Benarkah Keuntungan Daripada Pelaburan Saham (Trade Saham) Tidak Dikenakan Cukai?

Baru-baru ini, pihak Majalah Labur berpeluang menemuramah Puan Normah Md Zain, Pengarah Bahagian Konsultasi Dasar, Jabatan Dasar Percukaian LHDNM di Cyberjaya, Selangor. Tujuannya adalah untuk mendapatkan jawapan daripada pihak berkuasa berkenaan Kenapa Mereka Yang Kaya Raya Untung ‘Main’ Saham Tak Kena Bayar Cukai?

Kebiasaannya, kita akan kaitkan pelaburan saham dengan golongan kaya-raya. Dan sekiranya mereka untung dalam pelaburan saham, adakah adil mereka ini tidak dikenakan cukai? Seolah-olah kita membenarkan golongan yang kaya menjadi bertambah kaya?

Dalam temubual santai selama 30 minit tersebut, banyak ‘insider information’ yang kami perolehi.

Berikut merupakan jawapan bagi persoalan yang bermain di minda kami:

Soalan: Adakah Pendapatan Yang Diperoleh Daripada Pelaburan Dikenakan Cukai? Kenapa? Boleh Jelaskan?

  • Perkataan “pelaburan” dan “jual beli” itu merupakan dua kaedah untuk menjana keuntungan.
  • Malaysia tidak mengenakan cukai ke atas keuntungan modal (Capital Gains Tax) kecuali cukai atas keuntungan pelupusan harta tanah dan pelupusan saham dalam Syarikat Harta Tanah di bawah CKHT seperti dinyatakan di atas.
  • Oleh itu, sama ada satu pelaburan itu dikenakan cukai pendapatan atau tidak, adalah satu penentuan fakta.
  1. Sekiranya pelabur hanya membuat pelaburan secara pasif contohnya membeli saham dan memegang saham tersebut semata-mata bagi mendapatkan pulangan dividen, maka dalam keadaan ini keuntungan hasil daripada jualan saham tidak dikenakan cukai pendapatan.
  2. Sebaliknya, sekiranya, pelabur menjalankan aktiviti jual beli saham secara aktif dan terancang maka dalam keadaan sebegini pelabur dianggap menjalankan perniagaan jual beli saham (trading of shares) dan keuntungan atas jualan saham ini adalah dikenakan cukai pendapatan sebagai keuntungan dari perniagaan.
  3. Dengan lain perkataan, sekiranya pelaburan tersebut menjana keuntungan yang berulang-ulang disebabkan wujudnya ciri-ciri perdagangan (badges of trade) maka keuntungan hasil daripada aktiviti jual beli saham adalah tertakluk kepada cukai pendapatan.
  • Kesimpulannya, sekiranya suatu pelaburan yang dibuat itu merupakan aktiviti perdagangan atau komersil yang menjana keuntungan seperti pelaburan dalam saham, pelaburan daripada penjualan harta tanah, pelaburan emas dan sebagainya maka keuntungan daripada jual beli pelaburan ini adalah merupakan pendapatan perniagaan yang dikenakan cukai pendapatan.
  • Sekiranya, semasa aktiviti jual beli pelaburan ini mengalami kerugian, maka pelabur hanya perlu melaporkan kerugian dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi suatu tahun taksiran itu dan jumlah kerugian tersebut boleh dibawa ke tahun taksiran berikutnya sebagai tolakan.
  • Pelabur tidak boleh menyatakan alasan kerugian sebagai alasan untuk tidak melaporkan pendapatan mereka yang diterima hasil dari aktiviti pelaburan.

Full-Time Trader Wajar Isytihar Keuntungan Mereka

Saya percaya bahawa ramai di sini yang merupakan full-time trader dan ‘gaji’ mereka adalah daripada keuntungan jual beli saham. Kebanyakannya terdiri daripada intraday trader dan yang jual beli saham dalam jangka masa hanya beberapa jam, hari atau minggu.

Long-Term Investor Pula Cukup Sekadar Bayar Zakat Saham

Manakala bagi mereka yang membeli dan memegang saham untuk jangka masa yang panjang, mungkin berbulan atau bertahun pula; cukuplah sekadar membayar zakat saham. Boleh rujuk Panduan Mengira Sendiri Zakat Saham Beserta Contoh.

Tahukah Anda Ada 2,293,927 Pembayar Cukai Bagi Tahun Taksiran 2016?

