Phil Fisher: The Sherlock Holmes Of Investing

Jika Benjamin Graham mendapat jolokan sebagai The Dean Of Wall Street dan The Father Of Value Investing, manakala Phil Fisher pula dikenali sebagai The Sherlock Holmes Of Investing dan The Father Of Growth Investing.

Bagi sesiapa yang menggunakan falsafah pelaburan seperti Warren Buffett, kena ambil tahu juga pasal Phil Fisher ni. Sebab apa?

Sebab Phil Fisher merupakan salah satu inspirasi falsafah pelaburan yang diguna pakai oleh Warren Buffett.

Jom kita kenali beliau dengan lebih dekat lagi.

Kehidupan Awal

Philip Arthur Fisher (Phil Fisher), dilahirkan pada 8 September 1907 dan meninggal pada 11 Mac 2004. Menurut Fisher, salah satu ikon utama beliau dalam kehidupan adalah merupakan ayahnya sendiri.

Ini kerana ayah beliau merupakan seorang individu yang luar biasa dan tidak pernah mengutamakan wang untuk hidup. Ayahnya lebih banyak menonjolkan sifat kemanusiaan berbanding mencari harta semata-mata.

Kalau nak tahu, Phil Fisher mula mengenali dunia pasaran saham ketika beliau berusia 12 tahun. Beliau melihat pasaran saham sebagai satu cara permainan yang dapat menawarkan peluang kepadanya untuk menjana keuntungan, melalui pemilihan syarikat dan pengarah syarikat yang baik.

Pada mulanya, Fisher mendapatkan pendidikan dengan baik. Beliau telah memulakan persekolahan di kolej seawal usia 15 tahun dan pada umur 16 tahun beliau menyambung pendidikannya di Universiti Stanford.

Zaman Kolej

Salah seorang profesornya iaitu Dr. Emmett merupakan perunding pengurusan dan telah mengajar dalam kelas pengurusan perniagaan. Mentor yang banyak mengajar beliau mengenali dunia perniagaan ialah Dr. Emmett.

Sebagai contoh, Dr. Emmett membawa Fisher dan rakan sekelasnya melawat kilang dan menerangkan bagaimana sesebuah perniagaan berfungsi dengan baik, pada setiap hari Rabu.

Fisher mendakwa, di atas tunjuk ajar gurunya beliau dapat memahami bagaimana melakukan wawancara dan mengenali komponen asas yang berjaya, di antaranya pengurusan syarikat yang baik, kualiti produk, dan pemasaran.

Hasil daripada lawatan-lawatan yang mereka lakukan, beliau telah terinspirasi untuk bercita-cita menjadi pengurus kewangan (money manager) selepas menamatkan zaman kolej beliau.

Alam Pekerjaan

Selepas menamatkan pembelajaran, Fisher telah bekerja sebagai security analyst. Selepas itu beliau telah memulakan perniagaannya sendiri iaitu sebagai pengurus kewangan, pada tahun 1931(semasa berlakunya fenomena The Great Depression).

Namun beliau sedikit kurang bernasib baik, kerana sehingga tahun 1933, Fisher masih lagi bergelut dengan masalah untuk mencari keuntungan dalam dunia kewangan. Dow Jones telah mengalami kemerosotan melebihi 90%, sehingga tahun 1932.

Para pelabur mengalami kerugian yang paling teruk dalam sejarah negara Amerika Syarikat.

Menempah Kejayaan

Sungguhpun begitu, ada sesuatu yang telah menarik perhatian beliau. Semasa melakukan lawatan pembelajaran di kolej dulu, terdapat sebuah syarikat yang berjaya mencuri perhatiannya. Kini syarikat tersebut berjaya disenaraikan di pasaran saham (public listed).

Lebih menarik perhatian beliau, apabila syarikat tersebut disenaraikan, harga saham telah jatuh daripada $50 seunit kepada $4 seunit. Saham yang beliau maksudkan ialah Food Machinery ataupun pada masa kini dikenali sebagai FMC.

Fisher tahu semasa dia melalui zaman persekolahannya, beliau sering melakukan kajian mendalam terhadap FMC. Fisher mendapati, FMC berjalan dengan lancar dan mempunyai kualiti produk yang cemerlang. 

