Berapa harga saham ini hari ini?” Mereka bertanya, “Apakah nilai sebenar syarikat yang saya ingin miliki?”