Top 10 Syarikat Teknologi Terbesar Dunia Pada Masa Kini

Jika sedekad lalu, kita boleh lihat hampir keseluruhan syarikat berasaskan teknologi ini tertumpu di Lembah Silikon yang berada di California. Kini dengan perkembangan ekonomi dunia yang dipelopori oleh Negara China, telah merubah landskap dunia teknologi seluruh dunia.

Berikut adalah syarikat teknologi yang terbesar pada masa kini berdasarkan Market Capitalization.

10. Intel Corp. (INTC): $206 bilion

Sebuah syarikat perintis dalam teknologi cip komputer. Era 1990-an merupakan era terbaik untuk Syarikat Intel kerana ianya merupakan waktu puncak teknologi dunia perkomputeran. Intel merupakan pengeluar cip komputer terbesar pada ketika itu dan mereka menguasai pasaran pembuatan cip komputer dan menjadi pilihan pengeluar komputer.

Kini mereka telah beralih daripada sebuah pengeluar cip kepada syarikat telefon pintar dan mereka juga menyediakan perkhidmatan simpanan data untuk pelanggan.

Intel masih lagi membayar dividen kepada pemegang saham mereka dan merupakan sebuah syarikat Blue Chip di Amerika Syarikat.

9. Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSM): $214 bilion

Merupakan sebuah syarikat yang berasal dari Taiwan dan mempelopori bidang semikonduktor. Syarikat ini merupakan syarikat yang diasaskan pada tahun 1980 ketika era semikonduktor baru sahaja dikomersialkan.

Syarikat ini mula menjdi terkenal apabila mendapat kontrak untuk mengeluarkan cip telefon untuk Syarikat Apple. Apple yang menggunakan cip yang dibangunkan oleh Samsung dan pada masa yang sama turut menggunakan cip yang dibangunkan oleh TSMC.

8. Samsung Electronics (SSNLF): $243 bilion

Samsung merupakan jaguh yang berasal dari Korea Selatan. Kebangkitan Syarikat Samsung adalah disebabkan oleh perkembangan yang memberangsangkan industri telefon pintar. Samsung merupakan sebuah syarikat konglomerat yang mempunyai pelbagai cabang perniagaan, tetapi perniagaan semikonduktornya adalah yang terkenal dan menaikkan nama Samsung di persada dunia.

Samsung merupakan pesaing utama kepada Apple dalam pembangunan telefon pintar. Kes saman-menyaman di antara kedua syarikat ini juga berlanjutan hampir satu dekad.

Lebih menarik lagi, Samsung merupakan pembekal utama bagi produk Apple daripada segi cip telefon dan juga paparan LCD yang mana Samsung merupakan syarikat pengeluar paparan LCD terbesar dunia.

7. Tencent Holdings (TCEHY): $400 bilion

Sebuah syarikat yang berpengkalan di China dan sedang meningkat naik. Satu-satunya syarikat di dalam senarai ini yang tidak disenaraikan dalam mana-mana pasaran saham di Amerika Syarikat.

Tencent menyediakan perkhidmatan media sosial kepada pengguna yang tertumpu di negara Asia. Di antara media sosial yang paling hebat adalah WeChat.

Syarikat ini juga memegang portfolio tebesar dalam industri permaianan yang menggunakan platform telefon pintar yang terkenal di negara Asia seperti “League of Legends,” “Arena of Valor” dan “Fortnite. Tahun lepas sahaja, syarikat mencatatkan pertumbuhan sebanyak 32% dalam Market Capitalization.

6. Alibaba Group Holding (BABA): $449 bilion

Merupakan syarikat peruncitan Internet yang diasaskan oleh Jack Ma. Syarikat ini menguasai pasaran peruncitan di negara China melalui e- commerce.

Saham Syarikat Alibaba telah diapungkan di pasaran Nasdaq pada tahun 2014. Alibaba juga telah membeli saham Lazada yang merupakan pilihan utama bagi rakyat Asean untuk berbelanja di dalam talian.

Alibaba turut mengembangkan perniagaanya kepada servis pengkomputeran awan, kedai fizikal dan juga produksi filem. Alibaba dijangka akan menjadi syarikat yang akan bersaing dengan Amazon dalam masa beberapa tahun akan datang.

