Kenali Pengasas Telegram Dan 5 Iktibar Dari Kisah Beliau

Semakin hari, semakin ramai yang menggunakan aplikasi Telegram untuk berbisnes, terutamanya mereka yang ingin mengumpulkan ahli dan berkongsi maklumat berkaitan perniagaan dan lain-lain lagi. 

Namun, tahukah anda siapa pencipta aplikasi yang temanya berwarna biru ini?

Telegram dilancarkan pada tahun 2013 oleh Durov bersaudara iaitu Nikolai Durov dan Pavel Durov. Sebelum ini, pasangan itu mengasaskan rangkaian sosial Rusia iaitu VKontakte yang kemudiannya diambil alih oleh Mail.ru Group selepas ditinggalkan oleh mereka.

Nikolai Durov mencipta protokol MTProto yang menjadi asas bagi teks mesej. Sementara itu, Pavel Durov menyediakan sokongan dan infrastruktur kewangan melalui dana Digital Fortressnya.

Mereka juga telah bergabung dengan rakan kongsi mereka iaitu Axell Neff sebagai pengasas bersama. Mereka menyatakan bahawa matlamat Telegram dicipta bukanlah untuk membawa keuntungan.

Kisah Permulaan Dan Perkembangan Telegram

Telegram didaftarkan sebagai Limited Liabity Partnership (LLP) bagi Inggeris dan Limited Liabity Company (LLC) bagi Amerika Syarikat. Mereka tidak mendedahkan di mana mereka menyewa pejabat. Namun, Pavel Durov telah berkata bahawa perkhidmatan itu bertapak di Berlin, Jerman pada tahun 2014 dan awal tahun 2015.

Mereka telah berpindah ke bidang kuasa yang berbeza selepas gagal mendapatkan permit kediaman bagi semua orang di dalam pasukannya. Kumpulan Durov telah meninggalkan Rusia dan dikatakan berpindah dari satu negara ke satu negara yang lain dengan 15 ahli pasukannya. Menurut laporan akhbar, pasukan mereka (Telegram) kini berpangkalan di Dubai.

Apakah Telegram Dan Fungsi-Fungsinya?

Telegram adalah applikasi pesanan segera berasaskan cloud (awan) dan suara melalui perkhidmatan Internet Protocol (VOIP). Applikasi Telegram tersedia untuk Android, iOS, Windows Phone, Windows NT, macOS dan Linux. Pengguna telegram boleh menghantar mesej dan bertukar gambar, video, pelekat, audio dan bermacam-macam lagi dokumen-dokumen yang lain.

Pada bulan Mac 2018, Telegram menyatakan bahawa ia mempunyai 200 juta pengguna aktif bulanan. Saluran Telegram mempunyai begitu banyak ciri-ciri mereka yang tersendiri dan berkemungkinan dapat menjadikan aplikasi media sosial lain agak ketinggalan. Tidak seperti Viber atau WhatsApp, pengguna boleh membuat dan berkongsi pek pelekat mereka sendiri secara percuma.

Iktibar Dari Kisah Durov, Pengasas Telegram

Siapa kata Durov tidak mempunyai halangan dan cabaran dalam mengembangkan telegram ke pelusuk dunia. Tanpa cabaran dan dugaan, tak mungkin beliau akan mengecapi kejayaannya hari ini.

Jom kita lihat 5 iktibar dari kisah beliau. Semoga dapat memberi inspirasi kepada kita semua.

1. Sering Mengetahui Apa Yang Diperlukan Oleh Pengguna

Durov banyak menganalisis dan mengetahui bahawa pengguna menghabiskan lebih banyak masa untuk bersembang berbanding dengan ‘scroll feed’ mereka di Facebook.

Apa yang paling penting, beliau mengetahui cara untuk memuaskan hati penggunanya. Oleh itu, beliau telah mencipta akses pesanan yang unik untuk semua orang.

Selain itu, sementara semua orang telah membincangkan tentang privasi yang mudah digodam, Durov dan pasukannya menciptakan sekuriti bersembang yang paling selamat pernah dihasilkan.

Durov juga pernah berkata bahawa “sesiapa yang dapat menggodam sistem applikasinya (Telegram), dia akan memberi wang yang sangat banyak”. Namun, sehingga hari ini tiada siapa yang berjaya.

2. Ringkas, Senang Dan Pantas

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, syarikat ini tidak membelanjakan apa-apa untuk tujuan pemasaran. Telegram mempunyai ratusan juta pengguna kerana aplikasinya sangat ringkas dan mudah.

Aturannya sangat senang dan mudah difahami adalah resepi kenapa ia menjadi pilihan utama penggunanya. Anda boleh contohi cara pengasas Telegram ini dalam memudahkan penggunaan produknya.

