6 Krisis Kewangan Yang Perlu Kita Tahu (Yang Terkini Covid-19)

Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri melalui perutusan khas telah mengumumkan tempoh perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020. Pengumuman ini adalah sebagai satu langkah pencegahan dari menularnya kes Covid 19.

Menularnya wabak Covid 19 ini juga secara langsung menyebabkan gangguan aktiviti ekonomi bukan sahaja di dalam negara, tetapi di seluruh dunia.

Jom kita tengok 6 krisis kewangan dan ekonomi (termasuk Covid-19) yang pernah dan sedang melanda dunia.

1. Krisis Kredit 1777

Ini adalah antara krisis kewangan yang terawal di dunia. Pada masa itu, pihak British mengaut keuntungan yang besar hasil daripada dasar imperalisme iaitu mengaut keuntungan daripada sumber asli di tanah jajahan mereka. Situasi ini menyebabkan bank mudah memberikan pinjaman kredit.

Krisis bermula pada 1777 apabila Alexander Fordyce, iaitu salah seorang rakan kongsi bank utama di British telah melarikan diri ke Perancis untuk mengelak diri dari pembayaran hutang. Ia telah menyebabkan situasi panik di mana pendeposit telah mengeluarkan wang mereka dari bank secara pukal dan bank telah kekurangan tunai.

Krisis ini kemudiannya telah merebak ke beberapa negara Eropah yang lain.

2. Great Depression 1929-1939

Ia bermula dengan kejatuhan Wall Street pada 1929 dan merebak dengan cepat ke seluruh dunia. Kejatuhan pasaran saham menyebabkan bermulanya pengangguran dan kemiskinan. Ditambah pula dengan kesilapan Kerajaan Amerika Syarikat membuat polisi ekonomi.

Untuk rekod, kadar pengangguran telah meningkat dari 14.3% pada tahun 1937 kepada 19% pada 1938. Krisis ini telah menyebabkan banyak negara hilang sumber pendapatan dan ianya mengambil masa 10 tahun untuk kembali pulih.

3. Perubahan Harga Minyak OPEC 1973

OPEC atau nama penuhnya Organisasi Pengeksport Petroleum telah menghentikan eksportnya ke Amerika Syarikat dan Negara Bersekutu. Ini adalah sebagai tanda bantahan di atas bantuan ketenteraan Amerika Syarikat kepada Israel.

Untuk makluman, majoriti ahli OPEC adalah terdiri dari negara-negara Islam seperti Iran, Kuwait, Arab Saudi, dan Iraq. Situasi ini menyebabkan pengurangan bekalan minyak dan menyebabkan harga minyak melonjak secara mendadak.

Ia telah mengakibatkan krisis ekonomi di Amerika Syarikat dan Negara sekutunya.

4. Krisis Ekonomi Asia 1997

Krisis pada tahun 1997 ini telah bermula di Thailand sebelum merebak ke negara lain seperti Malaysia dan Indonesia. Spekulasi aliran modal telah menyebabkan pertambahan pemberian kredit secara drastik dan pengumpulan hutang.

Kerajaan Thailand telah menukar kadar pertukaran mata wang terhadap Amerika Syarikat menyebabkan situasi panik berlaku di mana banyak negara menarik pelaburan di Asia.

Malaysia yang turut terkesan dengan situasi ini adalah antara negara terpantas yang berjaya memulihkan ekonominya. Malaysia telah menolak bantuan IMF (International Monetary Fund) tetapi telah menambat ringgit dan Perdana Menteri pada masa itu telah memperkenalkan dasar kawalan modal.

5. Krisis Ekonomi 2008

Pasaran harga rumah telah jatuh mendadak sehingga menyebabkan kejatuhan Lehman Brothers, iaitu bank pelaburan keempat terbesar di Amerika Syarikat. Ini menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat terpaksa memberikan bantuan kepada Lehman Brothers dan mempengaruhi perdagangan import dan eksport Amerika Syarikat.

Situasi ini telah menyebabkan krisis kewangan di seluruh dunia. Kesan daripada krisis ini menyebabkan keyakinan pelabur berkurangan dan kadar pengangguran meningkat.

6. Covid-19 (terkini)

Kes pertama virus ini berlaku di sebuah pasar di Wilayah Wuhan, China pada November 2019. Virus ini begitu cepat merebak menyebabkan China mengambil langkah membina hospital sementara bagi menempatkan pesakit yang dijangkiti.

Ia kemudiannya merebak ke negara-negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, Itali, Iran dan Amerika Syarikat. Kes pertama yang berlaku di Malaysia adalah melibatkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor yang telah dikesan pada 25 Januari 2020.

Covid-19 telah menjadi pandemik di serata dunia dan menyebabkan banyak aktiviti ekonomi terjejas seperti industri pelancongan dan penerbangan. Pada Januari dan Februari sahaja, kerugian sektor pelancongan di Malaysia dianggarkan sebanyak RM3.37 bilion akibat wabak ini. Kerugian tahunan sektor pelancongan pula dijangka mencecah RM51 bilion.

Ramai pekerja diberi cuti tanpa gaji kerana syarikat tidak mempunyai pendapatan dengan aliran tunai yang tidak menentu. Sebagai contoh, Malaysia Aviation Group telah menawarkan cuti tanpa gaji kepada 13,000 pekerja berkuatkuasa pada bulan April.

Jika kita lihat semua krisis ekonomi yang dinyatakan di atas, apabila berlaku sesuatu krisis di sesebuah negara, ianya turut melibatkan negara lain. Ini kerana setiap negara bergantung di antara satu dengan yang lain melalui perdagangan import eksport, pasaran modal, dan pasaran mata wang.

Covid-19 ini pula telah melanda seluruh dunia dan dijangka kemelesetan ekonomi bakal berlaku jika wabak ini berterusan disebabkan ramai pekerja yang bercuti tanpa gaji manakala syarikat pula tidak mempunyai bisnes.

Semoga Allah SWT melindungi Malaysia yang terrcinta dan seluruh dunia.

Ditulis Oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.