5. Facebook (FB): $525 bilion

Facebook merupakan sebuah syarikat media sosial yang paling popular pada hari ini. Pada tahun lepas, Facebook telah mengalami satu skandal yang mana mereka dipercayai menjual maklumat pengguna yang menggunakan Facebook kepada pihak ketiga, tetapi dinafikan oleh pihak Facebook.

Walaupun terpalit dengan skandal tersebut, Syarikat Facebook ini masih lagi membuat keuntungan melalui perkhidmatan pegiklanan yang mereka tawarkan.

Facebook juga telah membeli media sosial seperti Instagram dan juga WhatsApp tetapi kini telah mendapat persaingan daripada media sosial yang lain seperti Snapchat, Pinterest dan Amazon (bahagian pengiklanan).

4. Alphabet (GOOGL, GOOG): $818 bilion

Google sekarang ini merupakan sebuah syarikat yang bersaing dengan Facebook dalam pengiklanan digital. Syarikat ini yang juga berpengkalan di Lembah Silikon yang terletak di California di yang mana mereka berjiran dengan syarikat Facebook.

Google merupakan sebuah syarikat Internet yang menyediakan perkhidmatan  carian di atas talian yang merupakan pilihan paling popular orang ramai ketika ini.

Google juga mempunyai laman sosial video yang paling banyak digunakan iaitu YouTube. Syarikat Google juga  mendominasi penggunaan telefon bimbit melalui perisian Android yang sediakan kepada pengeluar telefon pintar tanpa dikenakan sebarang caj.

Syarikat ini juga merupakan pelabur yang aktif dalam melabur dalam pelbagai syarikat baru termasuklah Syarikat Uber.

3. Amazon.com (AMZN): $888 bilion

Amazon merupakan sebuah syarikat yang bermula sebagai sebuah syarikat yang menjual buku secara dalam talian. Syarikat ini telah diasaskan oleh Jeff Bezos pada tahun 1994, dan berjaya mencapai Market Capitalization sebanyak $1 trilion pada tahun ini.

Syarikat Amazon yang mempelbagaikan perniagaan mereka termasuk dalam menyediakan perkhidmatan cloud storage, peruncitan, jualan buku secara online dan juga produksi perfileman. Syarikat ini juga sekarang semakin aktif dalam perkhidmatan pengiklanan dan akan bersaing hebat dengan Facebook dan Google.

Dalam peruncitan pula, syarikat ini bersaing hebat dengan Syarikat Walmart dan tidak mustahil dalam masa lima tahun lagi Amazon dapat mengatasi jualan peruncitan yang dilakukan oleh Walmart. Prinsip yang digunapakai oleh Syarikat Amazon adalah memastikan pelanggan mereka gembira dengan perkhidmatan yang diberikan.

Pelanggan merupakan salah satu faktor kejayaan yang terbesar berbanding dengan pesaing mereka. Jeff Bezos pernah menyatakan sekiranya kita berjaya memenuhi hasrat pelanggan, kita tidak perlu risau dengan pesaing kita.

Kita perlu sentiasa memikirkan cara untuk menggembirakan pelanggan supaya mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang kita berikan dan seterusnya menjadi pelanggan setia.

2. Apple (AAPL): $931 bilion

Syarikat Apple merupakan syarikat yang pertama mencapai nilai Market Capitalization sebanyak $1 trilion pada tahun lepas. Syarikat ini dahulunya pernah hampir muflis ketika era Steve Jobs. Pada masa itu Steve Jobs telah kembali ke Apple setelah beliau disingkirkan pada tahun 1986.

Di antara langkah yang diambil beliau untuk menyelamatkan Apple adalah bekerjasama dengan Microsoft dalam membangunkan perisian, yang mana Microsoft boleh meletakkan perisian mereka ke dalam komputer keluaran Apple.

Kebangkitan syarikat ini bermula pada tahun 1998 iaitu pada fasa pertama ketika pengenalan Macintosh generasi baru yang telah menggabungkan skrin dan CPU dalam satu komputer.