3. Tidak Gentar Bersaing Dengan Syarikat Lain

Iktibar dari kisah Durov yang boleh kita ambil adalah beliau sedikit pun tidak takut bersaing dengan syarikat lain, malah beliau lebih yakin dengan syarikat dan produk beliau sendiri.

Telegram dilancarkan apabila aplikasi WhatsApp telah popular di seluruh dunia. Persaingan semakin sengit apabila muncul lebih banyak aplikasi baru seumpamanya seperti WeChat , Viber dan sebagainya. Walaubagaimanapun, Telegram terus melangkah ke puncak dan semakin popular saban hari di peringkat global.

4. Idea Dalam Melaksanakan Produk

Idea saluran Telegram dan bot telah membentuk alat pemasaran tambahan untuk syarikat. Bot telah membantu dan memberikan peluang untuk pengguna mengetahui maklumat yang diperlukan. Kini, boleh dikatakan hampir setiap pengguna Telegram mempunyai senarai saluran kegemaran atau bot yang digunakan setiap hari, betul tak? Hebat betul idea mereka dalam melaksanakan produk!

5. Mempercayai Rakan Sekerja

Untuk pengetahuan anda, Durov hanya mempunyai 15 anggota dalam pasukan utamanya. Mereka telah merancang, membangun dan menguruskan segala-galanya tentang applikasi Telegram.

Namun apa yang membuahkan kejayaan mereka adalah sikap Durov dan anggotanya sering mempercayai satu sama lain. Itulah iktibar yang boleh diambil dari kisah beliau.

Kesimpulannya,

Walaupun anda berfikir bahawa produk anda banyak persaingan, banyak lagi cara boleh anda lakukan untuk mengembangkan perniagaan anda dan berjaya. Fikirkan apa yang dibuat oleh Telegram walaupun kita tahu bahawa mereka mempunyai banyak pesaing yang kuat.

Dalam menghasilkan sesuatu produk, fokus, peka dan keluarkanlah idea yang mengutamakan pengguna dan memberikan mereka kepuasan maksimum.

Sumber Rujukan:  Erminesoft

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kita Bajet Insurans, Tapi Lupa Bajet Check-up

Hampir setiap ketua keluarga mempunyai bajet yang cukup terperinci untuk perlindungan kesihatan samada menerusi insurans atau takaful.

Di Majalah Labur, kami percaya ramai pembaca setia kami rata-rata bersetuju yang sejumlah 5% – 15% dari gaji bulanan adalah amaun yang cukup sihat untuk perlindungan kesihatan.

Akan tetapi, ada satu perkara yang sering tidak mempunyai bajet khusus: pemeriksaan kesihatan berkala.

Kita lebih mudah menyediakan RM200 untuk membaiki sesuatu selepas rosak berbanding memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan masalah itu dapat dikenal pasti lebih awal.

Baca : 5 Perkara Medical Card Boleh Bantu Yang Tak Ramai Orang Tahu!

Dalam kewangan peribadi, cara berfikir seperti ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi apabila melibatkan kesihatan, penangguhan boleh membawa kepada keadaan yang memerlukan lebih banyak masa, rawatan dan perbelanjaan.

Sebab itu preventive healthcare wajar dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga, bukan sekadar perbelanjaan tambahan.

Ada bajet insurans. Bagaimana dengan bajet kesihatan?

Insurans atau takaful penting untuk melindungi kewangan apabila berlaku keadaan yang memerlukan rawatan atau kemasukan ke hospital.

Tetapi perlindungan kewangan tidak semestinya bermaksud kita tidak perlu menyediakan bajet untuk penjagaan kesihatan rutin.

Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan untuk mengenal pasti faktor risiko, memberi nasihat pengurusan risiko dan membuat rujukan lanjut jika diperlukan.

pemeriksaan kesihatan

Pada asasnya, terdapat perbezaan antara:

“Saya mempunyai perlindungan jika sesuatu berlaku”

dengan

“Saya memperuntukkan wang untuk mengetahui keadaan kesihatan saya secara berkala.”

Kedua-duanya memainkan peranan yang berbeza dalam perancangan kewangan kesihatan.

Kesilapan ibu bapa : tunggu anak sakit baru bawa berjumpa doktor gigi

Perkara ini lebih mudah berlaku dalam kalangan ibu bapa. Anak tidak mengadu sakit, jadi pemeriksaan ditangguhkan. Gigi susu pula dianggap tidak begitu penting kerana akhirnya akan tanggal.

Apabila sakit mula berlaku, barulah ibu bapa mencari rawatan. Masalahnya, ketiadaan sakit tidak semestinya bermaksud tiada masalah.