Dan yang terakhir sekali, berikut merupakan Jumlah Pembayar Cukai Kategori Individu Pendapatan Penggajian (SG) & Pendapatan Selain Penggajian (OG) Yang Dikenakan Cukai Untuk Tahun Taksiran 2016.

Dapatkan 101 Rahsia Penjimatan Cukai Pada Harga Istimewa

Bila sebut sahaja LHDN, rata-rata akan tersentap mendengar 4 huruf berbisa ini yang langsung berkait rapat dengan cukai. Topik cukai bukanlah satu isu yang asyik dibincangkan. Malah, mereka yang bukan dari golongan pembayar cukai akan cepat-cepat tutup telinga dan melarikan diri dari isu panas ini.

Sebenarnya, isu cukai adalah topik yang menyeronokkan dan patut diambil berat oleh semua individu yang menjana pendapatan lebih dari RM36,000 SETAHUN, lebih-lebih lagi usahawan dan mereka yang memiliki perniagaan. Kurang daripada itu, anda sebenarnya tak perlu takut.

Previous ArticleNext Article

2 Comments

  1. Terima kasih tuan atas penerangan.
    Cuma untuk cukai pendapatan drp trading ni, ada pengecualian ke utk muslim yg dah bayar zakat pemdapatan?

    1. Jumlah zakat tetap boleh ‘claim’ dalam borang cukai seperti punca pendapatan lain

Penat Cari Duit, Akhirnya “Hangus” Untuk Bayar Cukai?

Pernah tak korang duduk depan laptop, tangan menggigil nak tekan butang submit e-Filing sebab tengok baki cukai kena bayar sampai beribu-ribu? Masa tu, segala rasa ralat dan tak puas hati muncul. Rasa macam “hangus” hasil titik peluh setahun.

Tapi, cuba korang tarik nafas kejap. Bayangkan senario ini:

Di satu sudut hospital kerajaan, ada seorang ayah yang buntu fikir kos bedah jantung anaknya yang mencecah RM50,000. Angka itu berpusing-pusing di kepalanya. Dia hanya seorang kerani biasa. Dia mula berkira-kira untuk tebalkan muka meminjam sana-sini. Air matanya gugur, bukan kerana sedih, tapi kerana rasa gagal sebagai seorang ayah.

Tapi bila dia pergi ke kaunter bayaran, kerani tu sambil tersenyum berkata, “Encik cuma perlu bayar RM1 sahaja.”

Ayah tadi terduduk, menangis syukur.

Tahu tak siapa yang “bayar” baki RM49,999 tu? Itulah duit cukai yang korang rasa “hangus” tadi.

Ada orang kata, “Alah, cukai aku bayar RM500 je setahun. Tak luak pun buat kerajaan. Kerajaan kan ada cukai korporat, cukai jalan, duti eksais, macam-macam lagi! Apa sangatlah duit cukai aku yang sikit ni?”

Memang betul, pendapatan negara datang dari pelbagai sumber. Tapi kena ingat, bajet negara ni ibarat satu puzzle gergasi. Cukai syarikat mungkin besar, tapi sumbangan dari cukai pendapatan individu adalah salah satu kepingan puzzle yang sangat kritikal.

Bila jutaan rakyat Malaysia “tong-tong” (berkongsi) membayar cukai individu, jumlahnya mencecah berbilion ringgit setahun!

Nak ikhlas bayar cukai ni bukan soal faham undang-undang, tapi soal faham kemanusiaan. Bila kita nampak yang duit tu sebenarnya tengah “memberi peluang kedua” kepada orang lain, “menyuap” nasi ke mulut anak yatim dan “menjaga” keselamatan mak ayah kita di kampung, saat itulah rasa berat hati tadi akan bertukar menjadi rasa bangga yang luar biasa.

Macam mana nak capai tahap ikhlas macam tu? Cuba renungkan 4 perkara ni:

1. Cukai Sebagai “Sijil Kejayaan”

Tukar mindset: Cukai bukan beban, tapi ia adalah bukti korang sudah berjaya. Hanya orang yang memiliki pendapatan melebihi paras tertentu sahaja yang layak membayar cukai.

  • Kalau kena bayar cukai RM5,000, bayangkan berapa banyak rezeki (pendapatan) yang Tuhan dah bagi sampai korang sampai ke tahap itu.
  • Ramai orang di luar sana teringin nak ada gaji setinggi itu. Kalau kena bayar banyak, maksudnya Tuhan dah amanahkan rezeki yang sangat besar tahun lepas. Bayar cukai adalah cara “mengalirkan” berkat tu supaya ia dapat dikongsi bersama.