Pada fasa kedua pula, syarikat ini berjaya membangunkan sebuah produk peranti alat muzik yang dikenali sebagai iPod. Peranti ini telah merubah gaya manusia mendengar muzik dengan iPod yang pada masa itu boleh memuatkan 1000 buah lagu.

Dengan pengenalan alat ini, ianya membuatkan Syarikat Sony menderita kerana tidak mampu lagi menjual pemain muzik yang dikenali sebagai Walkman yang telah menguasai hampir 20 tahun dalam industri muzik.

Kebangkitan terbesar bagi Apple adalah ketika pengenalan iPhone, yang pada masa itu merupakan sebuah telefon pintar yang pertama menggunakan skrin sentuh sepenuhnya untuk berfungsi. Dengan pengenalan telefon ini, ianya telah mengatasi Nokia yang sebelum ini memonopoli penggunaan telefon sebanyak 90% pasaran dunia.

1. Microsoft Corp. (MSFT): $1.04 trilion

Syarikat Microsoft merupakan sebuah syarikat yang telah mendominasi perisian komputer pada era tahun 1990 sehingga ke hari ini. Syarikat ini diasaskan oleh Bill Gates bersama dengan rakannya iaitu Paul Allen pada tahun 1976.

Bill Gates merupakan seorang kanak-kanak yang berusia 13 tahun semasa penubuhan syarikat Microsoft. Beliau telah membawa syarikat ini ke IPO pada tahun 1986, di mana revolusi komputer baru sahaja hendak bermula.

Bill Gates telah berjaya membawa Microsoft ke tahap yang lebih hebat ketika beliau memegang tampuk pengurusan syarikat tersebut. Hampir seluruh komputer di dunia ini menggunakan perisian yang dibangunkan oleh pihak Microsoft.

Walaubagaimanapun, Microsoft telah mengalami kegagalan dalam perlumbaan telefon pintar kerana tidak memandang serius ancaman yang dibawa oleh pihak Google dan juga Apple. Microsoft tidak berjaya membawa mengembangkan perisian telefon pintar kerana rata-rata pengguna tidak gemar menggunakan perisian yang dibawa oleh syarikat Microsoft.

Semua ini di berlaku bawah pengurusan Steve Ballmer yang dipercayai kurang mempunyai visi untuk syarikat berkembang. Beliau telah digantikan oleh CEO yang bernama Satya Nadella yang berasal dari India.

Kini syarikat Microsoft telahpun berjaya memintas Market Capitalization syarikat Apple dengan memberi perkhidmatan simpanan awam untuk pelanggan mereka. Teknologi ini diberi nama Azure yang mana semakin berkembang dan bersaing sengit dengan Syarikat Amazon dan Google.

Microsoft sekarang tidak lagi menumpukan perhatian kepada mengeluarkan perisian komputer untuk syarikat lain kerana sekarang kebanyakan pengguna lebih gemar menggunakan telefon pintar berbanding dengan komputer.

Sumber Rujukan: https://finance.yahoo.com/news/10-most-valuable-tech-companies-193201023.html

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

5 Rutin Harian Yang Membantu Pelabur Membuat Keputusan Lebih Bijak

Ramai orang melihat hasil yang diperoleh oleh pelabur atau pedagang saham yang berjaya, tetapi tidak ramai yang melihat apa yang mereka lakukan setiap hari.

Ada yang menganggap kejayaan mereka datang kerana pandai memilih saham atau mempunyai “orang dalam” yang berkongsi maklumat. Hakikatnya, kebanyakan pelabur yang konsisten memperoleh keuntungan mempunyai satu persamaan, iaitu mereka mengamalkan rutin harian yang tersusun.

Mereka tidak membuat keputusan secara terburu-buru atau membeli saham hanya kerana melihat harga sedang meningkat. Sebaliknya, setiap keputusan dibuat selepas menilai keadaan pasaran, membaca laporan syarikat dan mengikuti perkembangan semasa.

Rutin ini mungkin kelihatan ringkas, tetapi apabila diamalkan secara konsisten, ia membantu pelabur membuat keputusan yang lebih rasional dan mengurangkan risiko membuat kesilapan akibat emosi.

Mengapa Rutin Harian Penting?