Masalah ini yang cuba diketengahkan oleh Dr. A’tikah U’zed (Doktor Gigi di Klinik Pergigian Aesira) yang melihat ada keperluan untuk ibu bapa di Malaysia mengkhususkan wang untuk rawatan gigi anak mereka atau mereka sendiri!

pemeriksaan kesihatan gigi

Penegasan ini nampak ada intinya selepas kami melihat bahawa data National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 menunjukkan ;

“Prevalens karies dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas ialah 85.1%, manakala dalam kumpulan umur 15–19 tahun pun prevalensnya masih 51.7%. Dalam kalangan orang dewasa yang mempunyai gigi, 40.7% mempunyai keperluan rawatan restoratif, 28.9% keperluan cabutan dan 4.5% keperluan rawatan endodontik.”

Masalah gusi juga tidak semestinya bermula dengan kesakitan.

NOHSA 2020 mendapati hanya 5.1% populasi bergigi mempunyai periodontium yang sihat, sementara 38.2% mempunyai periodontitis. KKM turut menerangkan bahawa penyakit periodontal boleh tidak disedari kerana pada peringkat awal ia boleh berlaku tanpa sakit.

Ini menjadikan pemeriksaan berkala satu perkara yang relevan bukan sahaja kepada kesihatan, tetapi juga kepada cara keluarga merancang perbelanjaan.

Kos rawatan gigi sebenarnya boleh dilihat sebagai kos tahunan

BilRawatanAnggaran kosKekerapan /Perspektif
1Konsultasi & pemeriksaan gigiRM30–RM1006–12 bulan / mengikut risikoKos asas untuk mengetahui keadaan gigi sebelum membuat keputusan rawatan
2X-ray gigi kecil (periapikal/bitewing)RM30–RM80Jika diperlukan doktorMembantu melihat masalah yang tidak jelas melalui pemeriksaan biasa
3X-ray panoramic (OPG)RM80–RM200Jika diperlukanBiasanya untuk penilaian keseluruhan rahang, gigi bongsu atau perancangan tertentu
4Scaling & polishingRM80–RM250Mengikut keadaan gigi/gusiPenjagaan berkala yang boleh dimasukkan dalam bajet pergigian tahunan
5Rawatan fluoridaRM50–RM120Berdasarkan risiko, terutama kanak-kanakPreventive care yang boleh dirancang lebih awal
6Fissure sealant±RM50–RM100/gigiTerutama gigi tertentu kanak-kanakPerbelanjaan pencegahan yang dibuat berdasarkan penilaian doktor
7Tampalan gigiRM80–RM300/gigiApabila terdapat kariesContoh kos rawatan yang mungkin timbul selepas pemeriksaan
8Cabutan gigi biasaRM80–RM300/gigiJika gigi tidak dapat dikekalkan / perlu dicabutKos meningkat berbanding penjagaan rutin apabila masalah memerlukan prosedur
9Rawatan saluran akar (root canal)±RM600–RM2,000/gigiUntuk gigi dengan masalah pulpa tertentuContoh bagaimana rawatan boleh menjadi lebih kompleks dan memerlukan bajet lebih besar
10Pembedahan gigi bongsu±RM800–RM2,500/gigiJika impaksi/kerumitan memerlukan pembedahanContoh kos prosedur yang lebih besar dan sukar dirancang sebagai perbelanjaan rutin

Semak : Senarai Harga Rawatan Gigi Terkini

Daripada melihat pergigian sebagai:

“Berapa saya perlu bayar apabila gigi sakit?”

lebih baik keluarga melihatnya sebagai:

“Berapa bajet saya perlu sediakan setiap tahun untuk penjagaan gigi?”

Ini tidak bermaksud seseorang perlu menjalani rawatan setiap tahun.

Sebaliknya, bajet tersebut boleh merangkumi pemeriksaan, penjagaan pencegahan dan rawatan yang diperlukan berdasarkan penilaian doktor gigi.

Kekerapan pemeriksaan pula bukan satu angka yang wajib sama untuk semua orang. Sesetengah individu mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap berdasarkan risiko karies, keadaan gusi, sejarah rawatan dan faktor kesihatan lain.

Matlamatnya ialah tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan sebelum mula merancang.

Contohnya, gigi jarang bukan semata-mata soal kosmetik

Ambil contoh diastema, atau gigi jarang.

Menurut Dr. A’tikah U’zied, diastema ialah ruang antara dua gigi yang paling kerap dilihat pada gigi hadapan atas.

Ia boleh berkait dengan saiz gigi berbanding rahang, faktor struktur semula jadi atau tabiat tertentu. Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah ruang yang jelas antara gigi atau ruang yang semakin melebar.

Tidak semua diastema memerlukan rawatan.

Baca : Mencari Medical Card Terbaik? Tipu Semua Tu. Fahamkan 5 Perkara Ini

Tetapi apabila ibu bapa atau individu menyedari perubahan pada kedudukan atau jarak gigi, pemeriksaan memberikan peluang untuk menentukan sama ada ia sekadar variasi normal atau sesuatu yang memerlukan pemantauan atau rawatan.

Inilah konsep financial planning yang sering terlepas pandang.

Pemeriksaan bukan bermaksud kita sudah bersetuju untuk menjalani rawatan.

Pemeriksaan bermaksud kita mendapatkan maklumat terlebih dahulu.

Dengan maklumat itu, keluarga boleh membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, bila ia perlu dilakukan dan bagaimana perbelanjaannya boleh dirancang.

Jadi, enam bulan atau setahun sekali?

Jawapannya bergantung kepada individu.

Jadual pemeriksaan gigi sepatutnya mengambil kira keadaan gigi dan gusi, tahap risiko, umur, sejarah rawatan serta penilaian doktor gigi.

Bagi sesetengah orang, pemeriksaan enam bulan sekali mungkin sesuai. Bagi yang lain, doktor mungkin mencadangkan sela masa yang berbeza.

Yang penting ialah jangan menjadikan “tidak sakit” sebagai satu-satunya ukuran untuk menentukan sama ada pemeriksaan diperlukan.

Konsep yang sama digunakan dalam kesihatan secara umum. KKM menerangkan bahawa saringan kesihatan bertujuan membantu mengenal pasti faktor risiko dan penyakit lebih awal supaya pengurusan dapat dimulakan.

Bagaimana keluarga boleh masukkan kesihatan dalam financial planning?

Satu pendekatan mudah ialah membahagikan perancangan kepada beberapa lapisan:

Pertama, perlindungan.
Insurans atau takaful untuk risiko kesihatan yang besar, mengikut kemampuan dan keperluan keluarga.

Kedua, dana kecemasan.
Simpanan tunai untuk perbelanjaan kesihatan atau kecemasan yang tidak dirancang.

Ketiga, preventive healthcare.
Bajet tahunan untuk pemeriksaan dan saringan yang bersesuaian dengan umur serta faktor risiko.

Keempat, penjagaan rutin.
Termasuk pergigian dan keperluan kesihatan lain yang boleh dijangka.

Dengan cara ini, kesihatan tidak hanya muncul dalam bajet apabila sesuatu sudah berlaku.

Baca : Permintaan Sektor Penjagaan Kesihatan Diunjur Meningkat Bagi Jangka Panjang

Kesihatan juga perlukan bajet sebelum ia menjadi kecemasan

Financial planning yang baik bukan sekadar mempunyai wang apabila berlaku masalah.

Ia juga tentang mengetahui perbelanjaan yang boleh dijangka, menyediakan ruang untuk penjagaan berkala dan membuat keputusan berdasarkan maklumat sebelum keadaan menjadi mendesak.

pemeriksaan kesihatan

Pemeriksaan kesihatan tidak menjamin seseorang akan terlepas daripada penyakit atau rawatan mahal. Begitu juga pemeriksaan gigi tidak menjamin seseorang tidak akan memerlukan prosedur kompleks pada masa hadapan.

Namun, pemeriksaan memberikan sesuatu yang penting dalam perancangan kewangan:

maklumat lebih awal.

Dan maklumat lebih awal memberikan keluarga peluang untuk membuat keputusan dengan lebih tenang, sama ada perlu merawat sekarang, memantau dahulu atau menyediakan bajet untuk rawatan pada masa akan datang.

Jadi, apabila menyediakan bajet keluarga untuk tahun hadapan, jangan hanya tanya:

“Berapa saya perlu simpan kalau saya jatuh sakit?”

Tanya juga:

“Berapa yang saya sanggup peruntukkan untuk mengetahui keadaan kesihatan saya sebelum ia menjadi kecemasan?”

Kerana dalam pengurusan kewangan kesihatan, bil rawatan bukan satu-satunya kos yang perlu difikirkan.

Masa, ketidakselesaan, kehilangan produktiviti dan keputusan yang dibuat ketika keadaan sudah mendesak juga mempunyai nilai.

Preventive healthcare bukan tentang berbelanja sebanyak mungkin untuk kesihatan.

Ia tentang merancang supaya kesihatan tidak menjadi kejutan kewangan kepada keluarga.

Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan pengganti nasihat doktor atau doktor gigi. Keperluan pemeriksaan, saringan dan rawatan berbeza mengikut keadaan individu.