Nike Guna Influencer Untuk Merebut Hak Penajaan Dari New Balance Untuk Pasukan Liverpool

Liverpool kini menjadi pasukan yang sangat digeruni dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) buat masa ini. Dengan perjalanan liga masih lagi berlangsung, Liverpool telah secara rasmi menjadi juara EPL buat pertama kali selepas 30 tahun EPL dijenamakan semula.

Musim kali ini merupakan musim yang sangat bermakna bagi peminat pasukan Liverpool yang menanti detik bersejarah ini.

Jom kita tengok bagaimana syarikat gergasi Nike berjaya membida penajaan untuk Liverpool sekaligus meminggirkan jenama New Balance yang merupakan penaja mereka sejak tahun 2015.

Penajaan pasukan bola sepak ini merupakan perniagaan yang lumayan bagi syarikat sukan apatah lagi jika melibatkan pasukan bola sepak terkenal seperti Real Madrid, Barcelona dan juga Manchester United.

Banyak syarikat gergasi sukan sanggup berhabis ratusan juta dollar untuk menjadi penaja utama kelab bola sepak yang terkenal didunia. EPL merupakan liga yang paling terkenal di dunia menyumbang kepada keuntungan sebanyak 1.4 bilion euro pada tahun 2018 kepada syarikat penaja sukan.

Di dalam kes Liverpool, pihak Nike telah menawarkan kontrak yang lumayan kepada pasukan Liverpool selepas pasukan pasukan itu berjaya mara ke peringkat akhir di dalam liga juara-juara Eropah. Ini menjadikan pasukan Liverpool semakin bernilai dalam pasaran sukan di dunia.

Liverpool beralih arah untuk bekerjasama dengan Syarikat Nike kerana syarikat tersebut merupakan gergasi sukan di dunia ini. Selain daripada itu, Syarikat Nike telah menawarkan kontrak yang sangat lumayan yang bernilai £100 juta secara keseluruhan termasuk royalti kepada Liverpool.

New Balance yang bertindak balas dengan rundingan tersebut turut menawarkan kontrak yang sama kepada Liverpool. Ia dikenali sebagai matching contract yang mana pihak syarikat sukan yang menaja sesuatu pasukan boleh membida kontrak yang diberi oleh pesaing mereka kepada pasukan tersebut.

Liverpool tidak berminat untuk menyambung  kontrak bersama dengan New Balance dan memilih Syarikat Nike sebagai pasukan penaja baru mereka. Hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati New Balance dan mereka telah membawa kes ini kepada Mahkamah Persekutuan Britain kerana mereka percaya mereka boleh memenangi kes ini.

Kontrak yang dikemukan oleh Nike dan New Balance adalah sama nilainya kepada Liverpool tetapi di antara Nike dan New Balance, Nike lebih menonjol dari segi jenama. Pihak makhamah telah menolak tuntutan yang dibuat oleh Syarikat New Balance walaupun jumlah kontrak yang ditawarkan adalah sama dengan Nike. Hal ini kerana New Balance tidak dapat menyamai kebolehan Nike memasarkan barangan atau produk yang dijual oleh Liverpool.

Selain itu, hujah yang kukuh yang dikemukan oleh Nike adalah mereka lebih popular kerana mempunyai atlet dan selebriti yang dapat mempengaruhi jenama mereka di peringkat antarabangsa. Di antara selebriti dan atlet yang berpengaruh yang ditaja oleh Nike adalah LeBron James, Serena Williams dan Drake.

Dengan pemilikan selebriti dan artis terkenal yang tidak dimiliki oleh New Balance, pihak mahkamah menerima hujah yang dibawa oleh Nike, dan New Balance tidak dapat membuat tuntutan terhadap kontrak tersebut.

Nike yang akan menaja pasukan Liverpool pada musim hadapan akan menjadi perniagaan yang sangat menguntungkan bagi kedua-dua pihak dengan kejayaan yang dimiliki oleh Liverpool pada musim ini.

Begitulah betapa pentingnya influencer yang mana boleh dijadikan hujah dan mempengaruhi keputusan makahmah selain kekuatan dari jenama itu sendiri.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.