Menelusuri Kisah Jutawan Beras Malaysia, Faiza Bawumi

Semua orang pasti kenal dengan jenama beras Herba Ponni Taj Mahal keluaran syarikat Faiza bukan? Kita juga mesti telah familiar dengan susuk wanita yang sering muncul dikaca televisyen bagi memberi sumbangan melalui program Bersamamu TV3.

Wanita ini merupakan salah satu contoh wanita yang berjaya dalam bidang perniagaan walaupun berstatus seorang isteri dan ibu.

Dilahirkan di Mesir dengan nama Faiza Bawumi Sayed Ahmad, wanita ini mula menjejakkan kaki ke Malaysia mengikut suaminya pada tahun 1964. Pada mulanya Hajah Faiza mengaku yang dia tidak fasih untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Tetapi setelah 3 bulan, beliau akhirnya dapat menguasai bahasa ini.

Mula Bekerja Sejak Muda

Disebabkan beliau merupakan jenis orang yang tidak tahu duduk diam, pemilik Diploma dalam bidang jahitan ini kemudiannya mengambil upah sulaman. Upah yang diambil juga tidak mahal, hanya sekitar RM4 sahaja. Beliau kemudian mencuba nasib untuk menjual rempah yang diadun sendiri di bawah jenama Bunga Raya.

Tetapi, sambutan yang diterima kurang memberangsangkan. Hasil keuntungan meniaga rempah ini telah digunakan oleh Hajah Faiza untuk membuka kedai runcitnya sendiri. Dan bermula dari sinilah idea untuk menceburkan diri dalam perniagaan beras mula timbul.

Beliau mula melakukan kajian pasaran dengan bertanya dari kedai ke kedai sama ada mereka ingin membeli beras daripadanya sekiranya beliau ingin menjualnya kelak. Feedback yang diterima pula sangat positif.

Yakin dengan keupayaan diri, wanita kental ini kemudian memohon lesen pemborong beras dan mula menjual pelbagai jenis beras seperti beras wangi, beras basmathi dan beras siam dibawah jenama Bunga Raya.

Dalam tempoh sembilan tahun, beliau telah berjaya meluaskan jaringan perniagaannya sehingga ke Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Mula Bekerjasama Dan Melabur Ke Dalam Syarikat

Cuba untuk mempromosikan pemakanan sihat di negara ini, Hajah Faiza kemudian bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membuat kajian tentang khasiat beras ponni yang dikatakan baik untuk kesihatan terutama bagi penghidap diabetes. Hasil kajian yang diterima juga amat positif.

Beliau kemudian melabur jutaan ringgit untuk produk Taj Mahal di samping meminta hak eksklusif daripada BERNAS. Usaha yang ditabur selama ini membuahkan hasil apabila produknya mula mendapat perhatian daripada rakyat negara ini yang ingin menjaga pemakanan mereka.

Wanita yang pernah menerima anugerah Tokoh Ibu Mithali Perkim ini juga menanam impian untuk menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini. Mungkin kerana itulah, beliau mampu untuk mencipta kejayaan sehebat ini.

Kini syarikatnya bukan sahaja menumpukan kepada pengedaran beras tetapi juga kepada produk makanan lain seperti rempah, tepung, bihun dan sebagainya. Sifatnya yang suka bekerja sehingga ke usia senja wajar dijadikan contoh oleh para belia di luar sana.

Semoga selepas ini lebih banyak ramai usahawan Bumiputera hebat yang bakal muncul di Malaysia.

Sumber Rujukan:

Jemput baca juga 5 Usahawan Wanita Malaysia Yang Berjaya untuk dapatkan lebih banyak inspirasi untuk berjaya dunia dan akhirat.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.