Ray Dalio: Ekonomi Dunia Sedang Mengalami “The Great Sag”

Ray Dalio merupakan seorang pelabur terkemuka di Amerika Syarikat. Beliau telah menubuhkan hedge fund sendiri yang dinamakan Bridgewater Associates pada tahun 1975. Kini, Bridgewater Associates merupakan hedge fund terbesar di dunia, dengan dana sebanyak USD160 bilion. Kejayaan tersebut juga telah menjadikan Ray Dalio orang ke-58 paling kaya di dunia.

Baru-baru ini, Ray Dalio telah membuat satu kenyataan yang membimbangkan:

“This cycle is fading, we are now in the world in what I would call a ‘great sag’”.

Apakah yang beliau maksudkan itu? Jom kita sama-sama fahamkan.

Makna ‘The Great Sag’

‘Sag’ itu bermakna kendur. Apa yang dimaksudkan oleh Ray Dalio dengan ekonomi mengalami ‘The Great Sag’ ialah, apabila ekonomi tersebut tidak mengalami kemelesetan, namun dibelenggu kelembapan yang berpanjangan.

‘The Great Sag’ merupakan situasi ekonomi yang mirip dengan ekonomi tahun 1930-an. Pada waktu itu, Amerika Syarikat mengalami kemelesetan ekonomi selama 10 tahun sehingga ianya digelar ‘The Great Depression’. Ia merupakan krisis yang paling teruk pernah dialami oleh AS, yang dimulakan dengan kejatuhan pasaran saham sebanyak 11% pada hari Khamis 24 Oktober 1929 (Black Thursday).

Pada hari-hari yang menyusul, pasaran saham terus jatuh merudum sehingga nilainya menurun sebanyak 90% dan tidak pulih sehingga 25 tahun lamanya. Di antara tahun 1929 dan 1933, GDP pula susut daripada USD105 bilion ke USD57 bilion, iaitu penyusutan hampir 50%!

Kebangkitan Kuasa Besar, Polarisasi Politik, Dan Jurang Kekayaan

Seperti 1930-an juga, Amerika Syarikat kini sedang berhadapan dengan sebuah lagi kuasa besar dunia yang memberikan saingan sengit iaitu China. Kebangkitan ekonomi dan teknologi China sejak tahun 1979 sehingga kini, telah mencabar status quo AS sebagai kuasa terbesar dunia.

Situasi politik global kini juga membimbangkan kerana polarisasi ideologi politik kiri dan kanan yang bersifat populis, mencetuskan pertembungan yang hebat di antara penyokong-penyokong ideologi kapitalis dan sosialis. Di antara punca pertembungan ini, menurut Ray, ialah jurang kekayaan yang semakin membesar.

Hakikatnya di Amerika Syarikat, 0.1% yang teratas (top one-tenth of the top 1%) mempunyai nilai kekayaan yang sama dengan golongan 90% yang terbawah.

Bank Pusat Tidak Mampu Berdiri Sendiri

Bank pusat tidak mempunyai banyak ruang untuk merangsang semula pertumbuhan ekonomi, disebabkan oleh mekanisme yang terhad dan kadar faedah sedia ada yang sudah terlalu rendah. Contoh bank pusat yang menghadapi masalah ini ialah bank pusat Eropah (ECB), bank pusat Jepun (BOJ) dan bank pusat AS (The Fed).

Oleh itu, bank pusat di seluruh dunia perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan dasar fiskal yang boleh dilakukan secara serentak, dengan pelarasan dasar monetari untuk meningkatkan keberkesanan.

Ujar Ray lagi, terdapat empat jenis peperangan: perang perdagangan, perang teknologi, perang matawang, dan perang geopolitik. Malangnya, kesemuanya sedang berlaku pada masa yang sama, oleh itu konflik yang kita sedang hadapi menjadi lebih banyak dari sebelumnya.

Bezanya kali ini, ekonomi sedunia tidak akan jatuh ke dalam krisis yang teruk seperti 1930-an tetapi berkemungkinan akan mengambil masa yang lama untuk pulih.

Mengenali ‘The Great Sag’

Ciri-ciri ‘The Great Sag’:

  • Kelembapan ekonomi yang berpanjangan, tetapi tidak meleset
  • Perdagangan dunia menjadi lembap
  • Kadar faedah yang rendah
  • Dasar kewangan bank pusat yang kurang efektif
  • Syarikat-syarikat tidak membuat pinjaman baru
  • Kebanyakan orang lebih gemar menyimpan daripada berbelanja
  • Kadar inflasi yang rendah
  • Hasil jualan dan keuntungan syarikat yang agak mendatar dari tahun ke tahun
  • Produktiviti tidak meningkat
  • Risk appetite pelabur yang rendah
  • Jurang kekayaan semakin besar
  • Ideologi politik yang bersifat ekstrem dan populis mendapat sambutan

Akhir Kata

Sejauh manakah kebenaran kata-kata Ray Dalio? Hanya masa yang akan menentukan. Kita masih belum dapat mengetahui hasil usaha bank pusat seluruh dunia untuk mengatasi kelembapan ekonomi setakat ini.

Sebagai pelabur, kita perlu mempersiapkan diri dan bijak mencari peluang untuk menjana pendapatan tanpa mengira situasi ekonomi.

Semoga bermanfaat.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana organisasi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.