Pasaran saham berubah setiap hari. Harga saham dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti keputusan kewangan syarikat, berita korporat, keadaan ekonomi, kadar faedah, harga komoditi dan sentimen global.

Jika pelabur hanya membuka aplikasi dagangan untuk melihat harga saham tanpa memahami apa yang berlaku di sebaliknya, mereka mudah membuat keputusan berdasarkan panik atau FOMO.

Rutin harian membantu pelabur untuk:

  • memahami keadaan pasaran sebelum berdagang,
  • mengenal pasti peluang lebih awal,
  • mengurus risiko dengan lebih baik,
  • dan mengelakkan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa.

1. Semak Laporan Kewangan Syarikat

Selepas Bursa Malaysia ditutup, antara perkara pertama yang dilakukan oleh ramai pelabur ialah menyemak laporan kewangan syarikat yang baru diumumkan.

Semua syarikat tersenarai diwajibkan mengeluarkan laporan kewangan setiap suku tahun. Daripada laporan ini, pelabur boleh melihat sama ada prestasi syarikat semakin baik atau sebaliknya.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah:

  • pertumbuhan hasil (revenue),
  • keuntungan bersih,
  • margin keuntungan,
  • aliran tunai,
  • dan kedudukan hutang syarikat.

Contoh Situasi

Sebuah syarikat teknologi mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 35% berbanding suku tahun sebelumnya.

Keputusan ini mungkin menarik perhatian pelabur institusi dan seterusnya meningkatkan minat terhadap saham syarikat tersebut.

Namun, pelabur yang membaca laporan lebih awal mempunyai masa untuk membuat penilaian sebelum pasaran dibuka pada keesokan harinya.

2. Pantau Pengumuman Dividen

Selain prestasi kewangan, ramai pelabur turut memberi perhatian kepada pengumuman dividen. Dividen merupakan sebahagian daripada keuntungan syarikat yang diagihkan kepada pemegang saham.

Dalam pengumuman dividen, terdapat beberapa tarikh penting seperti:

  • Ex-Date – tarikh terakhir untuk membeli saham bagi melayakkan diri menerima dividen.
  • Entitlement Date – tarikh syarikat menentukan senarai pemegang saham yang layak menerima dividen.

Contoh

Jika sebuah syarikat mengumumkan dividen sebanyak 5 sen sesaham, pelabur yang memiliki 10,000 unit saham berpotensi menerima dividen sebanyak:

10,000 × RM0.05 = RM500

Walaupun dividen bukan satu-satunya sebab membeli saham, ia boleh menjadi petunjuk bahawa syarikat mempunyai kedudukan kewangan yang baik.

3. Ikuti Pengumuman Bonus Issue dan Rights Issue

Selain dividen, syarikat juga kadangkala mengumumkan:

  • Bonus Issue
  • Rights Issue

Bonus Issue bermaksud syarikat memberikan saham tambahan kepada pemegang saham tanpa bayaran berdasarkan nisbah tertentu. Sebagai contoh, bonus 1:2 bermaksud bagi setiap dua saham yang dimiliki, pelabur akan menerima satu saham tambahan.

Rights Issue pula memberi peluang kepada pemegang saham sedia ada membeli saham baharu pada harga yang telah ditetapkan. Walaupun kedua-dua tindakan korporat ini tidak semestinya menjadikan saham lebih menarik, ia tetap penting untuk difahami kerana boleh memberi kesan kepada jumlah pegangan dan strategi pelaburan.

4. Ikuti Berita Korporat dan Pasaran

Pelabur yang berpengalaman tidak hanya melihat nombor. Mereka juga membaca berita. Berita korporat boleh memberi gambaran awal tentang perkara yang mungkin mempengaruhi harga saham.

Antaranya ialah:

  • kontrak baharu,
  • pengambilalihan syarikat,
  • perubahan pengurusan,
  • projek kerajaan,
  • perubahan dasar,
  • dan perkembangan ekonomi global.

Sebagai contoh, jika sebuah syarikat memperoleh kontrak bernilai ratusan juta ringgit, berita tersebut boleh meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek syarikat.

Namun begitu, pelabur juga perlu berhati-hati kerana tidak semua berita akan memberi kesan jangka panjang terhadap harga saham.