2. Niatkan Sebagai “Sedekah Paksa”

Zakat itu wajib untuk asnaf, tapi cukai pula adalah sumbangan untuk kepentingan “keluarga besar” kita.

  • Bila bayar cukai, niatkan dalam hati: “Ya Allah, aku sedekahkan duit ini untuk kegunaan rakyat Malaysia.”
  • Bayangkan, duit itu digunakan untuk beli ubat bagi pesakit di hospital kerajaan atau beli buku teks untuk anak-anak sekolah. Selagi orang itu sembuh atau budak tu dapat ilmu, pahala jariah korang tetap mengalir walaupun tak kenal pun siapa mereka.

3. Melunaskan “Hutang”

Sedar atau tidak, kita semua “terhutang budi” dengan negara.

  • Kita belajar di sekolah dan universiti yang yurannya disubsidi.
  • Kita guna jalan raya, jambatan dan lampu jalan yang dibina sebelum kita lahir lagi.
  • Bayar cukai adalah cara kita membalas jasa dan memastikan generasi anak-anak kita nanti pun dapat nikmat yang sama. Kita bayar supaya manfaat ini tidak terhenti pada kita sahaja.

4. Membantu Golongan “Tengah” (M40)

Zakat hanya untuk golongan asnaf. Tapi macam mana dengan kawan-kawan kita yang “tak kaya tapi tak miskin” (M40)? Gaji mereka sedikit saja melepasi garisan asnaf, membuatkan mereka tidak layak menerima zakat, namun tidak cukup kaya untuk menanggung badai musibah yang datang secara tiba tiba. Mereka tak layak terima zakat, tapi kalau anak mereka masuk hospital, mereka sangat perlukan subsidi kerajaan.

Bayangkan kawan sepejabat. Anak mereka tiba-tiba jatuh sakit dan perlukan pembedahan segera. Simpanan tak seberapa, insurans pula ada hadnya. Di sinilah duit cukai korang muncul sebagai Superhero yang tidak didendang.

  • Duit cukai koranglah yang memastikan kawan itu hanya perlu membayar RM500 untuk pembedahan yang kos asalnya berjumlah RM50,000.
  • Duit cukai koranglah yang menghalang seorang ayah daripada berhutang keliling pinggang semata-mata nak menyelamatkan nyawa anaknya.

Bila bayar cukai, korang sebenarnya sedang menjaga maruah kawan-kawan dan jiran tetangga. Korang sedang memegang tangan mereka supaya tidak jatuh tersungkur ke lembah kemiskinan. Menolong mereka yang sedang sesak walaupun mereka bukan asnaf adalah satu amal jariah yang sangat agung dan mulia.

“Tapi… Takutlah Duit Kena Sakau Oleh Ahli Politik!”

Ini kerisauan paling besar kan? Kita penat-penat membanting tulang, tiba-tiba keluar berita berlaku ketirisan sana-sini. Rasa macam tak berbaloi nak bayar kalau hujung-hujung masuk poket orang yang tidak sepatutnya.

Tapi, cuba renungkan sudut pandang ni:

Dalam Islam, tanggungjawab kita adalah mematuhi peraturan demi kepentingan awam. Apabila kita membayar dengan niat untuk membantu rakyat, insha-Allah pahala itu sudah milik kita di sisi Tuhan.

Kalau ada tangan-tangan yang menyalahgunakan amanah itu, itu adalah dosa besar mereka di padang mahsyar nanti. Mereka yang akan menjawab, mereka yang akan menanggung azab.

Pahala kita takkan “disakau” oleh dosa mereka.

Jadi, jangan biarkan kemarahan kita kepada segelintir manusia membuatkan kita berhenti menjadi tulang belakang kepada berjuta rakyat lain yang benar-benar memerlukan.

Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Artikel ini tidak ditaja oleh LHDN atau mana-mana pihak berkuasa. Kami di Majalah Labur cuma nak ajak anda semua ‘win’ dari segi kewangan DAN ketenangan jiwa. Bila kita nampak ke mana perginya setiap sen hasil titik peluh kita, barulah kita rasa berbaloi nak menyumbang. Jom jadi pembayar cukai yang bijak dan berjiwa besar!