Dia memanfaatkan kesempatan membeli saham untuk pelanggan dan dirinya sendiri secara pukal.  Apabila pasaran berubah menjadi lebih positif, dan FMC merupakan kejayaan besar untuk Fisher dan pelanggannya apabila harga saham meningkat naik.

Ini merupakan di antara kenyataan Phil Fisher mengenai pelaburannya ketika itu.

“Saya memegang saham tersebut, sehingga mencapai titik yang  saya rasa syarikat itu tidak akan terus mempunyai skala pertumbuhan yang ada pada tahun-tahun sebelumnya. Saya kemudiannya menjual saham pelanggan saya dan diri saya sendiri”.

Phil Fisher

Tahukah anda, dengan kenaikan tersebut, beliau berjaya mencipta rekod keuntungan lebih daripada 50 kali ganda berbanding jumlah pelaburan asal. Melalui rekod cemerlang tersebut, beliau berjaya mendapat reputasi sebagai pengurus kewangan atau pelabur tersohor yang dikenali seluruh Wall Street.

Selepas mencipta keuntungan tinggi tersebut, beliau telah meletak jawatan sebagai pengurus kewangan, dan hanya melabur menggunakan wangnya sendiri.

Ke Mana Tumpahnya Kuah, Kalau Tak Ke Nasi

Jika ada sesuatu yang boleh membanggakan Phil Fisher dan para pelabur lain, mungkin rekod beliau yang telah berjaya melahirkan pelabur yang cemerlang melalui 3 generasi keluarganya.

Selepas beliau menempah nama sebagai pelabur yang disegani, beliau disusuli oleh anaknya Kenneth Fisher (pengurus kewangan), dan cucunya Clay Fisher, (merupakan seorang pelabur dan penulis ketika masih berumur 16 tahun).

Dalam catatan, Clay telah menulis buku rujukan pelaburan saham kepada pelabur muda, seawal usianya 16 tahun. Manakala, Kenneth Fisher pula merupakan salah satu penulis “Portfolio Strategy” dalam majalah terkenal Forbes, dan juga Pengasas, Ppengerusi, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Fisher Investments.

Walaupun Ken banyak belajar dengan bapanya tentang dunia pelaburan, namun beliau lebih ke arah gaya pelaburan yang tersendiri. Ken lebih terkenal dalam penggunaan komputer dalam memeriksa atau menyemak portfolio-portfolio saham beliau. Beliau lebih banyak menekankan mengenai angka nombor statistik dalam dunia kewangan, menilai kitaran perniagaan dan bertindak balas terhadap keadaan semasa ekonomi dan pasaran saham.

Pada umur 92 tahun Phil Fisher percaya bahawa, penting untuk warga tua untuk terus aktif. Beliau menganggap umurnya yang panjang disebabkan beliau mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Ibarat seperti seorang pahlawan dalam dunia pelaburan, Phil Fisher terlalu banyak jasa dan sumbangan yang telah diberikan dalam dunia pelaburan.

Phil Fisher telah menghasilkan jutaan wang untuk pelanggan dan dirinya sendiri, melalui proses penyiasatannya untuk mencari saham yang sangat menguntungkan.

The Sherlock Holmes Of Investing telah memecahkan misteri-misteri dalam dunia pelaburan, menggunakan bakat penyiasatan detektif tersohor melalui kuasa pemerhatian, persoalan yang penuh seni dan menggabungkan pemikiran akal yang logik. Phil sentiasa mencari syarikat yang berkembang dengan pengurusan dan produk yang sangat baik, serta kelebihan daya saing yang kuat, dan potensi keuntungan yang luar biasa.

Beliau juga merupakan di antara pelopor dan bapa kepada sistem growth stock investing (pelaburan saham pertumbuhan). Phil telah menerima banyak pengiktirafan antarabangsa apabila beliau menghasilkan buku Common Stocks and Uncommon Profits. Buku tersebut diterbitkan pada tahun 1958 dan diterbitkan sekali lagi dengan wajah dan penulisan baru pada tahun 1997, oleh Fisher sendiri.

Tahukah anda selain anak dan cucunya, beliau juga salah satu individu yang bertanggungjawab membantu salah seorang manusia terkaya dalam dunia pelaburan. Individu yang dimaksudkan, tidak lain dan tidak bukan adalah Warren Buffett.

