Macam Mana Nak Simpan Lebih Daripada 50% Gaji?

“Simpan duit? Cakap senanglah…Nak buat tu susah”

Kenapa susah nak buat?

Kena ada sesuatu yang trigger kita, baru kita sedar nak belajar menyimpan. Itulah yang biasa berlaku dalam masyarakat kita. Sebabnya menyimpan duit bukan fitrah semulajadi kita. Ini adalah tabiat yang perlu dibiasakan. Kena ulang-ulang buat.

Jadi, macam mana nak simpan gaji lebih daripada 50%? Bunyi macam sembang kari.

Sebenarnya tidak mustahil. Semakin banyak beri alasan dan berbelanja, maka semakin payah untuk menyimpan lebih daripada 50% gaji.

Kalau ada individu lain yang boleh buat, mengapa tidak kita? Ubah sikap dan cara perbelanjaan pasti kita boleh menyimpan mengikut kepada jumlah peratusan tersebut.

Ok, andaikata sikap dan cara perbelanjaan dah ubah, tapi masih lagi tak boleh nak dapatkan simpanan melebihi 50% daripada gaji, apa yang kita perlu lakukan?

Jom tengok beberapa langkah yang boleh dilakukan dengan penuh tertib supaya anda berjaya untuk mendapatkan simpanan 50% daripada gaji.

Tips ini mungkin lebih sesuai untuk mereka yang masih bujang.

1. Cari Tempat Kerja Yang Sesuai

Memang kerja itu rezeki Tuhan, tetapi kita boleh merancang di manakah tempat kerja yang kita mahukan.

Macam mana nak merancang? Carilah syarikat-syarikat yang strategik yang berhampiran dengan pengangkutan awam. Boleh memohon kerja di syarikat yang berdekatan dengan pengangkutan awam ini.

Bukan sahaja memudahkan anda pergi bekerja, malah menjimatkan masa dan petrol kereta tanpa perlu bersesak dalam lalulintas.

Anda sendiri boleh lihat berapa ramai mereka yang bekerja dengan menaiki kenderaan sendiri, merungut apabila pergi dan balik kerja berhadapan dengan kesesakan. Pagi nak ke tempat kerja dah habis masa berjam, pulang dari tempat kerja pun dah habis masa berjam.

2. Cari Tempat Paling Jimat Untuk Sewa

Jika baru nak memulakan kehidupan, sewa bilik sudah memadai.

Bukan anda nak duduk satu keluarga pun. Jimat berlipat kali ganda. Harga bilik dengan harga rumah pun dah agak banyak jurang perbezaannya.

Memadai jika anda menyewa bilik sahaja. Bila rasa dah berjaya kumpul 50% daripada jumlah gaji dan dah selesa dengan pengurusan kewangan pada ketika itu, kalau rasa mampu nak menyewa rumah pun tiada salahnya. Atau kumpul duit terus bayar downpayment rumah.

Untuk permulaan, memang kena rasa sakit dan perit sikit. Tapi rasa itulah yang membawa anda ke jalan yang senang. Oleh itu, bersakit-sakit dahulu dan bersenang-senang kemudian.

Baca juga 10 Senarai Semak Sebelum Nak Sewa Rumah

3. Utamakan Keperluan Ketepikan Kemahuan

Tempat kerja pun berdekatan dengan pengangkutan awam, sekarang boleh fokus kepada simpanan 50% gaji tanpa perlu berfikir untuk membeli kereta. Kalau anda rasa nak sangat guna kereta, beli sahaja kereta terpakai yang boleh anda gunakan untuk bergerak dari lokasi A ke lokasi B.

Jangan pula terus beli kereta mahal. Itu dah tentu-tentu bukan keperluan tetapi lebih kepada kehendak.

Dan tak perlu untuk upgrade telefon pintar tu setiap tahun, boleh je pakai untuk beberapa tahun sampai rosak baru tukar lain.

Line telefon pun boleh jimat dengan adanya pakej data daripada penyedia telekomunikasi. Langgan saja data unlimited untuk kegunaan harian.

4. Berpuasa

Tak semestinya perlu tunggu bulan Ramadan baru nak berpuasa. Mungkin sukar untuk dibuat secara konsisten, tetapi percayalah jika anda mampu bertahan, anda boleh berjimat. Mulakan secara perlahan-lahan, boleh cuba berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.

Minta Naik Gaji?

Realiti gaji mereka yang baru bekerja jika nak dibandingkan dengan kos sara hidup memang nampak tak realistik.

RM2,000 = 1998 (tak cukup)
RM2,000 = 2011 (tak cukup)
RM2,000 = 2021 (sangat tak cukup)

Ada yang kata jika gaji dah besar baru boleh menyimpan.

Nak tahu tak bila bertambah gaji, kebiasaan yang berlaku komitmen pun akan semakin bertambah. Kereta bertambah mahal mungkin. Barang-barang dalam rumah juga bertambah. Akhirnya tak mampu nak buat simpanan.

Ingat, menyimpan ini adalah tabiat yang perlu dibiasakan. Kena ulang-ulang buat. Kepada yang bakal menjadi ibu bapa, mulakan tabiat ini dari awal demi masa depan anak-anak anda.

Kita sebagai ibu bapa perlu merancang harta dan kewangan keluarga. Kena mula merancang bagaimana nak mengembangkan pendapatan sekarang menjadi 2 atau 5 kali ganda dalam masa 3 hingga 5 tahun.

Mulakan sekarang.

Biarpun anda berusaha untuk menambah pendapatan peribadi dan keluarga, tapi jangan lupa untuk menambah ilmu pengetahuan. Cara termudah dan termurah untuk mendapatkan ilmu kewangan adalah membaca.

Panduan:


Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan rumah.

Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB.

Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.