Kelebihan Dan Kekurangan Beli Rumah Dengan Sistem IBS

IBS atau Interlocking Blocking System merupakan sebuah sistem pembinaan hartanah yang menggunakan komponen batu-bata yang telah siap dihasilkan seperti dinding, tiang, lantai dan kekuda besi.

Batu-bata jenis IBS adalah berbeza dengan batu-bata biasa yang digunapakai kerana reka bentuknya khusus untuk pembinaan hartanah pasang siap.

Sistem IBS boleh dikatakan satu pembaharuan dalam teknologi pembuatan dan pengeluaran bagi menggantikan kaedah konvensional yang lebih memakan kos dan masa.

Lazimnya, batu-bata jenis IBS dihasilkan di kilang terlebih dahulu sebelum dipasang satu persatu di tapak pembinaan hartanah.

Untuk pengetahuan anda, sistem IBS telah menjadi popular sejak 100 tahun yang lalu di Amerika Syarikat dan Eropah untuk hartanah yang melibatkan pembinaan pasang siap pada kadar segera.

Di Malaysia, setakat tahun 2019, terdapat lebih daripada 280 pengeluar komponen IBS dan salah satu pemaju hartanah ternama yang menggunakan sistem IBS untuk projek hartanah mereka adalah LBS Bina Group.

Sungguhpun begitu, Malaysia masih lagi ketinggalan bila bercakap soal teknologi pembangunan hartanah.

Hal ini kerana, negara jiran Singapura sudah pun mempunyai ‘volume metric’ iaitu pembangunan yang hadir dengan ruang sedia ada seperti bilik dan ruang tamu.

Manakala China dan Perancis pula sudah membina projek hartanah berasaskan cetakan tiga dimensi (3D) dan dibangunkan sepenuhnya oleh sistem robotik.

Namun begitu, trend peningkatan pembangunan teknologi IBS dalam projek hartanah di Malaysia sudah mula timbul semenjak dua menjak ini.

Terbaru, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Putrajaya Holdings mewajibkan projek lebih RM50 juta dengan skor 50 dan ia menampakkan hasil yang positif apabila lebih 50% projek di Kuala Lumpur dan Putrajaya menggunakan IBS.

Ini mungkin ada kena mengena dengan faedah menggunakan sistem seperti :-

  •  Jimat Kos Pekerja
  •  Kurang Sisa Buangan
  •  Kualiti
  •  Jimat Masa Pembangunan Projek

Satu perkara lain yang menarik adalah sistem IBS menjadikan rumah lebih sejuk, tahan haba dan kedap udara berbanding rumah yang dibina menggunakan batu bata biasa.

Jom kita tengok pula kelebihan dan kelemahan membeli rumah yang menggunakan sistem IBS ini.

1. Kualiti

Bila bercakap soal rumah yang ingin didiami untuk satu tempoh jangka masa yang lama, isu kualiti kekal menjadi perdebatan utama.

Ada orang yang inginkan rumah yang murah dengan kualiti ‘biasa-biasa’ sahaja. Ada juga yang sanggup berbelanja besar untuk memiliki rumah yang dijamin kualitinya daripada pemaju hartanah ternama.

Dengan sistem IBS, kualiti rumah berada pada paras yang baik kerana saiz bata yang diguna pakai adalah tebal dan panjang. Bahkan, kadar kekerasan batu adalah lebih tinggi berbanding batu bata jenis sand brick.

Sistem pemasangan batu bata juga adalah lebih kemas kerana kerja pemasangan menggunakan sistem ‘condult pipe’ serentak sewaktu menyusun batu bata sebelum di simen.

2. Jimat Kos

Buat pengetahuan anda, sistem IBS mampu memberikan pengurangan sekurang-kurangnya 30% daripada kos keseluruhan projek dan ada juga yang berjaya mencapai lebih daripada 40% penjimatan.

Kenapa penjimatan ini berlaku?

Kerana sistem IBS tidak memerlukan kita mengupah ramai pekerja untuk menaikkan rumah. Dan kita juga tidak memerlukan pasir dan simen yang banyak.

Jangan terkejut sekiranya mendapati berlaku penjimatan sebanyak 5% besi keluli dan 10% simen.

Bila ini berlaku, maka secara automatik sisa binaan daripada rumah akan kurang menjadikan sistem IBS lebih mesra alam.

3. Jimat Masa

LBS Bina Group mencatatkan rekod apabila berjaya menyerahkan kunci kepada pemilik rumah LBS Alam Perdana 9 bulan lebih awal!

Ya, 9 bulan bukan 9 minggu.

Ini berlaku kerana pemaju tersebut menggunakan sepenuhnya sistem IBS dalam pembangunan rumah teres dua tingkat di Kuala Selangor ini yang dibekalkan MGB Berhad, yang merupakan salah sebuah daripada anak syarikatnya.

Sistem IBS mampu menjimatkan masa 30% tempoh pembinaan hartanah kerana setiap unit kediaman mempunyai reka bentuk yang seragam.

Akan tetapi, memandangkan Malaysia masih lagi jauh ketinggalan daripada pembangunan sistem IBS, isu kekurangan buruh mahir dengan sistem IBS menjadi masalah utama.

Kesannya, berlaku kes kebocoran pada sesetengah unit kediaman yang menggunakan sistem IBS kerana kurangnya buruh mahir dalam pengurusan dan pembinaan hartanah sistem IBS.

Untuk anda yang bercadang untuk melakukan renovasi pula, mungkin terpaksa menangguhkan hasrat tersebut terlebih dahulu.

Rumah yang dibina dengan sistem IBS kurang sesuai untuk renovasi, lebih-lebih lagi di bahagian depan dan belakang rumah kerana struktur sistem batu batanya.

Sungguhpun sistem IBS lebih murah berbanding sistem konvensional, ini hanya terpakai untuk sebuah projek hartanah kediaman dan bukan untuk satu unit atau satu renovasi kecil menambah bilik.

Memang benar, rumah IBS banyak digelar sebagai rumah permainan ‘lego’ tetapi ini bukanlah petanda rumah tersebut tidak cantik daripada segi kualiti pembinaan.

Lihat sahaja senarai-senarai rumah yang dibina dengan sistem ini. Kebanyakannya cantik-cantik belaka dan sesuai dihuni untuk kehidupan berkeluarga dan berkomuniti.

Dalam tempoh 10 tahun ke depan, sistem IBS bakal membantu meningkatkan jumlah penawaran rumah mampu milik apabila lebih banyak pemaju hartanah yang mula menggunakan sistem ini dengan bantuan Kerajaan.

Dan semoga lebih banyak akademi IBS di Terengganu diwujudkan supaya seluruh rakyat Malaysia mampu menikmati rumah yang lebih berkualiti tinggi dan murah.

Artikel ini ditulis oleh Mehmed Aezhad yang juga seorang pakar pemasaran digital dalam bidang hartanah, software dan pelancongan.

Previous ArticleNext Article

3 Comments

  1. Suatu info yg baik. Saya cdg bina eumah beklonsepkan IBS juga.

    Bagaimana ketahanan struktur panel IBS bernading dgn struktur binaan batu bata rumah konvensional? Dindingnya boleh ditebuk dgn laku biasa dana adakah ianya cukup kuat menampung beban gantungan yg besar dsn berat? Harap.dpt sedikit info. Tq

    1. Suatu info yg baik. Saya cdg bina rumah berkonsepkan IBS juga dan sedans siapkan pelan rumah.

      Bagaimana .dengan ketahanan struktur panel IBS berbanding dgn struktur binaan batu bata rumah konvensional?
      Saya dapati panel dinding IBS lembut dan boleh ditebuk dgn paku biasa sahaja tanpa.perlu drill .spt rumah binaan bati bata konvensional.

      Soalannya adakah ianya cukup kuat menampung beban gantungan yg besar dan berat? Harap.dpt sedikit info. Tq

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Aktiviti Jual Beli Hartanah Berkurangan Pada Awal Tahun, Harga Rumah Stabil

Pasaran hartanah Malaysia memulakan tahun 2026 dengan momentum yang lebih sederhana apabila aktiviti transaksi menyusut susulan persekitaran ekonomi global yang lebih perlahan dan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati.

Namun begitu, sektor kediaman terus menunjukkan daya tahan disokong oleh pertumbuhan harga rumah yang stabil, permintaan pemilik kediaman yang berterusan serta pelbagai insentif perumahan kerajaan.

Menurut Laporan Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), jumlah transaksi hartanah keseluruhan menurun 8.0 peratus tahun ke tahun kepada 89,966 transaksi pada suku pertama 2026.