5. Fahami Sentimen Pasaran Global

Bursa Malaysia tidak bergerak secara bersendirian. Prestasi pasaran luar negara turut mempengaruhi sentimen pelabur tempatan.

Sebab itu ramai pelabur akan melihat:

  • prestasi indeks utama Amerika Syarikat,
  • pergerakan pasaran Asia,
  • harga minyak mentah,
  • harga emas,
  • dan perkembangan geopolitik.

Jika kebanyakan pasaran global ditutup rendah akibat kebimbangan ekonomi, sentimen negatif tersebut mungkin turut memberi kesan kepada Bursa Malaysia pada keesokan harinya.

Namun begitu, ini bukan bermaksud semua saham akan jatuh. Ada kalanya saham yang mempunyai asas perniagaan kukuh masih mampu bertahan walaupun pasaran keseluruhan lemah.

Jangan Terlalu Taksub Mengejar Saham Yang Sedang Melonjak

Antara kesilapan yang sering dilakukan oleh pelabur baharu ialah membeli saham hanya kerana melihat kenaikan harga yang mendadak. Mereka takut terlepas peluang atau lebih dikenali sebagai Fear of Missing Out (FOMO).

Hakikatnya, saham yang naik terlalu cepat juga berpotensi mengalami pembetulan harga yang pantas. Sebab itu pelabur yang berpengalaman lebih mengutamakan pengurusan risiko. Mereka tidak terlalu tamak dan sentiasa mempunyai pelan untuk mengambil keuntungan apabila sasaran telah dicapai.

Seperti kata pelabur terkenal Warren Buffett:

“Be fearful when others are greedy, and be greedy when others are fearful.”

Prinsip ini mengingatkan kita supaya tidak mudah dipengaruhi emosi pasaran.

Contoh Rutin Harian Seorang Pelabur

Bayangkan Hafiz bekerja sepenuh masa sebagai jurutera. Beliau tidak mempunyai masa untuk melihat harga saham sepanjang hari.

Namun setiap malam selepas pulang bekerja, beliau memperuntukkan kira-kira 30 minit untuk:

  • membaca laporan kewangan yang baru diumumkan,
  • menyemak pengumuman dividen atau bonus,
  • membaca berita korporat,
  • melihat prestasi pasaran global,
  • dan mengemas kini senarai saham yang sedang dipantau.

Apabila pasaran dibuka keesokan harinya, beliau sudah mempunyai pelan tindakan. Ini jauh lebih baik daripada membeli saham secara spontan hanya kerana melihat harga sedang meningkat.

Rutin Yang Konsisten Lebih Penting Daripada Ramalan Yang Tepat

Ramai orang menghabiskan masa mencari “saham yang pasti naik”. Sedangkan pelabur yang berjaya lebih banyak menghabiskan masa membina disiplin.

Mereka memahami bahawa tiada siapa mampu meramal pasaran dengan tepat setiap masa. Apa yang boleh dikawal ialah proses membuat keputusan.

Semakin konsisten rutin yang diamalkan, semakin banyak maklumat yang dimiliki dan semakin baik keputusan yang boleh dibuat.

Kesimpulan

Kejayaan dalam pelaburan saham bukan hanya bergantung kepada kebolehan memilih saham yang berpotensi memberikan pulangan tinggi. Sebaliknya, ia bermula dengan disiplin membina rutin harian yang membantu pelabur memahami keadaan pasaran sebelum membuat sebarang keputusan.

Menyemak laporan kewangan, mengikuti pengumuman dividen dan tindakan korporat, membaca berita pasaran serta memantau sentimen global mungkin kelihatan seperti rutin yang kecil. Namun apabila dilakukan secara konsisten, semua ini membantu pelabur membuat keputusan yang lebih berasaskan fakta dan bukannya emosi.

Akhir sekali, ingatlah bahawa pelaburan bukan tentang siapa yang paling pantas membeli saham, tetapi siapa yang paling bersedia apabila peluang muncul. Dengan rutin yang betul, anda bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan dalam membuat keputusan, malah berpeluang menjadi pelabur yang lebih berdisiplin dan konsisten dalam jangka panjang.