Alliance Islamic Bank Melancarkan Program Halal in One

Putrajaya, 7 Januari 2020 – Alliance Islamic Bank Berhad (“Alliance Islamic Bank”), subsidiari Alliance Bank Malaysia Berhad, hari ini melancarkan Program Halal in One, sebuah ekosistem enterpris Halal yang bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan peluang dalam segmen ini.

Program ini menawarkan para pemilik perniagaan yang menerokai industri Halal dengan penyelesaian hujung ke hujung termasuk khidmat nasihat perniagaan, khidmat pemadanan perniagaan dan pembiayaan patuh syariah.

Sempena dengan pelancaran Program Halal in One, Alliance Islamic Bank telah menandatangani Memorandum Persefahaman (“MoU”) dengan rakan strategik, HQC Commerce Sdn Bhd. Acara menandatangani perjanjian telah disaksikan oleh Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Pengarah, Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM, yang turut merasmikan majlis pelancaran.

Kiri ke Kanan: Dato’ Hj. Khairul Shahril bin Hj. Hamzah, Chief Executive Officer of HQC Commerce Sdn Bhd, Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Director of Malaysia Halal Council Secretariat JAKIM, Mr. Rizal IL-Ehzan Fadil Azim, Chief Executive Officer of Alliance Islamic Bank, and Mr. Noor Azmi Mat Said, Chief Executive Officer of SME Corporation Malaysia

“Malaysia merupakan antara peneraju utama industri Halal menerusi ekosistem ekonomi Halal yang kukuh dengan tumpuan yang berterusan dalam membangunkan pembiayaan Islam global. PKS di Malaysia mempunyai kelebihan untuk menceburi segmen Halal global yang dijangka berkembang kepada US$3.0 trilion pada 2023. Namun sehingga 2018, 90% daripada PKS Malaysia masih belum memiliki sijil Halal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Encik Rizal IL-Ehzan Fadil Azim.

“Program Halal in One menawarkan khidmat nasihat perniagaan oleh perunding Halal bagi membantu PKS memperoleh sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). PKS juga dapat menghadiri program latihan kesedaran Halal yang disediakan secara percuma. Kami menyokong khidmat nasihat yang kami sediakan dengan penyelesaian perbankan Halal termasuk pembiayaan khas, penyelesaian pembayaran gaji, dan Takaful enterpris serta peluang pemadanan perniagaan berasaskan Halal.”

Menerusi Halal in One, Bank merancang untuk membentuk sebuah ekosistem yang terdiri daripada rakan-rakan strategik yang memiliki pelbagai kepakaran berasaskan Halal bagi membantu para pemilik perniagaan mengembangkan perniagaan mereka dalam sektor ini.

Ketua Pegawai Eksekutif HQC Commerce Sdn Bhd, Dato’ Hj. Khairul Shahril bin Hj. Hamzah, berkata, “Permintaan global terhadap produk Halal sedang meningkat dengan pesat. Sijil Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM mendapat pengiktirafan dan dihormati di seluruh dunia. Faktor ini memberikan kelebihan kepada perniagaan di Malaysia. Menerusi perkongsian dengan Alliance Islamic Bank, kami berharap agar dapat berhubung dengan lebih ramai pemilik perniagaan dan PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan memanfaatkan pasaran Halal.”

“Program Halal in One kami merupakan sebuah ekosistem inklusif yang menggabungkan semua elemen yang diperlukan oleh perniagaan untuk berkembang dalam segmen Halal: khidmat nasihat dan pemadanan perniagaan, persijilan halal dan pendanaan. Kami percaya bahawa usaha yang kami lakukan ini dapat membantu menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pembekal utama perkhidmatan sokongan Halal serta menjadi pusat kecemerlangan dalam kewangan Islam,” kata Encik Rizal IL-Ehzan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Program Halal in One Alliance Islamic Bank, sila layari:

https://www.alliancebank.com.my/Alliance-Islamic-Bank-Berhad/Home.

 # # #

Mengenai Alliance Islamic Bank Berhad

Alliance Islamic Bank Berhad (AIS) ialah subsidiari milik penuh Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank), dan menawarkan pelbagai pilihan produk dan perkhidmatan patuh Syariah untuk para pengguna dan juga perniagaan.

AIS merupakan penyokong inisiatif yang menggalakkan dan mewujudkan impak positif kepada perniagaan, komuniti dan persekitaran.  

Mengenai HQC Commerce Sdn Bhd

HQC Commerce Sdn Bhd adalah salah satu Rakan Strategi untuk Malaysia International Halal Academy (MIHA), JAKIM dalam menyediakan nasihat dan bimbingan, latihan dan program pembangunan kapasiti.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.