Nilai transaksi turut mencatat penyusutan marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM51.09 bilion. Walaupun prestasi ini lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu, aktiviti pasaran masih dilihat stabil dan trend yang dilihat sekarang merupakan suatu yang selaras dengan jangkaan dalam suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Segmen kediaman kekal menjadi tunjang utama pasaran, dengan harga rumah terus meningkat meskipun momentum transaksi lebih perlahan.

Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 235.2 mata, menjadikan harga purata rumah di Malaysia sekitar RM507,533 seunit.

Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan asas terhadap perumahan yang masih kukuh, khususnya di pusat bandar utama dan kawasan pinggir bandar yang berkembang pesat.

Kebanyakan negeri mencatat pertumbuhan harga rumah positif antara 0.3 peratus hingga 7.2 peratus, menandakan keyakinan pasaran yang masih baik walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Dari segi jumlah transaksi kediaman, Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 10.7 peratus dengan 52,936 transaksi bernilai RM22.60 bilion.

Walaupun kebanyakan negeri mencatat penyusutan aktiviti transaksi, empat negeri masih merekodkan pertumbuhan positif iaitu Kuala Lumpur sebanyak 0.2 peratus, Pahang (4.3 peratus), Terengganu (3.1 peratus) dan Sabah (2.4 peratus).

Mengikut jenis kediaman, rumah bertanah terus menjadi pilihan utama pembeli. Rumah teres dan rumah berkembar mendahului pertumbuhan harga dengan peningkatan masing-masing sebanyak 2.2 peratus, mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap produk kediaman bertanah.

Unit kediaman bertingkat tinggi turut mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 1.3 peratus, didorong oleh permintaan di lokasi bandar dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Namun begitu, segmen pembangunan kediaman mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dari segi bekalan. Pelancaran baharu kediaman menurun kepada 9,112 unit berbanding 12,498 unit pada tempoh sama tahun lalu, iaitu penyusutan sebanyak 27.1 peratus.

Pemaju dilihat lebih berhati-hati dalam memperkenalkan bekalan baharu susulan kos pembinaan yang meningkat dan pembeli yang semakin selektif.

Pada masa sama, isu lambakan unit siap dibina tidak terjual terus menjadi cabaran utama pasaran. Jumlah kediaman siap dibina tidak terjual mencecah 32,801 unit dengan nilai RM16.37 bilion.

Apabila mengambil kira hartanah kediaman berstatus komersil seperti pangsapuri perkhidmatan dan SOHO, jumlah tersebut meningkat kepada 54,795 unit bernilai RM32.12 bilion pada suku pertama 2026.

Secara tahunan, jumlah lambakan meningkat 25.9 peratus dari segi bilangan dan 11.1 peratus dari segi nilai berbanding 43,510 unit bernilai RM30.71 bilion pada suku pertama 2025.

Mengikut julat harga, sebanyak 38.6 peratus unit tidak terjual terdiri daripada kediaman berharga antara RM200,001 hingga RM500,000 yang lazimnya dianggap dalam kategori mampu milik.

Sebanyak 23.4 peratus pula berada dalam julat RM500,001 hingga RM800,000, manakala hanya 13.2 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM1 juta.

Ini menunjukkan isu lambakan bukan semata-mata disebabkan faktor harga, tetapi turut dipengaruhi faktor lokasi, jenis produk dan padanan permintaan pasaran.

Subsektor pangsapuri perkhidmatan terus berdepan tekanan bekalan apabila unit siap dibina tidak terjual meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,246 unit bernilai RM14.61 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Lambakan pangsapuri perkhidmatan meningkat 5.6 peratus, mencerminkan cabaran berterusan dalam menyerap pembangunan bercampur dan berorientasikan pelaburan, khususnya di kawasan dengan bekalan yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Melihat ke hadapan, prospek pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berhati-hati tetapi stabil. Walaupun ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global boleh mempengaruhi sentimen pelabur, pelbagai inisiatif kerajaan dijangka terus menyokong sektor perumahan.

Antaranya termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk rumah berharga sehingga RM500,000 sehingga akhir 2027.

Disokong oleh pembangunan infrastruktur dan inisiatif pembangunan berorientasikan transit di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pasaran kediaman negara dijangka terus berdaya tahan meskipun pertumbuhannya semakin sederhana dan akan bergerak seiring dengan paras kemampumilikan pembeli.

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian