Ulasan Mengenai Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi Malaysia

Pada 23 Mac – 31 Mac 2020 yang lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia telah menjalankan satu kaji selidik terhadap Kesan COVID-19 Kepada Individu Dan Ekonomi.

Hasil dapatan daripada 168,182 responden ini adalah sangat mengejutkan!

Ditambah pula dengan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengunjur ekonomi Malaysia pada kadar -2.0% hingga 0.5% untuk tahun 2020 berikutkan impak negatif COVID-19.

Untuk rekod, ekonomi negara dijangka menguncup 2.9% pada 2020.

Lebih parah apabila sektor pelancongan yang menyumbang RM86.14 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2019 terus lumpuh dek penularan wabak COVID-19.

Dijangka 2.4 juta pekerjaan akan hilang dan sebahagian besar adalah dari sektor komoditi dan perkhidmatan.

Pendapatan isi rumah akan jatuh RM95 bilion atau 12% sekaligus menyebabkan perbelanjaan pengguna dijangka turun sebanyak 11%.

Apa yang menyedihkan adalah sebahagian besar industri yang terjejas teruk adalah dalam segemen perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Buat pengetahuan anda, 98.5% pernigaan di Malaysia adalah PKS dengan 907,065 PKS berdaftar di seluruh Malaysia.

Untuk tahun 2016 sahaja, PKS Menyumbang 36.6% daripada KDNK Malaysia!

Kesan Covid-19 Kepada Industri

Berdasarkan data yang dikongsikan, industri agrikultur turut terkesan dengan wabak pandemik COVID-19 dengan 21.9% pekerja dari industri ini telah hilang pekerjaan.

Untuk rekod, kluster perikanan antara yang paling terjejas dengan 33% pekerja hilang pekerjaan dan 19% lagi hilang pekerjaan dari sektor perladangan.

Manakala kluster yang paling kurang terjejas adalah perhutanan dan pembalakan dengan 11.8% pekerja hilang pekerjaan.

Industri seterusnya yang terjejas adalah dari perkhidmatan dengan 14 jenis kluster yang menyumbang 53% daripada KDNK Malaysia pada tahun 2018.

Kluster industri perkhidmatan yang paling terjejas adalah seni, hiburan & rekreasi yang menyaksikan 38% daripada pekerja dalam kluster industri ini hilang pekerjaan.

Perkhidmatan makanan pula menyaksikan 35.4% orang hilang pekerjaan dan pengangkutan sebanyak 18.7% orang hilang pekerjaan.

Kluster yang paling kurang terjejas adalah dari bahagian informasi & komunikasi yang hanya menjejaskan 4.4% orang hilang pekerjaan.

Kesan Covid-19 Kepada Simpanan Kewangan

Data dan statistik yang dikongsikan menunjukkan satu trend yang menarik kerana simpanan kewangan rakyat Malaysia rupa – rupanya dipengaruhi oleh jenis syarikat dan tempoh bekerja.

Simpanan kewangan ini dipecahkan kepada :-

i. Bekerja sendiri.

ii. Majikan.

iii. Pekerja.

iv. Pekerja GLC. (Syarikat Berkaitan/Milik Kerajaan)

v. Pekerja MNC. (Syarikat multinasional yang beroperasi di negara-negara lain di dunia)

Untuk rekod, 71.4% golongan yang bekerja sendiri hanya mempunyai simpanan sebulan gaji.

82.7% pekerja mempunyai simpanan 2 bulan gaji dan 77.2% majikan mempunyai simpanan 2 bulan gaji.

Untuk pekerja GLC dan MNC pula, masing-masing merekodkan 78.9% pekerja GLC mempunyai simpanan 4 bulan gaji dan 75.2% pekerja MNC mempunyai simpanan 4 bulan gaji.

Mereka yang telah bekerja 4 ke 10 tahun mempunyai simpanan kewangan untuk menghadapi COVID-19 sehingga 2 bulan.

Manakala mereka yang bekerja 21 tahun hingga 30 tahun mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga 4 bulan.

Kesan Covid-19 Kepada Pendapatan Individu & Industri

Kajian menunjukkan 94.8% daripada golongan yang bekerja sendiri terjejas dengan COVID-19. Rata-rata golongan ini adalah mereka yang menawarkan produk dan servis mereka pada kadar gaji hari.

86.1% majikan turut terkesan dan 41.1% pekerja swasta terkesan dengan COVID-19. Ini menyebabkan ramai majikan terpaksa mengurangkan kos dengan menamatkan kontrak para pekerja dan mengurangkan gaji para pekerja.

Apa yang menakjubkan adalah hanya 14.2% pekerja MNC yang terkesan dengan COVID-19.

Ini mungkin ada kaitan dengan data yang menunjukkan 84.1% daripada mereka yang bekerja di GLC dan 85.2% dengan MNC kurang terjejas dan menerima pendapatan bulanan seperti biasa tanpa sebarang potongan gaji.

Apabila kita melihat sendiri kesan COVID-19 kepada pendapatan berdasarkan individu, barulah kita akan faham dan hadam akan tindakan sesetengah majikan yang terpaksa menamatkan kontrak pekerja dan mengurangkan pendapatan pekerja mereka.

Buat pengetahuan anda, industri agrikultur mengalami penyusutan pendapatan sebanyak 70% kesan dari COVID-19.

Industri perladangan dan perikanan lebih teruk lagi dengan 72.3% impak penyusutan pendapatan dan 79.1% penyusutan pendapatan dari hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Industri pembuatan dan pembetungan pula masing-masing menerima impak penyusutan pendapatan sebanyak 48.7% dan 40.2%.

Seterusnya, kita beralih pula kepada sektor perkhidmatan yang sekian lama menjadi tunjang belakang KDNK Malaysia buat semenjak tahun 2014 lagi.

Industri perkhidmatan makanan paling teruk terjejas dengan 85.9% penyusutan pendapatan dan industri seni, hiburan & rekreasi pula pada angka 75.3% penyusutan pendapatan.

Kesediaan Jika PKP Dilanjutkan

Ramai pekerja dari semua sektor tidak bersedia sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Golongan bekerja sendiri adalah yang paling ramai tidak bersedia dengan angka 81.9%.  Diikuti golongan majikan dengan 71.3% tidak bersedia dan 65.1% pekerja swasta.

45% pekerja GLC turut tidak bersedia andai PKP dilanjutkan dan hanya 36.2% MNC tidak bersedia.

Apa yang jelas menerusi kajian ini, COVID-19 telah menyebabkan berlakunya ‘new normal’ dalam trend berbelanja rakyat Malaysia.

Barang asas dan makanan melonjak berbanding sebelum COVID-19 dan aktiviti hiburan ditangguhkan atau diberhentikan secara total.

Fokus kebanyakan orang ramai adalah untuk menyimpan bagi hari-hari mendatang yang penuh dengan cabaran.

Sumber Rujukan:

Jemput juga baca:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.