5 Fakta Industri Hartanah Anda Wajib Tahu Bagi Tahun 2020

Isu lambakan hartanah tidak terjual di Malaysia khususnya bandar-bandar utama seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Georgetown tidak menampakkan tanda akan berhenti dalam masa terdekat ini.

Perkara ini menjadi semakin parah apabila Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan setakat Jun 2019 yang lalu, hampir 80% pembeli rumah gagal mendapat pinjaman pembiayaan hartanah.

Selain daripada rekod dan skor kredit yang lemah, harga rumah yang ingin dibeli adalah tiga kali ganda atau lebih daripada nisbah pendapatan tahunan pembeli rumah itu sendiri!

“Soalnya, mengapa mereka tidak membeli rumah mengikut kelayakan mereka?”

Terdapat beberapa negeri yang mencatatkan nisbah tahap kemampuan memiliki rumah menurun kerana kediaman tersebut dinilai sebagai sangat tidak dapat dibiayai dan juga tidak mampu dibiayai.

Jelas sekali isu hartanah di Malaysia tidak terbatas kepada lambakan hartanah mewah tidak terjual, bahkan juga kekurangan bekalan rumah mampu milik di setiap peringkat.

Berikut merupakan beberapa fakta dan rumusan yang terkumpul hasil daripada kajian dan tinjauan yang dilaksanakan REHDA berkenaan industri hartanah di Malaysia.

1. Pasaran Hartanah Kediaman Terus Berdepan Cabaran

Isu ‘mismatch’ dalam hartanah di mana penawaran hartanah kediaman tidak menepati permintaan hartanah kediaman dijangka akan berkurangan.

Pemaju dilihat sudah ‘tersedar dari lamunan’ dan mula fokus untuk pembangunan hartanah kediaman bagi kurungan harga RM500,000 ke bawah.

Akan tetapi, cabarannya adalah lebih kepada harga dan jenis hartanah yang ditawarkan pemaju. Berdasarkan data dari JPPH, harga median bagi hartanah jenis teres di Selangor untuk Januari 2019 – Oktober 2019 adalah pada harga RM460,000.

Isu seterusnya adalah bagaimana pemaju hartanah menyelesaikan isu lambakan hartanah yang tinggi di pasaran.

Untuk rekod, terdapat 478,258 unit bekalan baru hartanah untuk hanya 449,050 isi rumah di Kuala Lumpur pada 2018.

2. Permintaan Yang Tinggi Terhadap Hartanah Kediaman

Semenjak awal penubuhan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 1964 dan dipengerusikan Tuan Khaw Kai Boh, bekalan untuk rumah mampu milik atau kos rendah tidak pernah mencukupi hatta sehingga ke hari ini.

Bekalan yang terbatas menyebabkan permintaan untuk rumah mampu milik di bawah kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri semakin meningkat.

Buktinya, kempen HOC yang dilancarkan pada Januari yang lalu telah berjaya menjual kira-kira 28,000 unit hartanah kediaman pelbagai jenis di seluruh Malaysia.

Ini merupakan satu rekod tertinggi semenjak tahun 2015 dan berjaya membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 2.8% setakat November 2019 yang lalu.

3. Rumah Mampu Milik Kekal Menjadi Fokus Utama

Dengan kejayaan kempen Home Ownership Campaign (HOC) berjaya menjual hartanah dengan nilai melebihi RM13 bilion, RM10 bilion melebihi sasaran asal iaitu RM3 bilion; ini membuktikan permintaan bagi rumah mampu milik kekal tertinggi di kalangan rakyat Malaysia.

Apa yang lebih mengejutkan adalah lebih 70% daripada  pinjaman yang diluluskan sepanjang tahun 2018 sehingga 2019 adalah dari pembeli rumah pertama yang dengan harga rumah di bawah RM500,000.

Sayangnya, peruntukan untuk rumah mampu milik berdasarkan Belanjawan 2020 adalah sifar dan kerajaan hanya memperuntukkan 5,000 unit rumah mampu milik di Bandar Malaysia.

4. Rumah Mampu Milik Sebagai Pasaran Baru Pemaju Hartanah

Pemaju harus melihat rumah mampu milik yang dibina Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai satu peluang dan ruang dalam pasaran untuk mereka tembusi.

Hal ini kerana, pasaran untuk rumah mampu milik mewakili hampir 70% isi rumah di Malaysia, satu jumlah yang amat besar.

Setakat Disember 2019, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan jalinan kerjasama dalam membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri menerusi menerusi Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR).

5. Hartanah Tidak Terjual Ambil Masa Untuk Pulih

24,738 unit hartanah tidak terjual pada tahun 2017 yang meningkat 30.6% kepada 32,313 unit pada 2019 akan mengambil masa yang lama untuk terjual memandangkan unjuran ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pemaju hartanah wajar fokus kepada pasaran kediaman mampu milik sementara menunggu industri hartanah pulih sebelum menyelesaikan isu hartanah tidak terjual ke satu fasa yang benar-benar pulih.

Kerajaan pula boleh memainkan peranan dengan melaksanakan dasar atau kempen yang menggalakkan pembelian hartanah seperti pengecualian cukai dan kempen Home Ownership Campaign (HOC) yang terbukti berkesan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman