Krisis Rumah Mampu Milik Di Asia Tenggara Semakin Serius

Umum mengetahui lambakan hartanah tidak terjual di Malaysia pada tahun 2019 telah pun mencecah angka melebihi 57,000 unit dengan nilai keseluruhan hartanah siap tidak terjual adalah berjumlah RM41.5 bilion.

Isunya kekal sama seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu ‘mismatch’ yang bermaksud isu penawaran hartanah tidak selari dengan permintaan semasa.

Tidak lupa juga masalah asas industri hartanah di Malaysia iaitu stok rumah mampu milik tidak mencukupi semenjak awal tahun 1960-an lagi.

Sekiranya kita ingin membeli rumah dan telah menunggu lama untuk masa yang sesuai, saat ini boleh dikatakan waktu yang paling ranum untuk membeli rumah di Malaysia.

Dengan pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC 2.0) menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) ini, kita sebagai pembeli bakal menikmati pelbagai faedah.

Antaranya adalah pengecualian duti setem, pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dan had pembiayaan bagi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70% daripada nilai rumah.

Penganalisis ekonomi menjangkakan kitaran hartanah domestik bakal pulih pada suku kedua dan suku ketiga tahun 2021, selepas mengharungi taufan kemelesetan ekonomi dan pandemik COVID-19 yang melumpuhkan sebahagian besar aktiviti ekonomi tempatan.

“Pembeli tidak membeli sedangkan penawaran terlalu banyak!”

Senario industri hartanah hari ini menyaksikan pembeli hartanah tidak membeli dan pemaju menunda sebarang pelancaran projek terbaru mereka.

Dalam keadaan wujud lambakan hartanah yang tidak terjual di seluruh negara, pemaju hartanah sewajarnya lebih fokus menyelesaikan stok sedia ada berbanding mengurangkan margin keuntungan dan membina unit rumah baru.

Krisis Rumah Mampu Milik Di Asia Tenggara Semakin Serius

Keadaaan yang berlaku di Malaysia sebenarnya turut melanda negara-negara Asia Tenggara lain seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Hong Kong.

Untuk rekod, benua Asia telah melalui pembangunan yang terlalu pesat tanpa perancangan strategik semenjak 3 dekad yang lalu, menyebabkan berlakunya lambakan hartanah tidak terjual di seluruh Asia.

Sungguhpun permintaan hartanah meningkat seiring pembangunan ekonomi dan status sosial, penawaran untuk rumah bagi golongan kelas pertengahan dan ketiga adalah tidak mencukupi!

Dan pada hari ini, simptom-simptom awal yang wujud pada awal tahun 2000-an telah menjadi barah kepada kebanyakan negara di Asia sekaligus mencacatkan sistem ekonomi dan sosial.

1. Singapura

Singapura hari ini mengalami apa yang dipanggil sebagai ‘mimpi ngeri’ pemaju hartanah dan harga rumah keseluruhan di Singapura telah menurun 24.9%.

Data dari Urban Redevelopment Authority menunjukkan terdapat kira-kira 39,000 unit rumah swasta sedang dibina sungguhpun wujud 34,000 unit hartanah tidak terjual.

Kerajaan Singapura telah mengambil langkah menurunkan harga rumah kediaman pada tahun 2018 ekoran harga rumah di Singapura tersenarai sebagai di antara paling mahal di dunia!

“Hartanah yang sedang dibina adalah lebih banyak berbanding permintaannya di Singapura.”

Bank Pusat Singapura turut telah mengeluarkan amaran lambakan hartanah apartmen akan menurunkan nilai apartmen di seluruh Singapura.

2. Indonesia

Jurang taraf sosial begitu serius di Indonesia dengan pendapatan minimum 3.94 juta Rupiah sebulan atau RM1,200 sebulan di Malaysia.

Sungguhpun anda tergolong dalam kelas pertengahan, boleh jadi anda terlalu miskin untuk memiliki rumah atau terlalu kaya untuk mendapatkan subsidi rumah dari kerajaan.

Harga hartanah kediaman di Indonesia dilihat menurun pada suku pertama 2020 kerana pemaju menghadapi kesukaran untuk menjual unit kediaman mereka.

Ini ditambah dengan beban kadar faedah 10% – 11% dari nilai pinjaman untuk industri pembinaan.

Jualan hartanah apartmen bermula Mac 2020 juga merosot kepada 25% – 30% manakala hartanah kediaman pula merosot 2% – 3%.

Jakarta merupakan contoh terbaik ketidakseimbangan pendapatan dengan penawaran hartanah di Asia Tenggara.

3. Thailand

Untuk rekod, di Bangkok sahaja ada lebih daripada 100,000 unit flat tidak terjual kesan daripada lebihan penawaran hartanah.

Disebabkan majoriti pembeli hartanah di Thailand adalah warga China, isu lambakan ini menjadi lebih serius dengan pandemik COVID-19.

Pemaju hartanah di Thailand kini mula fokus kepada pembelian hartanah dari warga tempatan.

Indeks Pembangunan hartanah di Thailand merosot sekitar 19% dalam 12 bulan terakhir, lebih buruk daripada penurunan 9% di pasaran saham Thailand secara keseluruhan.

Buat pengetahuan anda, undang-undang di Thailand membenarkan warga asing untuk memiliki 49% unit sebuah projek kondominium tetapi tidak dibenarkan memiliki tanah.

Industri hartanah di Thailand yang bertunjangkan pelabur dari China seakan mati apabila kebanyakan hartanah pada harga RM406,000 tidak terjual.

4. Vietnam

Tidak sukar untuk kita mencari hartanah berharga melebihi US$1 juta di bandar-bandar utama Vietnam seperti Hanoi di utara dan Ho Chi Minh City di selatan.

Tetapi, di lorong yang sama juga kita akan dapati wujud rumah kecil yang diperbuat daripada besi dan papan yang dihuni warga tempatan.

Peningkatan jumlah golongan kelas pertengahan di Vietnam yang tidak seiring dengan pembangunan rumah mampu milik menyebabkan berlakunya krisis rumah mampu milik di sana.

Kepesatan tanpa perancangan strategik menyebabkan bandar Haoi dan Ho Chi Minh City bakal menjadi lokasi hartanah paling tidak mampu milik di Vietnam.

Dijangka Vietnam akan menghadapi krisis rumah seperti di Brazil dan Ireland tidak lama lagi.

Bila dilihat kembali trend krisis rumah mampu milik di Asia Tenggara, isunya adalah bekalan rumah mampu milik yang tidak mencukupi, masalah sosial dan politik.

Tiada kerajaan yang sempurna di dunia ini. Akan tetapi, dengan langkah dan inisiatif yang betul, masalah ini mampu ditangani bahkan menjadi contoh bagi negara – negara lain yang turut bertarung dengan krisis yang sama.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

LPPSA Kedua: Boleh Mohon Walaupun Pembiayaan Pertama Belum Habis, Ini Syarat & Kelayakannya

Ada pembiayaan LPPSA pertama yang masih berjalan tetapi sudah terfikir nak beli rumah kedua?

Mulai 4 Oktober 2026, penjawat awam yang layak boleh memohon Pembiayaan Kedua LPPSA tanpa perlu menyelesaikan sepenuhnya Pembiayaan Pertama.

Pada masa yang sama, LPPSA turut menaikkan had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan sehingga RM1 juta.

Namun, ini bukan bermaksud semua penjawat awam automatik boleh meminjam RM1 juta. Jumlah sebenar masih bergantung kepada pendapatan bersih, kelayakan pemohon, baki kelayakan pembiayaan serta syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Apa perubahan LPPSA 2026?

Menurut notis rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026, dua perubahan utama mula berkuat kuasa pada 4 Oktober 2026:

Pertama, had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan LPPSA dinaikkan sehingga RM1 juta.

Kedua, pemohon boleh membuat permohonan Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan syarat yang ditetapkan.

Ini memberi lebih banyak fleksibiliti kepada penjawat awam yang masih mempunyai pembiayaan pertama tetapi mahu menggunakan baki kelayakan mereka untuk pembiayaan kedua.

Had pembiayaan LPPSA sehingga RM1 juta

LPPSA menetapkan jadual had kelayakan berdasarkan pendapatan bersih.

Pendapatan BersihHad Kelayakan Maksimum
Lebih RM10,000RM1,000,000
RM10,000RM950,000
RM9,500RM930,000
RM9,000RM900,000
RM8,500RM880,000
RM8,000RM850,000
RM7,500RM830,000
RM7,000RM800,000
RM6,500RM780,000
RM6,000RM730,000
RM5,500RM670,000
RM5,000RM610,000
RM4,500RM550,000
RM4,000RM480,000
RM3,500RM430,000
RM3,000RM350,000
Sehingga RM2,500RM280,000

Jadual ini adalah berdasarkan FAQ rasmi LPPSA mengenai penambahbaikan 2026.

Nota penting: Had maksimum ini bukan bermaksud pemohon pasti menerima jumlah tersebut. Amaun yang diluluskan masih bergantung kepada kelayakan pemohon dan syarat pembiayaan yang berkuat kuasa.

Siapa yang layak menikmati had baharu?

LPPSA menyatakan jadual kelayakan baharu ini terpakai kepada kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA, tertakluk kepada syarat dan kelayakan semasa.

Bagaimanapun, terdapat kumpulan tertentu yang tidak menggunakan jadual ini, antaranya:

  • Anggota Pentadbiran Persekutuan;
  • Anggota Pentadbiran Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri; dan
  • Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Golongan tersebut tertakluk kepada peruntukan atau keputusan berkaitan yang berasingan.

Apa maksud “Pembiayaan Kedua” sekarang?

Ini bahagian yang paling menarik.

Sebelum penambahbaikan ini, pemohon secara amnya perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama sebelum membuat Pembiayaan Kedua.

Mulai 4 Oktober 2026, syarat tersebut tidak lagi diperlukan.

LPPSA menyatakan pemohon boleh memohon Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA.

Contohnya:

Ali membeli rumah pertama menggunakan LPPSA.

Pembiayaan pertama masih mempunyai baki.

Kemudian Ali mahu membeli rumah kedua.

Dengan peraturan baharu, Ali tidak perlu melangsaikan pembiayaan pertama terlebih dahulu semata-mata untuk memohon pembiayaan kedua.

Tetapi Ali masih perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi dan memenuhi syarat LPPSA.

Apakah syarat Pembiayaan Kedua?

LPPSA menetapkan beberapa syarat utama.

Pemohon perlu:

1. Merupakan kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA.

2. Potongan gaji bagi Pembiayaan Pertama telah dilaksanakan.

3. Tidak mempunyai tunggakan bayaran balik bagi Pembiayaan Pertama sedia ada.

Selain itu, permohonan tetap tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA yang berkuat kuasa.

Berapa margin Pembiayaan Kedua?

Ini juga penting kerana margin pembiayaan bergantung kepada status Pembiayaan Pertama.

Jika Pembiayaan Pertama sudah selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 100%.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Untuk Jenis 5 dan Jenis 7 bagi hartanah yang sama

LPPSA menetapkan margin sehingga 100% bagi:

  • Jenis 5 – Ambil Alih; dan
  • Jenis 7 – Ubah Suai,

bagi hartanah yang sama, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Contoh mudah Pembiayaan Kedua

Katakan seseorang masih mempunyai Pembiayaan Pertama LPPSA.

Kemudian dia mahu membeli rumah kedua berharga RM500,000.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum diselesaikan, margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Secara mudah:

RM500,000 × 90% = RM450,000

Jadi, secara teori, pembiayaan boleh mencapai sehingga RM450,000, manakala baki RM50,000 perlu ditanggung melalui sumber lain.

Tetapi angka sebenar masih tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan penilaian LPPSA.

Maksudnya, jangan terus anggap rumah RM500,000 akan mendapat pembiayaan RM450,000 kerana kelayakan sebenar setiap pemohon adalah berbeza.

Bagaimana LPPSA menentukan kelayakan?

LPPSA menggunakan kaedah pengiraan berdasarkan kemampuan bayaran balik.

Antara kriteria yang dinyatakan LPPSA ialah:

  • Ansuran bulanan tidak melebihi 60% daripada gaji pokok dan elaun tetap yang diambil kira;
  • Jumlah hutang tidak melebihi 80% daripada pendapatan bersih; dan
  • Gaji bersih sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan kasar.

Pendapatan bersih bagi tujuan pengiraan LPPSA pula merujuk kepada gaji pokok + elaun tetap yang diambil kira – potongan wajib.

Jadi, seseorang yang mempunyai gaji tinggi sekalipun tidak semestinya mendapat jumlah maksimum RM1 juta kerana pengiraan turut mengambil kira kemampuan bayaran balik.

Bagaimana pula kadar keuntungan?

Untuk pembiayaan hartanah sehingga RM1 juta, LPPSA memperkenalkan struktur kadar purata wajaran (blended rate).

Strukturnya:

Sehingga RM750,000 → 4.00% setahun

Bahagian melebihi RM750,000 sehingga RM1 juta → 4.50% setahun

Yang menariknya, pengiraan ini mengambil kira jumlah pembiayaan hartanah yang diluluskan bagi Pembiayaan Pertama dan Pembiayaan Kedua.

Contoh RM800,000

Bagi pembiayaan RM800,000:

RM750,000 pertama → 4.00%

Baki RM50,000 → 4.50%

Kadar purata wajaran yang terhasil ialah kira-kira 4.03% setahun.

RM1 juta bukan bermaksud boleh ambil RM1 juta untuk rumah kedua

Ini perkara yang ramai mungkin salah faham.

Had maksimum RM1 juta ialah had kelayakan maksimum, bukannya jumlah automatik yang boleh dipinjam.

Untuk Pembiayaan Kedua pula, LPPSA secara jelas menyatakan ia tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan.

Contohnya, jika seseorang mempunyai had kelayakan RM800,000 tetapi telah menggunakan RM600,000 bagi Pembiayaan Pertama, baki kelayakannya tidak bermaksud dia boleh terus mengambil RM800,000 lagi.

Sebaliknya, pengiraan baki kelayakan perlu dibuat berdasarkan ketetapan LPPSA.

Sebab itu LPPSA menyediakan kemudahan SmartKira untuk membuat semakan anggaran kelayakan mulai 4 Oktober 2026.

Boleh beli rumah kedua sebelum rumah pertama habis bayar?

Ya, mulai 4 Oktober 2026, boleh memohon.

Tetapi terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian:

Pertama: Pembiayaan Pertama tidak perlu diselesaikan sepenuhnya.

Kedua: Pemohon perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi.

Ketiga: Pemohon masih perlu memenuhi syarat kemampuan bayaran balik dan syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Jadi, kemudahan ini memberikan fleksibiliti, tetapi bukan “lesen” untuk mengambil hutang rumah tanpa mengambil kira kemampuan kewangan.

Semua jenis pembiayaan boleh digunakan?

Menurut FAQ LPPSA, semua jenis pembiayaan dibenarkan bagi Pembiayaan Kedua, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Namun, terdapat pengecualian tertentu.

Sebagai contoh, pelanggan yang sedang menikmati Pembiayaan Pertama Jenis 4 atau Jenis 5 bagi tanah dan belum memohon Jenis 6 untuk membina rumah, tidak dibenarkan memohon Pembiayaan Kedua bagi Jenis 4 atau Jenis 5 tanah tersebut.

LPPSA juga menjelaskan bahawa jika seseorang membeli tanah melalui Jenis 4 atau Jenis 5 dan kemudian memohon Jenis 6 untuk membina rumah di atas tanah tersebut, ia masih dianggap sebagai satu kelayakan pembiayaan, bukan Pembiayaan Kedua.

Bila boleh mula memohon?

Kemudahan baharu ini berkuat kuasa pada:

4 OKTOBER 2026

LPPSA menyatakan pelanggan boleh mengemukakan permohonan bagi kemudahan tersebut mulai tarikh berkenaan.

Bagi permohonan yang telah dikemukakan sebelum 4 Oktober 2026, LPPSA menyatakan ia akan diproses berdasarkan had kelayakan amaun pembiayaan hartanah yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan diterima.

Kesimpulan

Penambahbaikan LPPSA 2026 membawa perubahan yang agak besar kepada penjawat awam.

Had kelayakan maksimum pembiayaan kini dinaikkan sehingga RM1 juta, manakala Pembiayaan Kedua boleh dipohon tanpa perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama terlebih dahulu.

Tetapi perkara paling penting untuk difahami ialah:

RM1 juta = had kelayakan maksimum, bukan jumlah automatik.

Dan:

Pembiayaan Kedua = boleh mohon walaupun pembiayaan pertama masih berjalan, tetapi tertakluk kepada baki kelayakan dan kemampuan bayaran balik.

Jadi, kalau memang bercadang membeli rumah kedua, langkah pertama bukan terus cari rumah RM1 juta.

Semak dahulu baki kelayakan LPPSA.

Kemudian barulah tengok harga rumah yang benar-benar mampu ditanggung.

Nota: Maklumat ini berdasarkan pengumuman dan FAQ rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026. Syarat dan pengiraan sebenar adalah tertakluk kepada pekeliling, garis panduan serta ketetapan LPPSA yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan.

Sumber rasmi: LPPSA – Penambahbaikan Kemudahan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2026 termasuk jadual kelayakan RM280,000 hingga RM1 juta.