Sub Topik
Berikutan penularan wabak yang dikenali sebagai 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV), pelbagai negara telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan halangan di sempadan bagi beberapa jenis pelancong, terutamanya yang berasal dari Wuhan.
Menurut laporan situasi dari WHO pada 28 Januari 2020, jumlah kes nCoV yang dikenalpasti telah mencecah setinggi 4,593 kes di seluruh dunia, dengan sejumlah 6,973 kes disyaki nCoV. Selain 4,537 kes di China, terdapat sebanyak 56 kes yang telah dikenalpasti di 14 negara di seluruh dunia, termasuklah Malaysia.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, setakat ini terdapat 8 kes yang telah dikenalpasti sebagai nCoV di negara ini. Namun, pihak berwajib telah menjalankan tugas dengan baik untuk mengehadkan penularan wabak tersebut di Malaysia, kerana saringan yang ketat telah dilaksanakan di sempadan dan penerbangan dari Wuhan telah disekat serta-merta.
Atas usaha ini, 7 kes nCoV yang dikenalpasti hanyalah melibatkan rakyat China dan kini mereka telah dikuarantinkan, menjadikan risiko penularan agak rendah.
WHO telah mengklasifikasikan risiko nCoV di China sebagai Very High, manakala di skala rantau dan global, risiko nCoV diklasifikasikan sebagai High. Setakat ini, kadar kematian nCoV hanyalah 3-4%, berbanding sekitar 10% yang dialami dengan SARS.
*Pada 30 Januari 2020, WHO baru saja mengisytiharkan wabak ini sebagai kecemasan di seluruh dunia.


Data terkini setakat 30 Januari, sebanyak 8,236 kes positif telah dicatatkan dengan 171 kematian.
Kesan Kepada Ekonomi Dunia
Tak dapat dinafikan bahawa kesan penularan wabak nCoV sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada ekonomi global. Wabak ini adalah seperti sejarah yang berulang, mengingatkan kita tentang wabak SARS pada tahun 2002-2003. Wabak yang membunuh hampir 800 orang sebelum ini, seperti nCoV, juga bertitik tolak dari China.
Akhirnya, SARS telah melembapkan KDNKK China secara drastik, dari 11.1% pada suku pertama 2003 ke 9.1% ke suku kedua 2003. nCoV juga diramalkan akan mencapai kesan yang sama sekiranya wabak ini tidak dibendung, tambahan lagi wabak ini menyerang ketika Tahun Baru Cina, di mana aktiviti ekonomi adalah antara yang tertinggi.
Dengan sekatan perjalanan udara, keretapi, dan jalanraya di China, aktiviti hotel, kedai makan, dan aktiviti lain yang berkaitan pelancongan dijangkakan akan menerima kesan negatif.
Namun, Louis Kuijs, seorang ahli ekonomi di Oxford Economics menjangkakan bahawa kesannya akan bersifat sementara walaupun besar, seperti sebuah bom letupan yang tidak meninggalkan kesan setelah beberapa saat. Inilah yang berlaku ketika penularan wabak SARS dahulu.
Nicholas Lardy, seorang pakar ekonomi di Peterson Institute for International Economics di Washington mempunyai pendapat berlainan. Menurutnya, Wuhan adalah bagaikan Chicago China – sebagai antara hab industri yang terbesar di China, kuarantin yang ketat ataupun lockdown akan memberikan impak yang lebih besar dari SARS.
Lebih-lebih lagi, kerajaan China telah melanjutkan cuti perayaan Tahun Baru Cina sehingga 2 Februari supaya wabak dapat dibendung. Ini sudah tentunya akan menjejaskan produksi.
Kini, China tidak lagi mempunyai ruang yang banyak untuk merangsang ekonomi untuk berdepan dengan kelembapan kerana kadar hutang keseluruhan sedia ada yang sudah tinggi, dianggarkan 304% kepada KDNKK. Kadar hutang kerajaan pula ialah setinggi 52.50% kepada KDNKK.
Kelembapan ekonomi ini dijangkakan akan dirasai secara global, kerana ekonomi China menyumbangkan sekitar 18% kepada ekonomi global. Bak kata ahli-ahli ekonomi, “when China sneezes, the world catches a cold”.
Menurut NY Times, sekatan akan menyebabkan import bijih besi dari Australia dan India terganggu, mengurangkan produksi di kilang-kilang China dan menjejaskan produksi cip komputer dan paparan panel kaca (glass panel display) di Malaysia dan Korea Selatan. Ia juga boleh menjejaskan mesin kilang dan komponen automotif yang dihasilkan di Jerman, Republik Czech, Hungary dan Poland.
Agathe Demarais, pengarah pengunjuran global di Economist Intelligence Unit mengatakan bahawa masih terlalu awal untuk menilai kesan penularan nCoV kepada ekonomi global. Sekiranya ia berlanjutan dan mengakibatkan kadar kematian yang sangat tinggi, ia akan menyebabkan sekatan perjalanan udara yang lebih meluas dan dan menjejaskan ekonomi global.
The Conference Board menganggarkan kadar KDNKK US pada suku pertama 2020 ialah 2.2%. Sekiranya sekatan perjalan yang ketat dikenakan, Moody’s Analytics menganggarkan KDNKK US berkurang sebanyak 0.1% pada suku pertama 2020, menjadikannya serendah 2.1%.
S&P Global telah menerbitkan sebuah kertas kerja yang menggariskan kesan-kesan kepada aktiviti ekonomi secara kasar. Menurutnya, penularan wabak koronavirus akan menjejaskan perbelanjaan isi rumah, perbelanjaan kapital syarikat, perbelanjaan kerajaan, aktiviti perdagangan dan mengurangkan bekalan untuk industri pembuatan dan perkhidmatan.
Negara yang terkesan seperti China juga akan mengalami aliran dana keluar, yang menurunkan harga aset seperti saham, hartanah dan nilai matawang.
Kesimpulan
Ada kemungkinan besar aktiviti ekonomi dunia dan Malaysia menjadi sedikit perlahan buat masa yang terdekat dan memberi kesan kepada kehidupan sesetengah masyarakat, namun yang lebih penting ialah keselamatan orang awam.
Kita sepatutnya bersyukur kerana pihak berwajib telah menjalankan tanggungjawab dengan baik, kerana berjaya menyekat penularan wabak dengan SOP yang mampan dan nasihat panel pakar yang bertauliah.
Pada masa yang sama, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan menurut saranan Kementerian Kesihatan dan sentiasa mengambil tahu perkembangan semasa wabak nCoV ini.
Sumber Rujukan:
- https://www.nytimes.com/2020/01/27/business/coronavirus-china-economic-impact.html
- https://www.marketwatch.com/story/heres-how-the-stock-market-has-performed-during-past-viral-outbreaks-as-chinas-coronavirus-spreads-2020-01-22
- https://www.marketwatch.com/story/economic-hit-from-coronavirus-likely-to-be-short-lived-but-its-still-a-little-scary-frankly-2020-01-27
- https://www.spglobal.com/en/research-insights/articles/coronavirus-in-china-early-thoughts-on-the-economic-impact
- https://www.conference-board.org/data/usforecast.cfm
Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.
Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.
Tidak dapat dinafikan corona virus Covid telah memberi impak yang besar kepada ekonomi dunia. Ada yang menjangkakan kesannya ialah depressi ekonomi seperti yang berlaku pada tahu 1920-an.
Memang jelas semua orang dan bisnes tidak bergerak kerana perintah berkurung atau sekatan pergerakan.
Inisiatif kewangan yang dilakukan oleh Kerajaan diharap dapat meminimakan impak virus ini