Menurut Buffett, setelah membaca buku hasil tangan Phil Fisher, beliau tanpa memperlengahkan masa, terbang ke California bertemu Fisher, dan menuntut ilmu dan strategi pelaburan terus dengan beliau.

Sekarang ramai pula yang menuntut ilmu dengan Warren Buffett kan? Sampai sanggup menghabiskan jutaan ringgit untuk belajar terus dengan beliau.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Keuntungan Bersih Keyfield Naik 171 Peratus Kepada RM56.14 Juta Pada Suku Pertama

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih Keyfield International Bhd melonjak sebanyak 171 peratus kepada RM56.13 juta bagi suku pertama 2026, berakhir pada 31 Mac 2026 berbanding RM20.67 juta pada suku pertama 2025.

Bagaimanapun, perolehan bagi suku tersebut susut 45.6 peratus kepada RM 47.18 juta daripada RM 86.74 juta pada suku pertama 2025, disebabkan oleh aktiviti penyewaan yang berkurangan sebanyak 55 peratus kepada RM32.7 juta.

Dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, Keyfield International mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.0 sen sesaham pada suku pertama 2026 yang akan dibayar pada 16 Jun, 2026.

Ketua Pegawai Kewangannya, Eugene Kang berkata pendapatan kapal terjejas oleh penggunaan lebih rendah pada suku tersebut kerana kebanyakan kapal disewa pada suku pertama adalah kapal tunda dan bekalan (AH’TS) bagi pengendalian kapal sauh, justeru permintaan dan penggunaan cenderung untuk kekal stabil sepanjang tahun.

“Kumpulan ini juga menghadapi kos operasi lebih tinggi terutamanya perbelanjaan bahan api, susulan kenaikan harga bahan api selepas tercetusnya perang pada awal bulan Mac.

“Harga bahan api meningkat sejurus selepas perang dan kekal tinggi. Sisi positifnya ialah sebaik sahaja kapal-kapal itu disewa dari awal April dan seterusnya, kebanyakan kos bahan api telah ditanggung oleh pelanggan,” katanya.

Sementara itu, kadar penggunaan menurun kepada 36.1 peratus untuk armadanya pada suku pertama 2026 daripada 44.1 peratus sebelumnya.Kang berkata Keyfield menjangkakan penggunaan akan meningkat secara progresif sepanjang suku akan datang, diunjurkan sekitar 70 peratus pada suku kedua dan melebihi 80 peratus pada suku ketiga, dan berpotensi mencapai 90 peratus, walaupun dok kering berjadual untuk satu atau dua kapal mungkin mengehadkan kemungkinan mencapai penggunaan penuh.

Beliau juga menjangkakan prestasi yang lebih baik pada suku keempat kerana projek yang dimulakan lewat tahun ini dijangka terus menyumbang pendapatan menjelang akhir tahun.

Mengenai operasi luar negaranya, Kang berkata Timur Tengah kekal sebagai pasaran utama kumpulan untuk kapal sokongan luar pesisir (OSV), memandangkan peranan dominan rantau ini dalam industri minyak dan gas global.

“Kami kini mempunyai lima kapal di Timur Tengah, dengan empat sudah beroperasi. Sebuah kapal, pada asalnya dijadualkan memulakan operasi pada akhir Mac atau awal April telah ditangguhkan hingga akhir Mei atau awal Jun disebabkan oleh kekangan bekalan.

“Secara keseluruhan, operasi Timur Tengah kami tidak terjejas oleh konflik tersebut kerana kapal-kapal tersebut tidak melalui Selat Hormuz,” katanya.

Walaupun Timur Tengah penting untuk mempelbagaikan asas pendapatannya, Kang berkata pengembangan lebih lanjut ke rantau ini membawa beberapa risiko dalam situasi semasa.

Mengenai momentum peningkatan pemberian tender tempatan, beliau berkata peluang muncul di semua rantau, walaupun Semenanjung Malaysia dan Sabah kini menyaksikan bahagian tender yang lebih besar berbanding dua hingga tiga tahun lepas.

Beliau berkata bahawa walaupun Sarawak terus menyumbang dari segi kontrak, tumpuan aktiviti tender telah beralih lebih kepada Semenanjung Malaysia.

— BERNAMA